‘Konflik Sosial, Keluarga dan Identiti.. Realita Cinta, Rock & Roll, sebuah kisah tentang kasih sayang…’



Pertama kali menonton filem ‘Realita Cinta, Rock n Roll’, sebuah naskhah dari Indonesia arahan dan lakon layar, Upi Avianto, yang di barisi pelakon-pelakon kacak, cantik dan berbakat, Vino G.Bastian, Herjunot Ali, Barry Prima, Shandy Harun, Frans Tumbuan, dan Nadine Chandrawinata, saya anggapkan ia sebuah filem tentang homoseksual, tetapi sangkaan saya meleset kerana ‘Realiti Cinta’, merupakan sebuah naskhah filem yang mempersoalkan tentang kasih sayang, persahabatan dan krisis identiti yang subjeknya lebih banyak menjurus kepada kehidupan kelompok remaja yang mempunyai banyak rencah dan permasalahan yang cukup mencabar dan mengujakan minda.



Pembukaan filem ini dengan perilaku sosial kelompok remaja yang diwakili anak muda, Ipang ( Vino G.Bastian ) dan Nugi ( Herjunot Ali ) merakamkan sisi gelap sebuah kehidupan yang tidak terarah, kelam dan cukup mengujakan dengan paparan segelintir kehidupan ditengah-tengah kesibukan Bandar Indonesia yang mempunyai ceritanya yang tersendiri. Muzik ‘rock n roll’ jelas nyata digemari anak muda zaman ini yang diwakili watak Ipang dan Nugi yang sememangnya tidak meminati soal pendidikan, tetapi menjadikan elemen muzik rock n roll sebagai cerita yang cukup tersirat dari pemikiran manusia dan kehidupannya. Genre muzik ‘rock n roll’ yang melatari sebahagian dari filem ini cukup jelas menggambarkan keresahan, pergolakan jiwa dan krisis sebuah kehidupan serta status keluarga dalam pencarian sebuah kasih sayang yang hakiki berlandaskan naratif yang cukup mencabar dan mengusik perasaan. Ipang dan Nugi yang hidupnya tidak terarah, sedikit sebanyak mengingatkan saya kepada naskhah ‘Kami’ yang sedang hangat ditayangkan di pawagam Malaysia. Kedua-duanya mempunyai cerita yang sama tetapi plot dan wataknya berbeza .


Perbezaan cerita ‘Kami’ dengan ‘Realita Cinta’ adalah tentang pergolakan jiwa yang merangkumi permasalahan dalam penerimaan jati diri sebuah kehidupan dalam kelompok remaja di Bandar Indonesia. ‘Realita Cinta’ memberikan plot yang cukup mengejut tentang krisis identiti yang merangkumi persoalan kasih sayang antara pelbagai watak yang bermain dengan pelbagai emosi, cukup menyentak perasaan setiap penonton yang menilai naskhah ini. Krisis kasih sayang sebuah keluarga masing-masing antara dua watak, Ipang dan Nugi yang mempunyai jalan ceritanya yang agak berbeza, tetapi kekuatan plotnya adalah sama, iaitu tentang pencarian sebenar sebuah erti kasih sayang tidak kira, keluarga, persahabatan dan gerak sosial. Pencarian yang cukup mengejut terjadi pada watak Nugi, jejaka kacak pada pemikiran saya ini mungkin digilai ramai wanita kerana mempunyai susuk tubuh yang menggiurkan dan menelan rasa terutama pada golongan wanita diluar sana, tetapi mempunyai jalan cerita yang cukup mengujakan minda kerana bapa Nugi adalah seorang transeksual yang mempunyai jalan kehidupan dan ceritanya yang tersendiri. Bagaimana seandainya ini terjadi dalam keluarga anda?. Cukup mencabarkan?. Nugi pada mulanya tidak dapat menerima kehadiran bapanya, seorang transeksual yang mengalami perubahan jantina antara lelaki ke wanita ini cukup membuatkan saya menunggu dari pertengahan cerita hinggalah ke akhir sebuah revolusi perjalanan filem ini yang cukup menyentuh perasaan. Apakah terjadi seterusnya?. Anda kenalah menonton filem ini yang ditayangkan di dalam youtube.


Berbalik pula kepada Ipang, remaja yang mempunyai permasalahan sosial yang cukup kuat ini pula mempunyai perjalanan kisah keluarganya, siapakah dirinya dan adakah beliau menerima yang dirinya adalah anak angkat sebuah keluarga ternama dan berpengaruh?. Persoalan ini adalah agak kabur tentang siapakah keluarga sebenar Ipang dan jawapannya tidak ada di dalam filem ini, mungkin sutradaranya Upi mahu khalayak penonton berfikir dengan pemikiran yang pelbagai-bagai dan mungkin ini memberikan sudut pandangan yang cukup berbeza. Persahabatan antara Ipang, Nugi dan rakan perempuannya cukup akrab bagaikan mereka adalah rakan seperjuangan dalam kehidupan ini, tetapi ketiga-tiga mereka mempunyai kisah ceritanya yang berbeza. Nugi dan Ipang adalah rakan baik, bagaikan mereka adalah pasangan gay, tidak berbaju, berotot seksi tetapi ini tidak dan ia mungkin mengelirukan khalayak yang menontonnya. Nugi dan Ipang adalah rakan baik sejak di sekolah atau kolej lagi dan persahabatan mereka begitu akrab, walaupun dalam soal sebuah keluarga masing-masing, mereka tetap utuh bersama. Kehadiran wanita disisi mereka berdua menjadikan kehidupan mereka seperti remaja lain di mana-mana Negara sekalipun, yang tetap berfantasi seks yang tiada berkesudahannya, mungkin terjadi atau tidak persoalan ini, anda kenalah menonton sendiri naskhah ini.


‘Persahabatan, keluarga, kasih sayang dan identiti’ adalah boleh disimpulkan dalam ‘Realita Cinta, Rock & Roll’ sebuah filem tahun 2006 arahan Upi Avianto ini yang boleh dirumuskan sebagai sebuah filem remaja yang mengupas pelbagai persoalan diminda tentang kehidupan, seks dan identiti dalam kelompok yang tersirat sebuah perjalanan kisah remaja di kota Indonesia. Ini satu lagi kisah yang perlu anda tonton selepas filem KAMI, ia berbeza tetapi plotnya dalah sama tentang remaja.

TRAILER FILEM REALITA CINTA, ROCK & ROLL

Keseluruhan filem ini : *****

Catat Ulasan

0 Ulasan