sumber: Utusan Malaysia, 29 Disember 2009
PENGKRITIK dan pembikin filem tanah air, Mansor Puteh melahirkan rasa kecewanya apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memberi komen negatif berhubung dokumentari arahannya yang berjudul The Residency Years baru-baru ini. Beliau yang mempunyai sarjana dalam bidang perfileman dari Universiti Columbia, New York, Amerika Syarikat menyifatkan panel penilai Finas masih belum arif menilai dokumentari tentang kisah hidup bekas Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman dalam karyanya itu. Mansor mendakwa, ekoran ketidakarifan panel Finas, beliau menerima maklum balas daripada perbadanan itu yang turut mengemukakan kepadanya 13 komen berhubung dokumentari tersebut yang disifatkannya telah menjatuhkan maruahnya sebagai pembikin filem.
"Saya tidak pasti siapakah ahli-ahli panel Finas yang diberi tanggungjawab menilai filem dokumentari arahan saya itu. Dokumentari ini dicadangkan untuk ditayangkan di televisyen pada 8 Februari tahun depan iaitu sempena hari lahir Almarhum Tunku Abdul Rahman."13 komen itu tidak boleh diterima kerana mereka tidak menjelaskan secara terperinci apakah kesilapan yang telah saya lakukan. Sebagai contohnya, mereka kata konsep dokumentari saya tidak jelas, tetapi mereka tidak jelaskan apa yang tidak jelasnya. "Saya kecewa kerana Finas tidak menilai secara terperinci dokumentari itu yang saya ketengahkan dalam persembahan yang berbeza. Finas seolah-olah tidak ada tokoh yang berkelayakkan dalam menilai sesebuah karya termasuklah dokumentari saya itu," katanya kepada Hits ketika dihubungi baru-baru ini.
Sebelum itu dalam e-mel yang dikirimkan kepada Hits dan juga wakil-wakil media massa yang lain, pengarah filem Seman (1988) ini menyenaraikan rasa tidak puas hati dan kecewanya berhubung penilaian dokumentari arahannya yang menelan kos pembikinan RM170,000 itu. The Residency Years yang kebanyakkan penggambarannya dijalankan di United Kingdom termasuklah di Universiti Cambridge iaitu tempat Tunku belajar sewaktu mudanya sebagai salah satu apresiasi terhadap jasa serta ketokohan Bapa Kemerdekaan itu. Malah, karyawan filem berusia pertengahan 50-an itu juga amat kesal apabila panel penilai Finas mempertikaikan individu-individu yang dipaparkan menerusi dokumentari dengan durasi 48 minit hasil tajaan perbadanan itu termasuklah kakaknya, Rokiah Puteh serta bapanya Puteh Sulong.
"Kakak saya Rokiah Puteh berkahwin dengan anak angkat Tunku iaitu Syed Abdullah Barakhbah yang juga merangkap jurugambar peribadi Almarhum. Tunku menganggap abang ipar saya sebagai anaknya sendiri. Ini bermakna, bapa saya Puteh Sulong merupakan besan kepada Tunku."Secara tidak langsung, apabila Finas mempertikaikan kakak dan bapa saya dalam dokumentari itu, mereka telah menghina ahli-ahli keluarga saya yang mengenali Tunku sejak sekian lama. Malah, saya sendiri mengenali Tunku sejak dari kecil dan pernah menemubual Tunku sendiri sebagai bahan rujukan untuk dokumentari ini."Selain paparan orang-orang yang terdekat dengan Almarhum Tunku dalam dokumentari itu, saya turut memuatkan temubual dengan tokoh-tokoh lain seperti Tan Sri Zainuddin Maidin dan Tan Sri Ahmad Sarji yang pernah mengenali Tunku secara dekat," ujarnya.
Menerusi 13 komen balas yang dihantar oleh Finas kepada Mansor itu, ia antaranya mempertikaikan foto tanpa naratif suara menyebabkan penyampaian maklumat tidak sempurna, malah mengelirukan apabila foto Tunku bercampur aduk dengan Rokiah Puteh dan Puteh Sulong.Turut dipertikaikan dalam dokumentari itu ialah lagu yang dinyanyikan untuk Tunku Abdul Rahman pada penghujung siarannya terlalu santai untuk dihadiahkan kepada seorang tokoh hebat di mana lagu serta penyampaiannya dikatakan tidak sesuai.Mengulas berhubung komen seperti itu, Mansor menekankan bahawa ahli-ahli panel penilai Finas sepatutnya lebih terbuka serta mengambil kira soal kesanggupan, usaha dan kreativiti para pembikin filem dokumentari sepertinya dalam menghasilkan sesebuah karya.
"Karya dokumentari saya bukannya macam majalah di TV seperti Majalah 3 atau program Jejak Rasul kerana mereka mempunyai gaya serta pendekatan masing-masing. Dalam hal ini, Finas haruslah faham dan janganlah menilai filem dokumentari seperti dulu kerana sekarang ini zaman sudah berubah," komennya. Difahamkan Mansor mencadangkan kepada Finas supaya The Residency Years itu dapat ditayangkan menerusi saluran TV RTM pada tahun depan sempena ulang tahun kelahiran tokoh negara itu yang ke-107 pada 8 Februari 2010.Tambah Mansor, Tunku yang mangkat pada 6 Disember 1990 bukan setakat meninggalkan banyak nostalgia buatnya, tetapi juga kepada rakyat negara ini terutamanya sewaktu di era negara menuntut kemerdekaan daripada penjajah British pada tahun 1950-an.
"Saya haraplah sangat agar dokumentari arahan saya itu dapat disiarkan melalui RTM tetapi disebabkan komen-komen daripada Finas itu saya memang berasa sangat kecewa dan marah. Ini kerana, saya banyak mendedikasikan masa dan tenaga saya untuk dokumentari itu. "Saya mengenali Tunku sejak dari kecil, jadi ini adalah peluang saya untuk menterjemahkan pengalaman dan aspirasi serta apresiasi saya terhadap tokoh negara itu. Malah, dokumentari itu tentunya juga ingin disaksikan sendiri oleh seluruh rakyat Malaysia. Ia sebagai salah satu tanda penghargaan kita terhadap Almarhum Tunku," katanya.
Pada masa sama, Mansor turut melahirkan rasa gembiranya apabila Persatuan Pelajar Malaysia di Universiti of Nottingham, England telah menjemputnya menganjurkan sebuah pesta filem pada Mac tahun depan.Pesta filem yang akan membariskan filem Melayu berjudul Paloh, Sayang Salmah, Akhirat dan Layar Lara itu turut menampilkan dokumentari The Residency Years."Ini kali ketiga saya diberi peluang terbabit dalam pesta filem seumpama itu. Kali pertama di London pada tahun 1988 dan kali kedua di Manila pada 1989. Sementara pada November lalu saya ke Banda Aceh bagi bercakap tentang Sinema Nusantara dan Sinema Islam di Universitas Syiah Kuala dan di Radio Antero," katanya lagi.
0 Ulasan