‘Tiada Kekuatan Plot dan Naratif…..... Senario The Movie Episod 1, sebuah komedi yang hambar…’


Dah Kutip RM 3.5 juta dalam seminggu tayangan’, itulah mesej ringkas yang diberitahu teman media pada saya baru-baru ini. Tersentak sekejap malahan bersyukur atas prestasi perkembangan filem tempatan akhir-akhir ini yang ada turun dan naik dalam tempoh dan kutipan tayangan sesebuah filem di pawagam. Senario The Movie Episod 1 arahan Ahmad Idham ini bukannya prekuel atau sekuel kepada karya Senario sebelum ini yang lebih gah dan bagus, tetapi boleh dikatakan ia agak hambar dari sudut plot dan naratif penceritaan keseluruhan naskhah Senario ini yang komedinya tidak sehebat karya terdahulu yang saya rasakan tidak dibuat-buat atau memaksa penonton untuk bergelak ketawa atau sekadar terpaksa berhibur kerana tidak mempunyai pilihan yang lain. Meneliti aspek gerak kerja kamera boleh dipujila, tetapi saya agak kecewa menyaksikan keseluruhan filem ini yang saya rasakan tidak mempunyai tujuan untuk bercerita kepada khalayak, dan adakah pembikinannya adalah sekadar untuk mengutip pulangan tinggi buat peminat setia kumpulan senario ini?.


Dari sudut tema dan penceritaan filem ini ialah lebih mengkhusus kepada perjalanan sebenar identiti siapakah kumpulan senario yang diterajui Mazlan, Azlee dan Wahid yang ingin mengejar impian untuk bergelar bintang ‘pelawak’ terkenal. Ia seperti anda menonton sebuah telemovie untuk kaca tv bukannya sebuah filem yang menghidangkan cerita-cerita atau isi yang membuka minda atau plot yang kuat. Senario cuba memaparkan atau mempromosikan karya-karya Ahmad Idham, seperti ‘Jangan Pandang Belakang’ dan ‘Rempit’ yang dimasukkan rencahnya dalam filem Senario ini, mungkin pengarahnya Ahmad Idham, maka sedikit sebanyak ia mempengaruhi plot filem ini yang sudah mula kucar kacir. Duduk menonton Senario Episod 1 ini memang menghiburkan khalayak, tetapi kekuatan penceritaan untuk sesebuah filem itu tidak ada langsung dalam naskah yang diterbitkan oleh Metrowealth Movies ini. Bukan saya ingin mengutuk atau menghentam keseluruhan filem ini, tetapi saya agak kecewa dengan plot dan naratif penceritaan yang gagal menarik minat saya untuk menonton dan mendalami naskhah ini dengan rasa yang begitu mendalam. Sebelum ini karya-karya Ahmad Idham tidak pernah mengecewakan saya sebagai seorang karyawan muda dan jugak seorang blogger dalam menonton sekaligus mengkritik karya beliau walaupun terpaksa mengakuinya demi memartabatkan sinema tempatan kita.


Justeru, saya berharapkan agar filem-filem arahan Ahmad Idham buat masa akan datang tidaklah segagal pemikiran untuk mengupas sesuatu plot dalam sesebuah penceritaan seperti karya Senario ini. Oleh itu, kepada anda yang belum lagi menonton filem ini, tontonlah ia dengan rasa penuh ketelitian kerana mana tahu anda menyukai naskhah ini yang bagi saya kurang sengatnya dalam arus perdana filem tempatan walaupun ia bakal memecah rekod box office sinema tempatan.

Keseluruhan filem ini : * ( 1 star )

Catat Ulasan

1 Ulasan

Ajami Hashim berkata…
"tetapi saya agak kecewa menyaksikan keseluruhan filem ini yang saya rasakan tidak mempunyai tujuan untuk bercerita kepada khalayak, dan adakah pembikinannya adalah sekadar untuk mengutip pulangan tinggi buat peminat setia kumpulan senario ini?"


bro, ayooo! MEMANG itu ler TUJUAN derang bikin ini filim!

p/s: aku akn tgk nx wk! WAJIB!!! :-)