'Cukup Rencah, banyak ramuannya', - Nasi Lemak 2.0


Bukan Isu Kontroversi

Mendengar sahaja nama Namewee, pasti anda di antara anda akan mencemuh, mengkritik apatah lagi menghentam hebat anak muda yang telah menimbulkan kontroversi menerusi video klip 'Negaraku' yang terangnya menghina masyarakat dan bangsa melayu di Malaysia. Selepas itu timbul pula isu kononnya Namewee memberontak apabila filem sulungya, Nasi Lemak 2.0 dihentam wartawan Utusan Malaysia yang melabelkan filem Nasi Lemak sebagai karya yang tidak perlu ditonton. Itu bukan masalah bagi saya, sebab soal kreativiti dan pembikinnya satu hal yang cukup berbeza. Jangan kaitkannya antara satu sama lain.

Cerita yang mudah

  • Nasi Lemak 2.0 menampilkan jalan cerita yang agak mudah - fokus kepada point Nasi Lemak 'antara harapan, impian dan cabaran'. Plot ini berkembang menjadi satu isu yang mewujudkan gambaran kehidupan yang berbeza cara hidup, citarasa dan impian.
  • Cerita berkisar tentang Hero Huang yang terlalu agresif mencari hala tuju hidup - fokus kepada elemen Nasi Lemak ; penyatuan kaum, budaya dan cara hidup. Elemen makanan ditampilkan dalam setiap babak bagi menggambarkan 'setiap makanan yang dihidangkan' mencerminkan peribadi seseorang manusia yang mempunyai pelbagai ragamnya'.
  • Penyatuan kaum dalam setiap gambaran kehidupan antara fokus utama penceritaan Nasi Lemak 2.0. Dalam perkara ini, Namewee memberi fokus kepada Nasi Lemak yang dijual Adibah Noor. Melaluinya, Namewee ( Hero Huang) mengembara ke setiap ceruk di seluruh Malaysia bagi mencari kekuatan resipi masakan Malaysia. Dalam pengembaraan itu, Hero Huang bertemu Baba dan Nyonya dan keluarga India ( lakonan Datuk David Arumugam) . Dalam pertemuan itu, Hero Huang mempelajari bahawa setiap ramuan mesti ada perencahnya.. maka ramuannya itu adalah kehidupan maka perencahnya adalah perpaduan rakyat Malaysia. Jadi kedua-dua elemen ini perlu bergabung bagi mewujudkankehidupan sejahtera, aman dan harmoni.
  • Isu pergolakan dalam pemberontakkan sememangnya tidak dapat lari daripada status Namewee, sutradara muzik dan pengarah video kontroversi. Elemen membuat rakaman dan memuat turun naik video yang dirakam ke laman youtube, sengaja ditimbulkan Namewee melalui watak Hero Huang - Perhatikan karektor pegawal keselamatan yang tidak membenarkan pergaduhan kaum dirakamkan. Jadi Namewee mengugut jika mereka tidak mahu berkerjasama, maka dia (Hero Huang) akan menyebarkan rakaman dan ketidakpuasan hati itu kepada umum. Ini merupakan satu kritikan positif kepada rakyat Malaysia khususnya berbilang kaum supaya menghormati antara satu sama lain, jika mahu mewujudkan negara Malaysia aman sejahtera.
  • Elemen muzik Cina, India, dan Melayu menjadi asas kekuatan kepada filem Nasi Lemak 2.0. Perhatikan setiap muzik antara babak dalam filem ini - ia cukup meyakinkan khalayak bahawa tanpa muzik, sesuatu kehidupan tidak dapat dibuktikan. Menariknya, setiap lagu (melalui video klip) sengaja dibuat seperti karaoke (ada subtitle chinese di bawah). Kenapa?. Sebabnya rakyat Malaysia suka berkaraoke. Jadi dalam persoalan ini, Namewee ingin menceritakan kepada khalayak bahawa Malaysia sebuah negara berbilang bangsa , - sesiapa jua perlu menghargai erti sebuah kehidupan.

Sinematografi & Lakonan

Dari sudut sinematografi dan lakonan, kredit perlu diberi kepada pengarah sinematografi, dan semua pelakon yang terlibat kerana tanpa mereka, mana mungkin Nasi Lemak 2.0 menjadi sebuah karya yang cukup membanggakan saya. Ini lah filem berjiwa Malaysia selepas filem Estet. Saya berani katakan, Nasi Lemak 2.0 antara filem terbaik selepas ... Dalam Botol. Tonton dengan jiwa terbuka, dan minda yang positif ; tentunya anda akan ketemui sesuatu di dalamnya.

Nasi Lemak 2.0 filem wajib tonton seluruh rakyat Malaysia. Anda akan tersenyum menyaksikannya.. Menghiburkan dan tidak rugi jika anda melanggan ASTRO FIRST - bagi yang belum menontonnya.


p/s: Nasi Lemak 2.0 juga dalam bentuk HD di Astro First. Ini Review aku bukan ulasan ye..

Catat Ulasan

0 Ulasan