oleh: Hassan Abdul Muthalib
( Karyawan Tamu Kanan, FACT UiTM)
Sinema adalah seni yang luar biasa di mana pemikiran manusia boleh menjadi imejan. Oleh kerana ia bersandarkan pemikiran, maka filem tergolong di dalam disiplin falsafah. Dan ternyata hari ini, bidang falsafah pula sudah diperkayakan oleh sinema.
Lima filem dari FACT, UiTM yang ditayangkan di Panca Delima, FACT, kampus Puncak Perdana, Shah Alam baru-baru ini memperlihatkan pemikiran beberapa karyawan muda yang menampakkan kegembiraan, keresahan atau pun sensitiviti mereka tentang bangsa, masyarakat & negara. Mereka meneroka subjek masing-masing dengan bersandarkan alam Melayu yang sebenar (& bukan alam Melayu fantasi seperti yang dibawa oleh kebanyakkan filem arus perdana masakini). Karyawan-karyawan muda inilah pelapis yang menjadi harapan sinema Malaysia yang sebenar di masa-masa akan datang.
SINOPSIS: Kisah seorang anak buta & bapanya yang pemurah.
KOMEN: Satu cerita yang simple yang diarah dengan penuh sensitiviti. Beberapa adegan mirip kepada gaya pengarahan Yasmin Ahmad (ia itu, naik basikal dalam MUKHSIN, pergerakan kamera yang perlahan disertai dengan petikan piano & kemudian diikuti violin). Walaupun mungkin ditiru tetapi ianya ’kena’ dalam konteks cerita di samping memberi petanda tentang sesuatu yang kemudian akan menyayatkan hati (& jelas ia memberikan payoff di akhir cerita).
Filem ini mempunyai subteks yang diselit dengan amat baik sekali melalui lakonlayar yang kemas. Pembinaan wataknya amat efektif melalui celoteh yang tak henti-henti oleh ayah & anak. Ayah begitu peramah dengan anaknya & kemudian baru kita tahu yang anaknya sebenarnya buta. Efek transisi dengan menggunakan skrin hitam yang berdurasi lama bukan sahaja menjadi teknik tetapi juga satu metafora, ia itu, masa pun berlalu & dunia ayah menjadi gelap kerana biji matanya disedekahkan kepada anaknya supaya dia pula boleh melihat.
Pelbagai manusia berlalu di perhentian bas di mana ayah & anak menunggu. Mereka marah dengan gelagat si anak yang begitu gembira melihat kereta & motosikal mereka. Mereka tidak tahu kisah si anak & ayah. Itulah dunia. Bahasa filem di sini menyerlah dengan syot akhir di mana baru audiens mengetahui bahawa ayah kini sudah buta. Ini digambarkan dalam ELS (extreme long shot) yang menjadi affection image & ternyata membawa kesan emosi kepada audiens.
KRITIKAN: Syot awal bermula dengan close shot foto mereka. Jika watak-watak dalam foto masih hidup (dalam cerita), maka tidak sesuai ditunjuk secara dekat. Itu petanda negatif walhal cerita ini adalah tentang pengorbanan & harapan.
Syot tak sepatutnya menampakkan mata ayah dengan jelas selepas ia keluar dari hospital Lebih baik over shoulder (misalnya) atau dari jauh. Di akhir cerita, baru dibuat dari hadapan & kita dapat lihat matanya tidak seperti di awal filem.
TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA (20’) Kamil Hashim
SINOPSIS: Kisah Hang Tuah dari zaman Melaka dahulu yang tiba-tiba muncul di Kuala Lumpur pada abad ke-21.
KOMEN: Menurut watak Hang Tuah dalam filem ini, Melaka dulu adalah Pusat Dagangan Dunia yang terkenal dengan budaya & warisan Melayu. Dia hairan bagaimana di KL, Melayu tidak merupakan Melayu. Semuanya sudah menjadi pelik, di antaranya:
Wira hanya terdapat pada nama kereta; Hang Tuah menjadi nama stesen LRT; Istana kini nama hotel; Sari Ratu rupa-rupanya restoran; nama anak Melayu pula Qistina; di sana sini restoran bernama orang putih seperti Pizza Hut & Honey Bake; Melayu bercakap bahasa Inggeris sesama mereka, mencarut, gila wang, memakai tatoo & bergaduh sesama sendiri. Gadis Melayu yang jelita sebenarnya mak nyah!; Bangsa Melayu kini sudah menjadi Bangsa Malaysia walaupun jumlah mereka lebih banyak; dan masih tak sudah sudah nak adakan perbincangan tentang Melayu akan pupus dalam 50 tahun lagi. Signage slogan politik & gambar ahli politik yang tergantung megah di bangunan pencakar langit mengundang persoalan: Apakah yang dilakukan oleh mereka yang dipilih rakyat untuk mengatasi masalah-masalah ini?
Filem ini membawa subjek & treatment yang menarik tentang isu yang sering diperkatakan kebelakangan ini yang juga meresahkan pembikin filem ini. Subjek yang sama sudah pun dibawa oleh beberapa karyawan filem seperti U-Wei HajiSaari (dalam kesemua filemnya) yang melontar persoalan: Mengapa Melayu dah jadi macam ni? Wan Azli Wan Jusoh dalam BUDAK KELANTAN: pula bertanya, Apa dah jadi pada Melayu? Persoalan yang sama dibawa oleh Ridhwan Saidi dalam filem pendeknya, KAKI LIMA. Namun sebagai anti-thesis, MY INDIE ROCK DARLING membawa kenyataan, Inilah namanya Melayu (walaupun gaya & rupa watak-watak tidak menyerupai Melayu yang sebenar.
Dari sudut treatment, TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA, menggunakan pendekatan binary opposition, ia itu, menampakkan kontras di antara yang lama & yang baru; yang berbudaya & yang sudah hilang budaya; yang lembut & yang kasar; dan yang bersabar berbanding yang angkuh. Begitu juga dengan tulisan Jawi yang asli berbanding tulisan Rumi yang bercampur Inggeris.
Alam Melayu dulu terkenal dengan pelbagai keunikan seperti bunian, jampi serapah, mantera, rasuk, amok & bermacam keajaiban yang datangnya dari ilmu kebatinan yang diamalkan orang-orang Melayu. Mahaguru Melayu dahulu kala sememangnya mengenal dua alam, ia itu, yang zahir & yang batin. Kamil Hashim bersandarkan alam Melayu ini dalam bercerita dengan menggunakan warkah sakti & kata-kata hikmat dari guru Hang Tuah, Sang Adi Putra, yang kemudian menerbangkan Tuah ke abad ke-21. Tuah sendiri mempunyai kelebihan yang digunakannya dengan hanya membaca Bismillah. Tetapi kini, kesemua kelebihan orang-orang Melayu itu sudah tidak ada lagi kerana manusia Melayu sudah menjadi kapitalis.
KRITIKAN: Still foto & nama watak-watak utama kemas, menampakkan mereka benar-benar Melayu & ini kena dengan tema cerita. Syot pertama yang diambil dari belakang, walaupun dalam bahasa filem bersifat negatif, adalah wajar kerana ianya berfungsi sebagai petanda awal tentang sesuatu yang tidak kena (foreshadowing). Namun, kemudian bahasa filem dalam adegan awal kurang mantap. Mise-en-scene kurang baik kerana framing, susunan pelakon,sekuen syot tidak kemas & suntingan yang kelam kabut membawa konotasi ada sesuatu yang tak kena di kalangan mereka (yang lebih sesuai ditonjol dalam adegan-adegan di KL).
Tuah & Labu pula tak boleh dibuat tight framing (menampakkan similarity yang merosakkan gestalt filem) kerana Labu hanya pembawa berita (dalam penulisan lakonlayar dipanggil messenger). Labu tidak memainkan peranan yang penting dalam cerita.Muka Tuah pula tak sepatutnya dihalang oleh kayu-kayu di foreground.Jebat juga tak patut dipisahkan dengan rakan-rakan yang lain kerana mereka sepakat tentang isu warisan.Bila Tuah membaca skrol, kamera tak boleh cross the line kerana konotasinya negatif & tak sesuai dengan konteks cerita di awal filem.
Di akhir cerita, sepatutnya kesemua rakan (melainkan Tuah) perlu bersepakat membaca skrol & tidak hanya Jebat.
3,2,1 (16’) Mohd Khalid Abu Takdir
SINOPSIS: Gelagat empat sekawan pelbagai bangsa di sekolah. Mereka bercerita ketika terlibat dalam subjek pendidikan jasmani.
KOMEN: Pengarahan pelakon kanak-kanak yang amat baik sekali. Begitu juga dengan penggunaan grafik berbentuk numeral & abjad. Adegan emosional di mana salah seorang kanak-kanak (Citra) menangis apabila terkenang ibu & bapa semasa bercerita amat sesuai & realistik kerana ianya membantu menguatkan cerita yang sudah nampak seakan mahu menyampaikan ’mesej’.
Syot bendera Malaysia berkibar sesuai dalam konteks cerita kerana ianya menjadi kesimpulan di akhir filem seakan mengatakan: Inilah kami – anak bangsa Malaysia. ’Maka tujuan filem ini disampaikan melalui visual & bukan melalui kata-kata. Itulah baru namanya ’sinema’!
KRITIKAN: Fungsi filem bukan untuk menyampaikan mesej. Itu kerja agensi kerajaan & pengiklan. Kisah dalam filem ini bermula dengan baik tetapi lama kelamaan ’sarat dengan mesej’ (istilah penulis hiburan dari sebuah akhbar tempatan!). Filem ini sesuai jika dibuat untuk FINAS, RTM & Filem Negara.
Lebih baik buang adegan tentang Negaraku agar filem ini menjadi sebuah filem pendek dalam ertikata yang sebenar. Jika tidak, ia hanya sesuai ditayang melalui saluran TV Pendidikan.
RUMAH ARES (10’) Ares Bahar
SINOPSIS: Kisah sepasang kekasih yang sudah berputus asa dengan dunia & bertekad untk membunuh diri.
KOMEN & KRITIKAN: Idea & cerita yang simple. Tapi yang ada sekarang hanya teks. Apakah subjek & apakah yang nak ditinggalkan kepada audiens?
Sebagai contoh, dalam filem WAYANG (Hatta Azad Khan, 2008), syot akhir adalah imej Sri Rama yang membawa maksud: Dalang datang & dalang pergi tetapi Sri Rama tetap akan hidup sehingga bila-bila untuk menghiburkan audiens.
Syot awal, pasangan menonton filem Tamil di TV. Dalam kalangan orang-orang Hindu & dalam filem-filem Tamil, apabila ada yang kecewa dia akan membunuh diri. Maka syot akhir RUMAH ARES sepatutnya semacam syot awal. Pasangan yang menonton filem di TV dah mati tapi TV (yang menjadi agen menyampaikan kesemua itu diforegroundkan di tengah-tengah frame).
Apakah idea untuk membunuh dari dengan minum racun diilhamkan daripada cerita-cerita di TV? Pasangan yang kecewa sudah mati tetapi medium yang mempengaruhi pemikiran mereka akan terus kekal untuk mempengaruhi remaja-remaja yang akan datang. Maka nawaitu Ares Bahar akan samalah dengan Dain Said dalam filemnya, SENANDUNG MALAM & U-WeiHajiSaari dalam ANAK EMAK bahawa.media hari ini menjadi agen yang mencetuskan pelbagai gejala buruk.
PEREMPUAN, HANTU & SKANDAL (18’) Ridhwan Saidi
SINOPSIS: Kisah seorang pengacara & 2 orang krunya yang mahu mencari kebenaran tentang kes pembunuhan seorang gadis. Mereka menemubual jin, jembalang & mambang.
KOMEN: Jelas idea untuk filem ini lahir daripada kes pembunuhan seorang gadis Mongolia yang penuh misteri yang cuba dilenyapkan dari radar media & ingatan rakyat. Maka Ridhwan, seperti Amir Muhammad dalam THE BIG DURIANnya, gelisah & mahu melahirkan ketidakpuasan hati tentang peristiwa itu. Lahirnya pelbagai pengkritik politik & social kebelakangan ini adalah kerana wujudnya pelbagai penindasan & penyalahgunaankuasa. Juga, lahirlah karya daripada beberapa pembikin-pembikin filem yang kritis seperti Mamat Khalid, Hishamuddin Rais, Namron, Wan Azli Wan Jusoh - & kini Bin Filem. Mereka ini bukan dari golongan karyawan yang membikin filem-filem Melayu fantasi seperti yang berleluasa sekarang. Mereka ini seperti juga sasterawan, yang mengambil berat tentang apa yang berlaku pada bangsa dan negara mereka. Kalau Tuhan boleh jadi hantu & God boleh jadi dog, apa lagi yang tak boleh jadi di Malaysia?
Karyawan sedemikian terdiri daripada golongan yang akan lahir di sesuatu negara pada sesuatu masa sebagaimana yang dinyatakan dalam filem ROBIN HOOD melalui grafik di awal filem: At a time when tyranny & oppression takes the law into its own hands, the outlaw takes his place in history. Maka lahirlah beberapa outlaws yang bukannya merompak tetapi memberi kesedaran kepada rakyat yang tidak mempunyai akses kepada maklumat yang sebenar. Kebenaran tetap akan jadi kebenaran. Kebenaran boleh cuba diketepikan atau dikaburkan tetapi tidak sesekali dapat dipadamkan. Ia akan kembali untuk mengetahui si pesalah. Seperti juga tema filem MAGNOLIA: You may be through with history but history is not through with you.
Namron, melalui filemnya, GEDEBE resah kerana terlalu banyak komplot & konspirasi berlaku sehingga rakyat tidak tahu yang mana satu yang benar & yang mana satu salah. Juga seperti dalam THE BIG DURIAN: rakyat tidak diberi maklumat yang sepatutnya tentang perisitiwa amokkan Prebet Adam. Maka berlakulah pelbagai andaian, prasangka & kecelaruan. Salah siapakah semua ini?
Begitu banyak misteri tentang pembunuhan dalam filem Ridhuan Saidi yang disampaikan dengan pendekatan yang mirip pada poetic realism. Ada beberapa saksi tetapi mereka ini bukan manusia. Apakah manusia tidak lagi boleh dipercaya menjadi saksi - walaupun di mahkamah? Saksi-saksi ini terdiri daripada Hantu Bukit, Jembalang Tanah, Angin & Mambang Air. Mereka pula bercakap tentang hantu-hantu yang mungkin melakukan pembunuhan. Soalan yang dilontarkan: Apakah gadis itu dibunuh oleh hantu-hantu & bukan manusia? Dua flash frame foto gadis itu (yang mirip pada gadis Mongolia) dapat dilihat secara subliminal, seakan-akan dia pun sekarang dah jadi hantu!
Saksi-saksi bercakap dengan begitu bertenaga & adakala beremosi. Hos yang menembual digambarkan membuat siasatan secara sambil lewa sahaja. Maka bila hos pula dibunuh di akhir cerita, apakah ini kerana kru sudah bosan dengannya (andaian nakal saya!). Atau pun terdapat satu lagi misteri di sebalik pembunuhan yang disiasat? Apakah ada pihak yang tidak mahu siasatan terus dibuat (& juga melalui sebuah filem pendek)?
Dari sudut teknik, filem ini merupakan satu produksi yang amat profesyional di segi penggunaan musik & kesan bunyi yang membantu melahirkan mood yang sesuai dengan subjek yang dibawa. Awal-awal lagi, teknik hitam putih menjadi petanda negatif tentang sesuatu keburukan (seperti KALA MALAM BULAN MENGAMBANG yang menampakkan keresahan pengarah tentang industri perfileman – subjek sebenarnya). Begitu juga dengan teknik jump cuts, bunyi anjing & guruh. Penggunaan teks yang dipetik daripada akhbar memberikan clue bahawa cerita in bukan rekaan semata-mata tetapi bersandarkan persistiwa yang pernah berlaku. Ridhwan Saidi menggunakan elemen-elemen dari alam Melayu untuk bercerita seperti hantu, jin, mambang, rasuk, hutan, dll; tidak seperti filem-filem JANGAN PANDANG BELAKANG, CONGKAK, SANTAU & NIYANG RAPIK yang entah bersandar pada budaya & alam apa. Rujukan pada filem RASHOMON juga menampakkan betapa Ridhwan menggunakan referent yang sesuai untuk menyampaikan maksud melalui adegan roh gadis yang dibunuh dipanggil oleh jembalang tanah untuk memberitahu apa yang berlaku.
KRITIKAN: Manusia memainkan watak Hantu Bukit, Jembalang Tanah & Mambang Air. Maka seharusnys juga begitu pada Angin. Misalnya dimainkan oleh watak seorang perempuan yang seakan pari-pari yang sentiasa bergerak & dikejar hos & kru..
p/s: Good Review Pak Hassan!!. ada sesiapa yang nak bagi DVD short film nie.. Saya belum tonton lagi nie!!!.
1 Ulasan