Apakah akan terjadi kepada Industri Filem Malaysia seandainya para produser filem masih lagi berlumba-lumba menghasilkan filem 'yang memperbodohkan penonton?'. Adakah itu agenda dan kehendak pasaran yang memaksa para produser melaburkan jutaan ringgit menghasilkan filem yang tidak berkualiti, walaupun di terima baik oleh sesetengah penonton. Jika dilihat senarionya di dalam industri filem tempatan, penerimaan penonton kepada karya-karya ringan amat tinggi permintaan terutamanya pada genre komedi, berbanding filem-filem yang lebih intelektual walaupun ia tidak menggunakan para pelakon terkenal, tetapi kekuatan naratif penceritaannya kadangkala tidak berjaya menarik perhatian sesetengah audience ke pawagam. Pelaburan tinggi oleh para produser filem untuk menarik audience ke pawagam ialah dengan menampilkan barisan artis popular mahupun juara program realiti dalam sesebuah filem, sedangkan perjalanan naratif penceritaannya terlalu klise dan membosankan. Jika ini yang dikehendaki penonton kita terhadap penerbitan sesebuah filem, maka industri kita tidak akan maju dan hanya berada ditakuk lama dan sukar menembusi pasaran antarabangsa. Sekiranya kegagalan sesebuah filem di beberapa festival filem tempatan mahupun antarabangsa, jangan salahkan para juri professional, tetapi salahkan diri kita sendiri. Kenapa kita mencipta nama dengan menghasilkan sesebuah filem yang kurang kualitinya, walaupun disedari bahawa yang tidak kualiti itulah selalunya akan menjadi box-office. Apakah industri filem Malaysia hanya memartabatkan filem murahan yang klise naratifnya?. dan tidak adakah karya yang benar-benar mencabar minda serta perasaan?. Bukan persoalan ingin memperbanyakkan filem kualiti yang terlalu kompleks jalur pemikirannya mahupun sedikit suntikan elemen kontroversi, malahan yang perlu ada dalam sesebuah filem ialah jati diri serta perkembangan naratif dan cabaran teknikal pengolahan sesebuah filem. Jika ia dibiarkan berterusan, maka industri filem kita hanya di situ dan susah untuk berlayar jauh walaupun kutipan tiketnya agak memberangsangkan. Justeru, sekiranya kita ingin melihat karya kita berada di persada dunia, contohilah apa yang dilakukan oleh Yasmin Ahmad dalam menyampaikan mesejnya kerana 'karyawan yang bertaraf antarabangsa akan menghasilkan pelbagai genre naratif, bukan hanya tertumpu kepada pengolahan cerita yang agak klise dan sama'. Tepuk dada tanya selera.
p/s: Masih mengunggu apakah ada karyawan filem yang akan berlayar sama dengan Yasmin Ahmad dalam menyebarkan sayapnya ke persada antarabangsa. Jika ada, alhamdulillah.
5 Ulasan
p/s: baca artikel tersebut berulang kali. Ia bukan karya membodek...Jika membodek, maknanya semua wartawan dan para media membodek Yasmin la.. Kenapa masyarakat luar amat mengkagumi filem Yasmin?. Tepuk dada tanya selera..