Arkib: Utusan Malaysia
JAKARTA 2 Dis. - Indonesia mengharamkan tayangan filem Balibo terbitan Australia yang mendakwa tentera republik itu membunuh enam wartawan negara tersebut ketika serangan ke atas Timor Leste pada 1975. Tiada sebab dinyatakan mengapa keputusan itu dibuat dan pegawai daripada lembaga penapisan filem berkata, mereka tidak dapat menjelaskan atas alasan apa filem Balibo diharamkan. Polis Australia awal tahun ini melancarkan siasatan jenayah perang berhubung kematian lima wartawan yang terbunuh apabila tentera Indonesia memasuki pekan Balibo dan enam lagi mati seminggu selepas itu dalam serangan di Dili. Jakarta tetap berpendapat bahawa lima wartawan di Balibo itu mati ketika insiden berbalas-balas tembakan antara tentera Indonesia dengan pemberontak Fretilin Timor Timur.
Namun, filem tersebut menggambarkan bahawa wartawan yang bekerja dengan rangkaian televisyen Australia itu dibunuh dengan kejam atas arahan ketua tentera Indonesia untuk menghalang penyebaran berita pencerobohan tersebut ke luar negara. Seorang penyiasat koroner Australia dua tahun lalu, telah membuat kesimpulan bahawa 'Balibo Five' ditembak dan ditikam secara berulang kali oleh anggota khas tentera Indonesia ketika mereka cuba menyerah diri. Koroner tersebut meminta supaya beberapa pegawai tentera Indonesia didakwa atas kesalahan melakukan jenayah perang termasuk Kapten Yunus Yosfiah yang menjadi Menteri Penerangan Indonesia pada lewat 1990-an. Siaran persendirian filem tersebut untuk anggota Kelab Koresponden Luar Jakarta malam tadi, turut dibatalkan pada saat-saat akhir selepas pihak berkuasa memberi amaran kepada penganjur mereka mungkin didakwa. - AFP
0 Ulasan