'
Kesunyian, Seks dan Kedai Kopi' adalah intipati utama yang boleh dirumuskan melalui filem pendek,
Kopitiam Kurang Manis, arahan dan lakon layar Azri Abu Hassan. Filem yang diterbitkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini telahpun ditayangkan di beberapa buah kelab seni filem sekitar Kuala Lumpur sehinggalah berjaya ditonton secara rangkaian web melalui portal
murai.com. Filem yang menarik ini dibuka melalui susunan shot yang agak menarik perhatian saya melalui paparan visual yang memerlukan kita berfikir seketika apakah yang terjadi seterusnya dan apakah maksud disebalik tumpahan kopi dan terbaliknya cawan di atas meja. Visual yang dipaparkan itu memberikan pelbagai persoalan pada saya, barangkali akan berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini. Gambaran telur separuh masak yang diambil terlalu lama, menggambarkan watak lakonan Mislina Mustaffa itu akan menghadapi suatu saat yang bakal menggembirakan kehidupannya serta jugak buat Ah Keong, pemilik kedai kopi yang agak moody dengan ragam pelanggannya yang mula hilang hari demi hari akibat haruman kopi yang agak kurang memikat. Kegersangan seks dan nafsu Ah Keong yang agak meruncing itu boleh dilihat melalui alunan muzik latar cina yang agak klasik dengan pergerakan kamera dan kekuatan sinematografi membuatkan filem arahan Azri Abu Hassan ini seakan-akan filem Yasmin Ahmad. Bukan ingin membuat perbandingan antara kedua-duanya, tetapi inilah sebuah filem pendek yang mempunyai jalur pemikiran yang agak kuat, apatah lagi ia banyak bermain dengan aspek Mise-en-Scene dan Simbolismnya yang tersendiri. Dari sudut sinematografi, Kopitiam Kurang Manis boleh dipuji kerana penataan cahaya yang digunakan menggambarkan seseorang watak dan karektor itu mempunyai masalah dan setiap elemen yang dipersembahkan di dalam filem ini, bukan dibuat-buat atau sengaja diframekan di dalam seseuatu shot, malahan ia memerlukan kita berfikir secara kritis dan kreatif dalam membuat penilaian atas naskhah
Kopitiam Kurang Manis ini.
Persoalan kedua ialah, adakah watak lakonan Mislina Mustaffa itu disatukan dengan watak Ah Keong?. Siapakah insan yang bertanggungjawab menghamilkan Mislina?. Benarkah Mislina dan Ah Keong itu bersatu di bawah satu bumbung?. Ini persoalan yang kurang jelas ditafsirkan oleh pengarah melalui naskhah Kopitiam Kurang manis ini. Mungkin ia sekadar sebuah kisah pendek, tetapi dari sudut penceritaan, lakonan, pencahayaan dan falsafah, ia boleh dipuji. Akhirnya, Kedai Kopi milik Ah Keong menerima ramai pelanggan mungkin atas resepi cintanya pada Mislina?. Jikalau tidak benar, maafkan saya. Saya cuma mentafsir mengikut pemahaman saya ke atas filem ini.
p/s: Tayanithi ada cakap pada saya yang dia akan menghasilkan naskhah filem pendek lagi pada hujung tahun ini.. dia tak nak ada perebutan atas hak milik karya oleh sesetengah pihak.. ini bukan pasal filem kopitiam la...
1 Ulasan