'Gadoh'.. Paparkan Konflik Perkauman Secara Sinis!

' Melayu pemalas, Cina Makan Babi!' adalah antara dialog yang terkandung di dalam Gadoh, sebuah filem remaja penuh konflik arahan Brenda Danker dan Namron yang di barisi Zahiril Adzim, Amerol Affendy, Namron dan Nicholas Liew Davis ini telah di tayangkan secara ekslusif pada 22 Mei 2009 di Help Universiti College, Damansara. Filem yang memaparkan konflik perkauman antara melayu-cina ini digambarkan secara sinis melalui beberapa watak yang dibawa oleh para pelajar menengah di sebuah sekolah milik Kerajaan. Pergaulan antara melayu dan cina dipaparkan secara kritikal di mana sikap dengki-mendengki antara satu sama lain dicorakkan secara negatif melalui ucapan dialog yang bersifat prejudis. Keruntuhan institusi kekeluargaan di dalam Gadoh di selitkan dengan beberapa situasi yang menggambarkan betapa 'negatifnya' pemikiran ibu bapa yang mengatakan bahawa kaum bukan melayu sebagai penindas bangsa yang tidak bermaruah, sedangkan bangsa melayu perlu diberi perhatian. Sebaliknya pula pada kaum bukan melayu, mereka mengandaikan bahawa bagaimana kaum melayu yang gagal dalam peperiksaan boleh masuk Universiti dan mendapat pekerjaan yang tinggi sedangkan golongan bukan melayu terpaksa berusaha gigih untuk menempatkan diri mereka di bumi Malaysia. Itu bukan perkara biasa dalam realiti masyarakat Malaysia kerana perkara sebegini masih lagi berlaku barangkali tidak dalam kelompok tertentu yang begitu prejudis terhadap bangsa lain. Penghasilan Gadoh sebagai medium pendidikan bukan bertujuan mencipta kontroversi walaupun filem ini cuba menyuntik elemen sebegitu kepada penonton. Walaupun memaparkan dialog yang mencabar pemikiran dan lari dari konsep stereotype filem-filem Melayu lain, Gadoh juga cuba memberikan beberapa dialog dan gerak ucapan yang begitu komedi sifatnya pada sesetengah scene agar filem ini tidak diihat sebagai filem propaganda kepada sesuatu pihak. Gadoh filem berdurasi 70 minit ini sebenarnya mengisahkan kenakalan para pelajar di sebuah sekolah menengah yang menjadikan isu perkauman sebagai perkara genting yang perlu di beri perhatian. Kenakalan mereka menjadi punca pergaduhan antara dua kaum pelajar ( melayu-cina) atas sebab satu perkara iaitu 'kebencian terhadap kaum lain di Malaysia'. Permasalahan ini menarik perhatian Cikgu Anne Lee untuk membawa masuk En. Azman ( Namron ) ke sekolah tersebut untuk mengajar subjek Teater kepada para pelajar bermasalah bagi memulihkan setiap dari mereka untuk menjadi manusia yang berguna. Apakah tindakan En Azman berjaya memulihkan setiap para pelajar tersebut? dan apakah mereka menghargai persahabatan antara mereka?. Semuanya terjawab dalam filem Gadoh arahan Namron dan Brenda yang akan ditayangkan semula pada 12 June 2009 di Help University, Damansara atas permintaan ramai pihak.

'Gadoh' sebuah naskhah berani terbitan Komas Organisation bersama Big Picture Productions ini sebenarnya sebuah karya yang cuba mengangkat elemen teater sebagai satu jalan penyelesaian untuk membentuk jatidiri dan persahabatan antara para pelajar tersebut. Teater selalunya dianggap kerja seni yang tidak berfaedah bagi sesetengah pihak yang tidak memahami 'seni dan kehidupan', maka Gadoh garapan Namron sebagai penulis skrip filem ini cuba memberi fokus kepada penonton bahawa jurang keseimbangan antara kerjaya bukan berdasarkan pada cara berpakaian seharian, tetapi ia lebih mengkritik kepada cara pemikiran sesetengah manusia. Di dalam Gadoh, Namron menggambarkan status guru besar, Encik Chua sebagai seorang guru yang terlalu berfikiran sempit dan menyalahkan semua pihak sebagai pencetus kepada masalah sosial sebaliknya, beliau tidak sedari bahawa persekitaran sekolah tersebut adalah punca sebenar kepada permasalahan sosial tersebut yang akhirnya berjaya di selesaikan oleh Namron melalui kelas teater yang di anjurkannya. Dalam kehidupan seharian, kita boleh lihat bahawa aspek kesenian samada teater, filem dan muzik selalunya dipolitikkan demi untuk mencari kepercayaan dari segi perhubungan sosial. Tetapi melalui Gadoh, Namron cuba membawa penonton kepada aspek 'seni yang dipolitikkan' semasa scene terakhir semasa pementasan teater monolog yang dikendalikannya serta di barisi oleh para pelajar kelolaannya. Walaupun teater itu cuba memberikan sisi negatif kepada penonton ( gambaran dalam GADOH semasa monolog) yang mengupas 'kenapa dan mengapa' para pelajar menjadi samseng dan di monologkan secara sinis. Walaupun apa yang dipentaskan mereka di hadapan penonton yang turut di hadiri wakil Kementerian ( wakil kementerian bangun dan meninggalkan pentas akibat terluka dengan pementasan teater tersebut ) wajar dilihat secara positif, bukan negatif. Justeru, apa yang ingin diperkatakan Namron di dalam Gadoh adalah tentang 'kemanusiaan, persahabatan dan kasih sayang' . Namun begitu, Gadoh sebuah filem yang mengungkap pelbagai masalah dalam kehidupan rakyat Malaysia kerana dalam Gadoh tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan kerana jika kena caranya, ia akan berhasil walaupun krtikannya agak pedas dan sensitif barangkali. Oleh itu, Gadoh perlu ditonton oleh semua pencinta filem kerana ia merupakan sebuah filem yang cukup istimewa untuk tahun 2009 ini..

Filem Gadoh akan menarik lagi jika di hasilkan dalam medium 35mm atau HD.. hehehe.. apa2 pun tahniah buat Tayanithi yang memberikan shot2 yang agak menarik dan Namron yang cukup sinis gambarannya terhadap masyarakat Malaysia di dalam garapan Gadoh yang akan menemui penonton kembali di panggung Help Universiti, Damansara 8 mlm pada 12 June 2009. Masuk percuma!!


Catat Ulasan

0 Ulasan