petikan sumber dari Malaysiakini.
Sekadar renungan bersama.
“Maka menerusi belas kasihan Tuhanlah kamu [Wahai Rasul] berlemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri darimu. Maka maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan bagi mereka; dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan awam…..” [3:159]
Perbahasan mengenai homoseksualiti dan Islam bukanlah perkara asing dan taboo bagi para pengkaji dan pemikir. Daripada aspek hukum sehingga bagaimana masyarakat sewajarnya menyantuni isu ini telah dibahaskan dengan begitu panjang lebar oleh para sarjana.
Sayangnya, sikap masyarakat Islam yang tidak berupaya mencedok dan menghadam perbahasan tersebut dengan berhati-hati telah menjejaskan imej yang ingin kita potretkan kepada Islam. Islam bukanlah agama hukuman sebagaimana yang difahami oleh kebanyakkan Muslim. Bahkan ia adalah agama yang penuh dengan kasih sayang dan mempromosikan keamanan sesuai dengan maknanya – sejahtera.
Trend beragama di Malaysia sangat membimbangkan, kita terlalu rigid dan menyempitkan agama di dalam perkarangan masjid dan surau sahaja. Kita mudah untuk mengharamkan dan menghalalkan sesuatu tanpa berfikir panjang dan mengambilkira situasi dan keadaan semasa. Jika ia tidak halal pasti ianya haram dan begitulah sebaliknya. Ketahuilah Islam lebih luas dari masjid dan surau kita. Apabila timbul isu Elton John dan Seksualiti Merdeka, ramai Muslim termasuk badan-badan NGO yang membawa jenama Islam melenting dan menunjukan reaksi yang tidak wajar.
Alasan mereka mudah, perkara seperti ini mempromosikan cara hidup yang tidak Islamik. Kononnya ramai anak muda Islam yang akan terpengaruh dengan cara hidup yang berkiblatkan barat.
Seperti biasa, PERKASA adalah antara yang terawal membuat laporan polis diikuti dengan badan-badan lain dan individu yang kononya risau dan khuatir dengan perkembangan ini.
Rasuah juga satu dosa
Saya tidak bercadang untuk memanjangkan perbahasan tentang hukum homoseksualiti dari sudut agama, kerana ianya jelas. Mahu atau tidak kita mengakui homoseksualiti merupakan suatu dosa dan bertentangan dengan norma – norma agama. Namun sekiranya inilah yang menjadi kegusaran PERKASA serta badan – badan NGO dan individu Muslim yang lain, kegusaran ini tidak berasas.
Ketirisan dalam pentadbiran kerajaan merupakan satu dosa, rasuah juga merupakan satu dosa, penganiayaan terhadap buruh juga merupakan satu dosa, membolot kekayaan negara untuk kroni dan keluarga juga merupakan satu dosa. Bahkan ianya lebih besar dan wajar untuk kita ambil peduli kerana ia melibatkan harta rakyat dan negara. Ia bukan maksiat peribadi.
Islam tidak pernah bersetuju dengan homoseksualiti tetapi Islam adalah agama yang sangat menghormati hak peribadi individu sehingga Allah menegaskan di dalam Surah Al – Hujarat ayat 12:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang..”
Tidak menjadi tugas dan kewajipan pemerintah Islam untuk mengintip dan mencari-cari kesalahan dan maksiat individu yang dilakukan secara tertutup dan tersembunyi. Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dawud bahawa Muawwiyah mendengar Rasulullah (S.A.W) bersabda:
“Sesungguhnya engkau, jika mencari-cari keaiban orang ramai, nescaya engkau merosakkan mereka atau hampir merosakkan mereka”
Samada kita suka atau tidak, homoseksualiti merupakan satu realiti yang mesti kita terima. Pergilah ke ceruk mana sekalipun kita tidak dapat lari dari realiti ini.
Hukum berimankan ‘Ma’boon’
Bahkan sekiranya kita membuka teks–teks klasik fiqh, kita pasti akan bertemu dengan perbahasan mengenai ‘Ma’boon’, iaitu lelaki yang mempunyai perasaan terhadap lelaki lain. Para sarjana Mazhab Maliki menyatakan sah hukumnya berimamkan seorang ‘Ma’boon’.
Saya merasakan kita sewajarnya mengambil langkah yang lebih realistik dalam menyantuni isu ini. Banyak persoalan yang lebih utama untuk kita bangkitkan. Penindasan dan sikap double-standard masyarakat terhadap golongan LGBT ini merupakan sesuatu yang amat membimbangkan. Baca sahaja laporan media dan internet, berapa ramai remaja yang kehilangan nyawanya setiap hari hanya kerana dia seorang homoseksual? Apakah jiwa mereka tidak bernilai pada mata kalian? Adakah ini yang Allah perintahkan?
Adakah kerana mereka homoseksual maka darah mereka halal untuk dikorbankan ? Maruah mereka boleh dipermainkan? Mereka boleh didiskriminasikan dan diperlakukan sesuka hati? Jika jawapannya 'Ya', maka kita bukan sahaja tidak layak menjadi seorang Muslim bahkan tidak layak langsung menjadi manusia. Allah berfirman:
“...Barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia keseluruhannya” [5:32]
Kita bebas untuk tidak bersetuju dengan perbuatan mereka. Tetapi sebagai manusia, mereka wajar dihormati dan diperlakukan selayaknya. Tindakan singkat akal yang dilakukan atas nama Islam dalam isu ini telah mencacatkan wajah Islam sebagai agama yang toleran dan penuh dengan kasih sayang. Kenapa Muslim senang sekali menjauhkan manusia lain dari Tuhannya?
Tuhan tidak pernah berjenaka apabila Dia mengatakan:
“Belas kasihku meliputi segala benda....” [7:156]
Ya Allah sesungguhnya hamba-Mu telah menyampaikan!
p/s: Wallahuallam..
1 Ulasan
moga moga si Mazidul & sekutunya baca posting ini...