14 hari tayangan: RM 4 juta kutipan terkini GENG


Alhamdulillah... syabas dan tahniah buat filem animasi 3D pertama Malaysia, Geng:Penggembaraan Bermula yang khabarnya sudah mengutip hampir RM 4 juta ringgit dalam tempoh 14 hari tayangan di pawagam. Inilah contoh terbaik penerimaan masyarakat Malaysia pada karya yang berkualiti hasil daripada tenaga kreatif beberapa orang karyawan muda di Malaysia.. Sudahkah anda menonton filem ini?. Sokonglah karya anak tempatan ini. Untuk membaca ulasan saya pada artikel sebelumnya mengenai filem GENG ini... sila klik pada:

artikel bertarikh 14 Januari 2009
(kritikan GENG pada pandangan saya )
http://amyikram.blogspot.com/2009/01/mampu-kuasai-pasaran-antarabangsa-geng.html

Ulasan tentang filem GENG mengikut pandangan intelektual, pengkritik filem Abd.Wahab Hamzah: baca di bawah

MENGHIBUR DAN MENGKAGUMKAN
oleh
Abd. Wahab Hamzah
linto73@yahoo.co.uk
Utusan Malaysia, 24 Februari 2009..

DENGAN premis cerita yang mudah, tetapi dibangunkan dengan unsur-unsur aksi mencemaskan, kelucuan, seram dan penuh suspens serta elemen emosi, filem animasi 3D, Geng: Pengembaraan Bermula bukan sahaja menarik perhatian penonton kanak-kanak tetapi juga golongan dewasa.

Filem Geng: Pengembaraan Bermula adalah filem animasi komputer 3D sepenuhnya produksi tempatan yang pertama. Filem terbitan Les' Copaque Production diarahkan oleh pengarah muda Mohd. Nizam Abdul Razak graduan Universiti Multimedia Malaysia dalam usia 25 tahun (filem ini dimulakan ketika usianya 23 tahun), malah sebahagian besar karyawan yang terlibat dalam menghasilkan filem animasi ini masih muda (dalam lingkungan 20-an) dan ini memperlihatkan prospek animasi produksi tempatan yang cukup berpotensi dan luas.

Sebuah filem animasi seperti juga filem-filem dalam genre yang lain perlu bertolak daripada sebuah kerangka skrip yang baik. Dalam sebuah filem yang mengangkat elemen cerita kanak-kanak dan kekeluargaan maka naratifnya lazimnya mengandungi unsur-unsur pengembaraan yang akan berhadapan dengan peristiwa yang tidak terduga yang penuh aksi dan suspens, misteri dan mencemaskan dan malah unsur fantasi. Inilah elemen yang sering digunakan oleh Enid Blyton dalam menghasilkan cerita-cerita pengembaraan yang telah berjaya menarik perhatian ramai pembaca kanak-kanak dan remaja. Filem Geng: Pengembaraan Bermula mengambil pendekatan Enid Blyton dengan kisah dua sahabat baik iaitu Badrol (disuarakan oleh Amir Izwan) dan Lim (suara Kee Yong Pin) bercuti ke kampung Durian Runtuh untuk menemui Tok Dalang iaitu datuk kepada Badrul. Perjalanan pulang ke kampung itu mereka menaiki bas dan apabila bas tersebut bermasalah mereka kemudian menumpang lori yang dipandu oleh Singh dan bosnya, Pak Mail. Di kampung Durian Runtuh mereka bertemu pula dengan watak-watak seperti Muthu, Ah Thong, Salleh atau Sally, nenek, Ros yang merupakan gadis paling jelita di kampung itu dan tiga watak istimewa iaitu Rajoo, Upin dan Ipin.

Badrul dan Lim kemudiannya bersahabat dengan Rajoo (suara Kannan), Upin dan Ipin (suara Nur Fadhiah Diaz) serta Ros (kakak Upin dan Ipin - suara Balkis Fadhullah) dan kumpulan mereka ini kemudian berusaha membongkar misteri hantu durian yang heboh berlaku dan misteri sebuah rumah di kampung tersebut. Misteri yang perlu dibongkar oleh mereka inilah plot yang membawa unsur suspens dan menyeramkan serta elemen adventure yang menarik dalam filem ini. Siapakah sebenarnya hantu tersebut dan mengapa rumah tersebut berhantu? Daripada jejak yang penuh misteri dan kemunculan makhluk aneh yang kelihatan ganas dan menyeramkan dan kejayaan mereka membongkar misteri tersebut berjaya memberikan kesan dramatik yang menarik. Yang terbongkar adalah perbuatan jenayah memburu binatang liar untuk diseludup yang dilakukan oleh orang-orang yang memang mereka kenali tetapi tidak disangka. Sebuah filem animasi perlu mempunyai elemen komedi dan kelucuan yang menarik.

Watak Badrul dan Lim mewakili watak remaja, tetapi kemunculan watak yang ikonik Upin dan Ipin dua budak nakal berkepala botak serta Rajoo yang mempunyai keistimewaan yang cakapnya difahami oleh lembu pedatinya berjaya menyuntik elemen komedi dan humor yang cukup menghiburkan. Apa yang penting watak Upin dan Ipin adalah dua watak yang sudah cukup dikenali oleh khalayak penonton terutamanya kanak-kanak. Dua watak ini juga menjadi faktor utama yang berjaya memikat dan menarik perhatian kanak-kanak dan keluarga mereka ke pawagam.

Dalam sebuah filem animasi yang menarik selain keupayaan animasinya berkomunikasi dengan penonton, ia juga perlu mempunyai elemen spektakular yang mengkagumkan. Dalam Geng, adegan spektakular telah dibentuk dari awal lagi iaitu ketika dalam perjalanan Badrul dan Lim menaiki bas dan lori ke kampung. Tetapi unsur spektakular dan kekaguman lebih menyerlah ketika adegan kumpulan Upin, Ipin, Rajoo dan Oopet perlu menyelamatkan diri daripada buruan ular gergasi dengan menaiki upih berlatarkan hutan tropika dalam gerakan roller-coaster yang pantas dan cukup menarik. Kecantikan hutan tropika dan keindahan waktu malam yang disinari oleh kelip-kelip adalah momen yang mengasyikkan serta original dalam filem ini. Sebuah filem animasi yang berjaya juga perlu mempunyai adegan-adegan yang mampu membangkitkan unsur emosional. Kemunculan watak Oopet seekor binatang comel seakan beruang yang suka makan durian tetapi terpisah dengan ibunya yang telah ditangkap oleh pemburu binatang liar dan kemudian dengan bantuan kanak-kanak tersebut berjaya mempertemukan Oopet dengan ibunya merupakan antara adegan yang menyentuh emosi penonton. Keupayaan membina plot yang disulami antara kelucuan, dramatik dan emosi menjadikan Geng: Pengembaraan Bermula sebuah filem animasi yang cukup menghiburkan. Yang menjadikan Geng lebih menarik adalah kerana filem ini bergerak daripada cerita yang bersifat universal dan diberikan latar sosio-budaya dan lanskap tempatan.

Bagaimanapun apa yang menjadikan filem ini lebih bermakna dan mengkagumkan kita tentulah kerana keupayaan dan kreativiti karyawan muda kita menghadapi cabaran membuktikan kemampuan menghasilkan filem animasi yang mencabar produksi mahal dari Disney dan Pixar. Walaupun dalam kos pembikinan yang relatif kecil RM4juta dan dengan kemudahan teknologi komputer yang terhad mereka mampu melakukan dengan cemerlang. Keupayaan menghasilkan produk animasi beginilah yang menyemarakkan lagi industri animasi dan industri pasca-produksi tempatan untuk berkembang maju dan seterusnya pasti mampu menarik keyakinan pembikin filem dari luar untuk menggunakan kemahiran karyawan filem tempatan. Geng: Pengembaraan Bermula adalah permulaan kepada sebuah perjalanan yang gemilang untuk industri filem tempatan.

p/s: Geng: satu pembaharuan yang gilang-gemilang dalam industri filem animasi di Malaysia. Syabas!!. Yang belum menonton, cepatlah serbu ke pawagam dan jangan kedekut untuk membeli tiket di pawagam..


bestnye sampai menjilat jari tau cite kiteorang... tak percaya?.

Catat Ulasan

0 Ulasan