Comolot dan Artikel Berita Harian : Maafkan Remy...


Dari meja Pengarah....

Salam sejahtera. Rasanya sudah setahun filem pendek 'comolot' di hasilkan, tetapi ia masih hangat diperdebatkan lagi di dalam blogger picisan anak-anak muda, tidak kira forum agama, budaya dan sosial. Jika di klik pada laman youtube, filem comolot masih lagi ada dan ia di masukkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab bagi menghangatkan suasana, jika ye pun tidak suka akan kontroversi filem ini, kenapa masih lagi berdegil dan tetap memasukkan semula filem ini?. jangan salah para karyawan, apabila menghasilkan filem sebegini. Sendiri mau ingat lah. Kata rakan-rakan blogger dan para media, jika seseorang itu alim dan kuat agama, kenapa ia masih melayan portal youtube dan mencari video-video atau filem-filem kontroversi untuk dikupas?. Sebab, no point untuk menulis isu lain, jadi untuk menarik pembaca. 'comolot' sasaran utama penulis-penulis sebegini. terima kasih kerana anda memperdebatkan filem ini dan mewujudkan pertelingkahan pendapat...... - amyikram ismail



Petikan artikel tentang Remy Ishak, di dalam Berita Harian 23 Disember 2008..
oleh: Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


Pelakon baru berpotensi luangkan masa ke Balai Berita khas untuk pembaca Hip

BERBULAN-bulan penantian Hip menanti tarikh yang sesuai dan lapang buat pelakon baru, Remy Ishak, 26, yang semakin pantas menambat perhatian peminat. Akhirnya pada 2 Disember lalu baru terlaksana sesi fotografi ini.

Kata Remy, bukan berniat mengelak publisiti tetapi mengakui agak tersepit di antara memuaskan hati pihak produksi dan rakan media.

Jika dulu, aktor kelahiran Negeri Sembilan ini mengakui banyak berlembut dengan sesetengah pihak sehingga akhirnya timbul kesukaran untuk mengikut rentak orang. Bangkit dengan azam baru, Remy kini tidak lagi terkapar-kapar, sebaliknya sudah boleh berfikir apa yang patut dan baik untuknya.

Memohon maaf di atas kelewatan memberikan tarikh untuk sesi fotografi dengan Hip, kisah lalu terus dilontar jauh tanpa perlu dikenang lagi. Cuma, harap ia mampu menjadi pengalaman dan pengajaran terbaik buat Remy untuk terus memacu kerjaya seninya yang semakin meledak.

Biar baru tiga tahun menerjah arena seni, namanya pernah terpalit dengan beberapa siri kontroversi termasuklah kisah dikatakan kononnya hanya melayan media yang boleh memastikan wajahnya diisi di kulit hadapan majalah atau surat khabar, termasuklah sensasi filem pendek Comolot yang dilakonkannya. “Apabila terjebak dengan sikap sesetengah pihak produksi yang bersikap sambil lewa mengenai jadual penggambaran, akhirnya saya sendiri berdepan masalah dengan pihak media. Masalah yang acap kali berlaku dengan sesebuah produksi ini adalah normal. Sekarang saya harus tegas dan setiap tawaran berlakon perlu disertakan dengan jadual penggambaran. “Saya bukan saja berdepan dengan masalah dengan wartawan kerana tidak dapat memberikan tarikh untuk fotografi tetapi ada juga produksi lain yang ingin mendapatkan khidmat saya sedangkan saya tidak mampu memberi kata putus bila dapat berlakon apabila terikat dengan produksi sebelumnya. Akhirnya, saya berada dalam keadaan serba salah.

“Bukan saya nak demand atau berlagak diva meminta jadual penggambaran yang tetap, tapi itu hak saya sebagai pelakon untuk cari makan. Pada masa yang sama, saya boleh melakukan urusan lain termasuklah memenuhi undangan fotografi dan kerja lain,” katanya dalam nada kecewa.


Pernah tidur masjid ketika merantau

MULA melangkah sebagai pelakon sejak 2006, cuma 2008 menjadi tahun yang betul-betul menyerlahkan bakat lakonannya. Lebih fokus kini, perjalanan hidup Remy ke tahap sekarang bukanlah semudah disangka. Sebelum menjadi pelakon, Remy pernah bekerja di Hotel Mandarin Oriental. Hasil kerja kerasnya, Remy mampu tersenyum bangga dan sudah memiliki kereta untuk kemudahan bergerak ke sana ke mari. Semua yang dilalui, mematangkan hidupnya.

Dilahirkan dalam keluarga susah dan berdepan dengan perceraian keluarga ketika di tingkatan satu, ada saat sepi yang pasti membuatkan dirinya mula mengenang kisah perit dulu kala. Sebut saja pekerjaan mana tidak pernah dilakukannya.

Remy pernah bekerja di pasar pagi dengan menjual ikan dan ayam untuk membayar duit yuran persekolahan, menoreh getah, jadi kelindan lori, buruh kasar termasuklah membuat kerja landskap di tepi jalan dengan menanam pokok dan membina jambatan.

“Umur 18 tahun saya mempertaruhkan hidup datang ke Kuala Lumpur untuk mencuba nasib mencari kerja. Saya pernah tidur di masjid untuk berteduh dari panas dan hujan. Pada masa yang sama, saya mencari kawan sekampung untuk meminta tolong mencarikan kerja. Dipendekkan cerita, ketika berada di Kompleks Pertama dan Kompleks Campbell secara kebetulan saya berjumpa kawan lama dan berkat bantuannya, saya mula bekerja di hotel bahagian house keeping.

“Sejak bersekolah lagi saya sudah mula hidup berdikari mencari duit sendiri. Perpisahan ibu bapa juga membuatkan saya kecewa. Bayangkan setiap kali membaca kisah perceraian di surat khabar, saya pasti fobia dan sedih mengenangkan kisah keluarga,” katanya.

Berbalik kepada soal lakonan, umpama rezeki terpijak Remy tidak menyangka impian sejak kecil ingin menjadi pelakon akhirnya menjadi kenyataan apabila mendapat peluang berlakon filem Akuarium Cinta arahan Osman Ali.

“Bagaimanapun, filem itu masih lagi tertangguh penggambarannya hingga saya mendapat peluang berlakon filem Anak Halal arahan pengarah yang sama. Sebelum filem itu berada di pawagam, saya kembali bekerja di hotel selama dua tiga bulan untuk menampung kehidupan. Alhamdulillah, berkat kesabaran, saya diberi peluang berlakon drama, telefilem dan filem,” katanya.

Menceritakan pengalaman setahun jagung di dalam dunia seni, Remy pernah dua kali tertipu dengan orang yang mengakui diri mereka adalah wartawan. Percaya bulat-bulat dan naif, Remy tanpa bercakap banyak memenuhi undangan fotografi wartawan yang dimaksudkan itu.


'Cerita saya 'gay' hanya lakonan'

MENGENAI filem pendek Comolot yang dilakonkannya itu, dia tidak menyangka niat baiknya untuk menambahkan skil dan bakat lakonan di salah erti apatah lagi filem itu menjadikan subjek golongan gay sebagai plot penceritaannya.

“Apabila mengenangkan pengalaman ditipu mereka yang mengaku wartawan dan jurugambar ini, saya menjadi hairan kenapa boleh timbul isu saya demand ‘muka depan’ saja. Kenaifan saya dulu memberi peluang orang mengambil kesempatan sedangkan saya yang tidak tahu menahu boleh ditipu sebegini. Saya selamba memberikan aksi pos bergambar tanpa mengetahui niat tersembunyi mereka. Apabila dikenang kembali kisah ditipu, lucu juga jadinya.

“Saya bukan gay dan tanggapan orang mengatakan saya sebegitu hanyalah cerita kosong. Tapi secara logik, apabila orang berandaian sebegitu, bermakna lakonan dan watak saya di dalam filem itu berjayalah maksudnya. Cuma saya tidak sangka, filem pendek itu menjadi isu dan digembar-gembur semasa filem Anak Halal mula ditayangkan di pawagam. Saya menerima tawaran berlakon filem pendek itu atas dasar menolong kawan dan dibayar dengan harga biasa,” katanya.

Mengintai kisah peribadinya, Remy sedang mengenali hati budi seseorang dan perkenalan mereka terjalin ketika Remy masih bekerja di hotel. Kenal sudah lama, wanita itu hanyalah orang biasa.

“Dia tahu saya ada perasaan terhadapnya tapi saya hanya buat bodoh hingga membuatkan dirinya pasti atau sebaliknya mengenai niat hubungan kami. Apa yang membuat saya hormati dirinya adalah kerana dia tidak pernah berubah hati biarpun saya sudah menjadi pelakon. Hubungan kami masih pada tahap kawan. Masa depan nanti tidak tahulah kesudahannya,” katanya menoktahkan bicara dan masih sibuk menghabiskan baki penggambaran drama Awan Dania yang hangat disiarkan di Astro Ria.

Remy Ishak

  • Nama sebenar: Mohammad Zalimei Ishak
  • Nama komersial: Remy Ishak
  • Tarikh lahir: 11 April 1982
  • Tempat lahir: Negeri Sembilan
  • Hobi: Mengembara dan seni fotografi
  • Mula berlakon: 2006
  • URL Myspace: www.myspace.com/remyishak
  • Filem: Akuarium Cinta (masih tertangguh penggambaran), Anak Halal.
  • Drama: Sindarella, Obsesi, Awan Dania
  • Tele filem: Iktikaf, Jalan Pintas Ke Neraka, Takbiratul Ihram, Sesuci Kasih
  • Iklan: Kopi Radix, KL Tourism dan 5M (Kementerian Kesihatan)



INFO: Maklumat menarik mengenai Remy

  • Tengku Haidar: Watak yang diingati lakonannya di dalam drama Sindarella arahan Shahrul Ezad. Dia seorang anak raja kepada negara Inderapura yang tidak mengenal erti cinta pada mulanya namun diajar oleh seorang puteri.
  • Publisiti: Memang perlu ada sebagai strategi hebahan dan promosi untuk menjual produk (artis) atau karya (filem atau drama).
  • Minyak wangi: Sudah mengumpul 12 botol minyak wangi daripada deretan jenama seperti Emporio Armani Aqua De Gio, Davidoff, Polo Ralph Lauren, Polo Black, Dunhill. Meminati haruman berbau jantan dan maskulin.
  • Jaket: Mempunyai enam pasang. Dua daripadanya jenama Levis Jean, selain jenama Seed, Padini dan Renoma
  • Media: Tidak mempunyai masalah dengan media, cuma apabila timbul dingin dengan pihak wartawan, dia menjadi hairan dituduh kononnya hanya mengutamakan fotografi untuk kulit muka depan dan termasuklah masalah komunikasi apabila tersepit antara jadual penggambaran drama dan memenuhi tuntutan fotografi bersama media. Moga penjelasannya di sini akan menjelaskan bahawa tiada isu yang disebut tadi.
  • Impian: Ada di benak fikirannya dan selagi ia belum menjadi kenyataan, dia enggan bercakap lanjut bimbang yang dirancang tidak menjadi.


Catat Ulasan

2 Ulasan

Hi amy. Aku pernah tgk short movie tu. Bagi aku comolot adalah kisah realiti yang memang wujud dalam masyarakat kita. Ianya adalah realiti umat akhir zaman yang pahit untuk kita terima. Saya memandangnya Comolot dalam 2 sisi. Pertama dari segi kreativiti amy sebagai pengarah muda yang berpotensi. Dan yang kedua adalah mesej filem itu. Sesuai dengan tag line 'nafsu tak mengenal batasan' comolot berjaya menzahirkan nafsu liar manusia yang telah terputus dari tali agama. Ianya sangat bagus untuk didebatkan secara ilmiah, bukannya menghentam membabi buta. Keep up good work.
icered berkata…
aku rase si remy ishak telah diperbodohkan oleh orang2 tertentu coz dia x dpt dpt bezakan antara realiti dengan sensitiviti that y lah sanggup bawa watak manusia hina mcm tu...kalo ilmu tu tak cukup byk mcm ni ler jd nya senang dibeli