APA YANG KERAMAT DALAM KERAMAT?

JUDUL filem juga penting. Keramat antara filem seram yang ditayangkan awal tahun 2012. Sesudah menontonnya saya tertanya apakah yang keramat?

Jika David Teo mahu mempertahankan filem Keramat sebagai hasil popular bukan filem “berat”, maka ditegaskan bahawa filem Keramat langsung tidak menepati ciri sebagai sebuah filem popular.

Kelihatan pengarahnya, Azahari Zain terlalu naif tentang sinematografi sehingga dibiarkan lampu kelihatan dalam beberapa babak. Penataan cahayanya lebih kurang sama sahaja dengan filem Pontianak Harum Sundal Malam arahan Shuhaimi Baba dibuat dalam pencahayaan terang. Muhammad Hatta (Dari Idea ke Skrin : Teknik Penerbitan Filem, 2002, USM) menyatakan pencahayaan suatu elemen terpenting sinematografi. Pencahayaan memberi mood, kesan realiti dan fantasi. Pencahayaan suram sesuai untuk filem seram, misteri dan fantasi.

Namun Keramat kehilangan arah. Plot disusun secara tidak teratur. Barangkali penulis skrip mahu menyuntik kesegaran dengan mencuba plot non-linear. Namun ia tidak dilakukan dengan cermat dan teliti hingga mengganggu kefahaman penonton.

Teknik imbas kembalinya gagal sama sekali menerangkan kaitan antara Habib (lakonan Zul Handy Black) yang berjubah hitam dan bertudung muka dengan tongkatnya. Apakah kaitan Habib yang hidup pada 1900 dengan babak imbas kembali Nasti dan Nazmir pada zaman ini menuntut ilmu hitam di gua dan bertapa sehingga didatangi hantu kepala terbalik? Ada ruang kosong di sini.

Tongkat Habib ialah objek mistik yang cuba diketengahkan. Teknik syot luru ke dalam yang memfokuskan kebun tebu sehingga imej tongkat yang terbenam langsung gagal membangkitkan rasa ingin tahu. Watak Bukhari berslanga Indonesia muncul sebagai watak putih dan penyelamat. Kata Bukhari tongkat sebagai pembeza hak dan batil tanpa sebab dan konteks tertentu. Nasti yang berjaya menguasai ilmu hitam berbanding abangnya Nazmir, telah diamanatkan oleh gurunya untuk mendapatkan tongkat Habib kerana kononnya dapat menundukkan segala makhluk.

Namun Nasti fatal apabila memegang tongkat Habib, badannya kejang dan mulutnya berbuih. Tidak dijelaskan mengapa hal ini berlaku. Sebaliknya Nazmir menjadi bersemangat dan marah-marah apabila memegang tongkat itu.

Bukhari sebagai simbol agama menyatakan apabila keramat dibuka maka nyawa galang gantinya. Keramat itu bukan pada tongkat tetapi pada Habib sendiri, menurut Bukhari. Jadi apakah kaitan tongkat dengan Habib? Pada masa yang sama tongkat itu secara magisnya menjadi penghubung antara masa lalu dan masa kini.

Melalui promosinya, dinyatakan wajah Habib yang diselak itulah memancarkan cahaya sehingga menghapuskan Jabar dan rakannya yang membunuh Habib. Mungkin inilah maksud keramat Habib. Dalam korpus budaya Melayu tiada langsung ciri watak dan perwatakan Habib sama ada dalam tradisi lisan mahupun bertulis. Citra wira dan protagonis Melayu dalam sastera dibina sebagai lelaki yang sempurna jasadnya dan ilmunya. Pertimbangkan Hikayat Malim Deman yang mencirikan ketampanan wiranya dengan tompok-tompok panau di tubuhnya! Namun Malim Deman tetap wira disosialisasikan dalam ruang budaya Melayu-Islam.

Habib sebagai tokoh dibina dalam ruang budaya Melayu dalam filem ini. Ruang masa yang cuba dijelaskan melalui filem amat lemah. Kebaya dan aksesori wanita Melayu tidak memberikan gambaran tepat tahun 1900. Mustika bertutur dalam langgam bahasa Melayu hikayat yang mana hikayat Melayu telah tertulis berdekad-dekad sebelum tahun 1900 lagi. Watak Mustika tidak selari dengan kewujudan watak Habib dalam ruang budaya Melayu. Habib pun bukan nama kebanyakan orang Melayu. Habib merujuk alim ulama dan keturunan nabi. Dalam Keramat, Habib merupakan tipa Dart Vader simbol bapa kejahatan dan satan. Dart Vader dalam filem Star Wars sehingga ke filem Harry Potter tetap sebagai antagonis jahat.

Kewujudan Bukhari bersama kanak-kanak berjubah putih berserban mengalungkan tasbih ke leher ala pentomin. Bandingkan dengan guru ilmu hitam Nasti dan Nazmir juga mengalungkan tasbih di lehernya. Siapa mereka? Pelajar pondok? Kewujudan sebuah pondok seperti pondok menunggu durian yang daif mencipta tanggapan mereka ialah orang bunian. Dalam tradisi lisan Melayu, ada bunian beragama Islam tinggal di rimba bersifat lurus.

Selepas kemunculan Bukhari kali pertama secara tiba-tiba di rumah pusaka ketika Zura kerasukan lalu bertukar menjadi hantu, Bukhari berjaya mengalahkannya, tongkat dibenamkan kembali ke tanah. Babak seterusnya Nasti dan Nazmir saling berpelukan di kebun tebu. Tiba-tiba datang seorang remaja memakai lebai menunggang motosikal dengan membonceng Zura menuju ke arah Nasti dan Nazmir menyatakan Mun hilang dari pondok. Nazmir 'meminjam' motosikal dan meninggalkan lokasi. Babak seterusnya Nazmir sudah sampai di halaman rumah pusaka pada waktu malam. Logik masa telah diabaikan. Dan perilaku Mun yang diserap hantu menari di sebalik tiang dengan kepala berbalut kemuncak mood komedi dalam filem ini.

Barangkali Bukhari dan anak buahnya mahu digambarkan bertentangan dengan watak Habib. Ia mengelirukan kerana Habib diberi nilai simpatik dibunuh akibat difitnah oleh Mustika sendiri. Kita teragak-agak mahu simpatik terhadap Habib kerana dibayangi karakter Dart Vader. Boleh jadi pelakon pun keliru dengan watak dan naratif Keramat yang harus dijiwai sehingga terzahir menerusi gerak lakon yang amat lemah dari berbagai sudut. Akhirnya semua watak saling berbunuhan.

petikan sumber : Utusan Malaysia, 22 Januari 2012.

p/s: Jujurnya aku cakap 'Keramat' sebuah filem Azhari Zain yang amat mengecewakan aku. Plot yang berterabur, hilang arah fokusnya sehingga menganggu mood seram filem ini. 1.5 bintang.

trailer

Catat Ulasan

3 Ulasan

Kakiwayang berkata…
hancur cite ni...wahaha...

jemput baca review di www.kakiwayang.com ...=)
vendoline berkata…
yang penting hantu dia seksi amat...hahahahahaa
mmg aim cte ni..mcm best
Amy Ikram berkata…
korang tgk sebab Hairul Azreen yg seksi tu kan?. hehee