CUN... percubaan berani Osman Ali


Di kenali sebagai pengarah kontroversi menerusi naskhah 'Malaikat Di Jendela dan Bukak Api', kemudian 'Puaka Tebing Biru dan Anak Halal', kini Osman Ali tampil dengan karya baru yang lebih ringan, santai dan menghiburkan. CUN filem keempat Osman Ali yang diterbitkan Nuansa Film bersama Tayangan Unggul itu merupakan antara naskhah terbaru Osman Ali yang lebih ringan dan mudah difahami. Memilih genre romantik komedi berlatarbelakangkan sawah padi yang menghijau di utara semenanjung tanah air, CUN dilihat sebagai filem yang penuh berwarna warni untuk tahun 2011.

Menggunakan dua latar tempat yang berbeza iaitu di kampung ( mewakili watak Atan lakonan Remy Ishak) dan di bandar ( mewakili watak Luna Latisya lakonan Maya Karin) menjadikan CUN antara naskhah yang amat berlainan dari sentuhan Osman sebelum ini. CUN agak komersial dari segi garapan dan struktur penceritaannya namun kemunculan beberapa watak seperti Ryan Hidayat (Jehan Miskin), Mislina Mustaffa ( Bedah Tonggek), dan Siti Nor Faridah (Eton gebu) sedikit klise dari kebiasaan filem-filem tempatan yang ada. Namun, Osman bijak bermain dengan mood penonton terutamanya dalam pembinaan watak Atan dan Luna Latisya. Kemesraan mereka adakalanya mencacatkan filem ini, tetapi apa yang pasti CUN sebuah komedi romantik yang menghiburkan, tentunya tidak mengecewakan khalayak penonton.


CUN akan melecun pawagam tempatan mulai 31 Mac 2011.
Nantikan kemesraan CUN penghujung bulan ini.

p/s: Aku komen ringkas je filem ini sebab ia 'ringan, santai dan tidak memeningkan kepala'. Tetapi menurut Osman, dia menghasilkan filem CUN adalah untuk menjadikan karyanya ditonton segenap lapisan masyarakat, berbeza dari karyanya sebelum ini yang hanya ditonton dan dikaji oleh golongan tertentu sahaja. Kesimpulannya.. CUN pasti membuatkan anda tersenyum sendirian dan ada ketika jiwa anda pasti tersentuh dengan lakonan bersahaja Remy dan Maya yang memberikan impak sedalam-dalamnya...

CUN wajib tonton pada semua penonton.. ia karya ringan Osman Ali untuk tahun 2011.

Catat Ulasan

0 Ulasan