Majlis MoU akan diadakan pada jam 3.00 petang di Soundstage Studio, Finas
* 1 Februari 2009, FINAS akan merasmikan Studio Dolby Digital Mixstage yang merupakan studio bunyi yang terbesar dan tercanggih di rantau asia dalam penerbitan filem. Antara artis yang akan membuat persembahan ialah Amy Search dan Anuar Zain. Studio Mixstage akan di rasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak.
Oleh Ramlah Zainal ( Harian Metro )
SELEPAS menunggu lebih dua tahun, akhirnya pembinaan Studio Digital Mix Stage, Kompleks Studio Merdeka, Hulu Klang siap sepenuhnya sekali gus mencatat sejarah baru dilakar dalam industri perfileman tanah air.
Acara perasmian studio yang juga projek terulung Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) ini bakal disempurnakan dalam acara gilang gemilang oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jam 8 malam, 1 Februari ini.
Pembinaan studio tiga setengah tingkat dengan keluasan 3,950 meter persegi sejak Disember 2006 ini membabitkan perbelanjaan RM53 juta di bawah projek Rancangan Malaysia ke-9 serta bertepatan usaha Finas untuk terus memartabatkan industri filem tanah air ke tahap lebih baik.
Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim berkata, pembinaan studio itu tepat pada masanya.
"Studio Digital Mix Stage itu menyediakan kemudahan serba lengkap selaras sasaran Finas untuk penerbitan 30 filem setahun tahun ini. Langkah ini diharap dapat mengurangkan kos produser tempatan dalam menghasilkan filem kerana mereka tidak perlu menjalankan kerja produksi di luar negara seperti di Hong Kong, Bangkok dan New Zealand selepas ini.
"Studio ini juga projek pertama seumpamanya di negara ini dan diiktiraf sebagai Dolby Digital Premiere. Pembinaan studio setanding Hollywood ini juga usaha kami untuk menarik pembikin filem dari luar negara untuk menjalani penggambaran filem di sini.
"Kini, pembikin filem luar negara datang ke negara kita bukan hanya untuk merakamkan lokasi menarik di sini sebaliknya mereka boleh menjalankan kerja pasca produksi dengan kepakaran yang kita ada di studio ini," katanya. Bagaimanapun, buat masa ini kata Mahyidin, pihaknya memberi keutamaan kepada pembikin filem tempatan untuk menggunakan kemudahan studio itu.
"Selepas studio ini stabil barulah kita memberi peluang kepada pembikin filem luar untuk menggunakan kemudahan disediakan studio ini," katanya.
Mahyidin ditemui ketika sesi lawatan media ke Studio Digital Mis Stage di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Jurutera Finas, Hassan Asbor Hassan Mutaat dan Jurutera Bunyi, Azriddin Hamzah.
Sementara itu Hassan berkata, pembinaan studio itu juga memberi ruang kepada pembikin filem tempatan menghasilkan adunan audio dari tahap Dolby Digital 5.1 hingga 6.1.
"Pada masa sama, ia juga menawarkan ruang kerja yang beraspirasi dan menenangkan. Secara tidak langsung perhatian dapat ditumpukan sepenuhnya kepada karya mengikut daya kreativiti mereka.
"Studio ini ditampilkan dengan peralatan audio terkini yang setanding studio di luar negara. Tambahan pula pembinaan studio ini mendapat sentuhan pakar dari Hollywood dalam reka bentuk bangunan, akustik dan juga pemilihan peralatan.
"Antara kemudahan ditawarkan di sudio ini, Audio Dubbing Room, Audio Sweeting Room, Foley dan Optical Sound Camera," katanya.
p/s: Sejarah bakal tercipta dengan kewujudan studio mixstage ini dalam industri perfileman Malaysia..Anda semua di jemput hadir
0 Ulasan