HAMPIR 17 tahun dunia hiburan kehilangan anak seni ini. Namun, kepulangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad ke rahmatullah tidak pernah sedetik dilupakan.
Meskipun pentas nyanyi semakin berkembang, peninggalan seni arwah seperti Pelangi Petang, Basikal Tua, Apa Khabar Orang Kampung dan 31 Ogos tidak pernah sepi menghiasi hari-hari kita. Setiap kali lagunya diputarkan kembali, setiap kali itu juga ingatan terhadapnya berputar ligat.
Di mana gantinya anak seni berbakat besar sepertinya? Mungkin lebih tepat lagi, kelahiran bintang sepertinya hanya satu dalam sejuta.
Demi mengenang kembali jasa dan pengorbanan Allahyarham Sudirman, Bintang Emas Pictures (M) Sdn Bhd bakal menganjurkan konsert Untuk Mu Sudirman di Istana Budaya (IB) bermula 4 hingga 6 Jun ini.
Berkonsepkan cerita dalam lagu, konsert ini bakal mengembalikan nostalgia peminatnya. Menurut Penerbit Eksekutif dan Pengarahnya, Eja Ibrahim, konsert berkenaan bakal mengimbau kembali ingatan peminatnya kepada legenda itu.
“Konsert ini diadakan selama dua jam. Menariknya, lagu Allahyarham akan dinyanyikan oleh lapan artis jemputan, antaranya Kazaruddin Saisi, Haziq AF, Atilia Haron, Andy (Flop Poppy), Mila, Ikhwal, Adibah Noor dan Que Haidar pula bakal diangkat menjadi perantara konsert berkenaan.
“Setiap penyanyi ini ada kelebihan masing-masing. Malah, karakter dan kelebihan yang mereka miliki dijangka mampu membawa lagu Sudirman dengan baik.
“Walaupun kebanyakan artis yang dipilih tidak sezaman dengannya, sekurang-kurangnya ia menjadi medan untuk mendidik mereka mendalami hasil karya arwah.
“Jika diikutkan, kebanyakan anak muda sekarang sering melupakan ‘khazanah’ berharga yang pernah menyinari pentas hiburan kita.
“Lagipun, ini menjadi peluang untuk artis muda mendendangkan lagu dan memahami apa yang cuba disampaikan oleh arwah satu ketika dulu. Jika dikenang kembali, setiap lagu beliau mempunyai maksud mendalam,” katanya.
Daripada segi gubahan lagu, Eja berkata, penganjur cuba mendapatkan khidmat komposer terkenal, Jenny Chin yang berpengalaman menghasilkan lagu dendangan arwah ketika zaman kegemilangannya dulu.
“Kami sudah membuat pemilihan lagu untuk konsert berkenaan membabitkan segmen dalam setiap lagu yang disampaikan. Memang arwah terkenal dengan lagunya yang bercerita mengenai kehidupan dan berunsur nasihat.
“Malah, lirik lagu puitis itu ada kaitan dan cukup istimewa dalam kehidupannya. Lebih menarik, setiap lagu yang dipersembahkan akan diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK). Jarang lagu nyanyiannya menggunakan gubahan orkestra,” katanya.
Tambah menarik, setiap lagu turut diiringi pelbagai set pentas sesuai dengan zaman kegemilangan Sudirman. Menurut Eja, sekurang-kurang lapan set akan menghiasi pentas panggung itu.
“Kecanggihan dimiliki IB merealisasikan hajat kami untuk tampil dengan idea menarik.
“Misalnya, Kelvin Lau menyanyikan lagu Chow Kit Road dan dalam masa sama, pentas berkenaan akan berubah dan set jejantas Chow Kit dibawa masuk mengiring lagu berkenaan. Sekurang-kurangnya kami mahu konsert ini diingati penontonnya, lebih-lebih lagi peminat setia Allahyarham,” katanya.
Sementara itu, bagi peminat setia penghibur nombor satu negara ini, jangan lepaskan peluang menyaksikan koleksi peribadi milik beliau yang akan dipamerkan di IB bermula 1 Jun ini.
Antara yang menarik untuk dilihat adalah dua Piring Emas hasil jualan album, gambar lama Allahyarham bermula ketika beliau menyertai Bintang RTM sehingga zaman kegemilangannya dan produk miliknya sendiri seperti minuman ringan jenama Sudi.
Untuk menyaksikan konsert istimewa ini, tiket berharga RM250, RM200, RM150 dan RM50 mula dijual dan boleh didapati secara on-line di www.boxoffice.my atau hubungi 03-22875881 atau terus ke kaunter box office di IB.
0 Ulasan