Histeria: Sebuah Kisah Seram Tentang Persahabatan atau Kisah Dendam Jembalang Tanah?.


'Apakah Histeria tergolong dalam sebuah naskhah seram remaja yang mempersoalkan hubungan persahabatan antara golongan wanita di sebuah kolej terpencil atau Histeria sebuah paparan dendam makhluk Jembalang Tanah yang mencari mangsa dan tuan barunya?', itulah persoalan yang kerapkali menerjah ke pemikiran saya selepas dua kali menonton filem nie, pertama semasa di Screamfest Pavillion dan semalam di Gala Night Preview GSC Mid Valley. Kedua-dua persoalan ini memberikan pertanyaan yang cukup simbolik apabila menghayati naratif plot penceritaan yang cuba dipaparkan di dalam filem komersial pertama arahan sutradara filem-filem indie, James Lee. Pembukaan filem Histeria memberikan tandatanya buat segelintir penonton, apakah ia sebuah kisah amukan perasaan Murni ( Liyana Jasmay) terhadap memori yang meragut keenam-enam rakan baiknya yang dibunuh makhluk Jembalang Tanah. Ia boleh dikatakan sebuah kisah flashback yang melatari kehidupan sekumpulan remaja perempuan yang dipaksa mendiami asrama blok lama, akibat kenakalan masing-masing. Pertemuan mereka dengan Zeta, lakonan Norliana Samsudin sedikit sebanyak pada permulaannya menimbulkan keraguan pada khalayak bahawa apakah Zeta salah seorang daripada penghuni lama asrama tersebut, yang tiba-tiba muncul untuk mengetuai kumpulan remaja perempuan tersebut yang menamai 'The Pink Ladies', untuk kumpulan mereka.

Histeria dan Keseramannya...

Aspek horror dalam filem Histeria tidak mengecewakan kerana penggunaan latar bunyi terutamanya di dalam makmal cukup membuatkan jantung saya berdebar dan 'cuba bayangkan hanya bunyi air yang menitis jatuh' dirancang begitu teliti tanpa gangguan bunyi lain, cukup membayangkan betapa suspennya anda jika berada di dalam scene tersebut secara realitinya. Cuma, persoalan diminda saya; apakah Histeria sebuah filem tentang Jembalang Tanah?. Kenapa saya berbicara sebegini adalah kerana pertengahan cerita Histeria, penonton dihidangkan elemen-elemen horror begitu jelas dengan pelbagai peristiwa yang menggerikan dan paparan visual beberapa ekor jembalang peliharaan Tukang Kebun ( Kazar) yang memberontak akhirnya membunuh tuannya sendiri. Kenapa Jembalang tersebut melakukan pembunuhan tersebut?. Apakah yang menganggu pemikiran makhluk tersebut?. Apakah dendam mereka terhadap budak-budak perempuan tersebut?. Persoalan ini masih kabur didalam filem Histeria, yang bagi saya adalah sebuah filem kisah dendam Jembalang Tanah yang memberontak. Dan apakah Murni tuan barunya yang terpaku akan mahtera tersebut?.

Penataan Seni

Histeria cukup elemen yang membuatkan anda tidak akan berganjak daripada tempat duduk menyaksikan dari mula hinggalah akhir filem ini. Penataan seni dan rekaan produksinya cukup kuat membantu filem ini kerana, 'cuba anda bayangkan sebuah bilik air yang begitu usang dan kotor dekorasinya, apatah lagi penataan cahaya yang cukup menjadikan Histeria seakan-akan filem Indonesia, Japan dan aliran Hollywood yang lain'. Apa yang pasti, ia sebuah kisah seram yang amat baik plotnya dan mempunyai jalur cerita yang tidak membosankan. Tahniah James Lee.

Realiti Remaja dan Kisah Songsang

Percayakah anda jika saya memperkatakan bahawa, hubungan songsang atau tarikan sejenis akan berlaku terutama di sebuah asrama tidak kira penghuninya, 'lelaki-lelaki' mahupun 'perempuan-perempuan'. Di dalam Histeria, James Lee mengupas sebuah isu yang cukup sensitif dalam masyarakat Malaysia, iaitu Lesbian. Menerusi Histeria, anda boleh menyaksikan keghairahan seksual Zeta yang cuba meluahkan rasa cintanya pada Scha, melalui ciuman pertama yang visualnya cukup berani diketengahkan di dalam sebuah filem Malaysia. Ingat, jangan jadikan ia sebuah isu yang kontroversi pulak ye, kerana Histeria bukan kisah lesbian, tetapi ia sebuah kisah tentang persahabatan yang terperangkap di dalam sebuah asrama sekolah yang cukup mengerikan. Justeru, bagi saya Histeria tidak mengecewakan kerana ia sebuah naskah yang cukup berani dan menggemparkan.

p/s: Ingat Jangan hanya menonton sebuah trailer yang kurang sengitnya, terus menghukum sesebuah filem, katanya 'tak best'. Kalau anda benar-benar seorang penilai sesebuah filem, anda pasti tidak akan memilih dalam menonton sesebuah filem yang ditayangkan di pawagam. Aik... kata nak jadi karyawan...

Catat Ulasan

0 Ulasan