'Sesuatu Yang Tertinggal', garapan sutradara muda, Asrul Hisyam (sebelum ini menjadi pengarah Animasi bagi Hooperz, Penerbit & Kesan Khas bagi filem Antoo Fighter dan Kesan Khas bagi filem Misi 1511) mencuba nasib sebagai pengarah filem bagi pembukaan sinema 2012 'Sesuatu Yang Tertinggal', terbitan Primeworks Studio. Filem lakonan Zahiril Adzim, Shera Aiyob, Sara Ali, Eina, Nam Ron, Beto Qusyairy dan ramai lagi ini telahpun bermula tayangannya semalam, 5 Januari 2012. Ia mengisahkan sekumpulan 6 anak yatim ; Arshad (16 tahun), Mona (15 tahun), Zakiah (15 tahun), Ashraf (11 tahun), Daud (10 tahun) dan Murni (9 tahun) ; telah berpindah ke sebuah rumah lama yang terletak dipinggir bukit. Pelbagai peristiwa pelik terjadi sebaik sahaja mereka berenam mendiami rumah lama tersebut.
Plot Cerita , Sinematografi & Muzik
Permulaan cerita filem ini memaparkan seorang wanita yang diseksa dan ditangkap (seperti dirogol). Cerita berkembang masuk ke dalam sebuah rumah lama, di mana 6 karektor (Arshad, Ashraf, Mona, Zakiah, Daud dan Murni) dibawa masuk oleh watak Namron, penjaga rumah anak-anak yatim. Cerita berkembang lagi dengan plot 'almari misteri' yang terletak dalam bilik yang di diami Mona dan Zakiah. Penonton disogokkan dengan muzik menakutkan, efek dan tata cahaya yang seram dan dialog yang membangkitkan rasa tanpa tahu apakah yang 'tertinggal' di dalam banglo tersebut!. Menonton 'Sesuatu Yang Tertinggal', membuatkan saya tercari-cari apakah yang 'tertinggal' di dalam banglo lama tersebut?. Apakah 'almari' tersebut yang difokuskan?. Apabila Arshad ( lakonan Zahiril Adzim), Mona dan Zakiah bertungkus lumus mengalihkan 'almari' yang dikatakan 'misteri' itu ke luar rumah, saya tertunggu-tunggu jikalau ada benda yang tak baik muncul dalam almari tersebut sehingga mengganggu ketenteraman mereka berenam!. Rupa-rupanya hujan ditengahari.. maknanya andaian saya tak berasas dan benar!.
Penonton sekali lagi ditakutkan dengan situasi lantai luar rumah pecah (akibat almari yang jatuh terhempas) - Zahiril Adzim menemui cermin lama yang tersimpan di bawah lantai kayu lalu mengambilnya. Alangkah baik dan hebatnya cerita ini jika pada permulaan filem ini memaparkan 'seorang wanita dihadapan cermin, menyikatkan rambutnya lalu memegang cermin lama tersebut' atau 'ia dirogol dan dibunuh dihadapan cermin tersebut!'. -yakni wajahnya seiras Mona, lakonan Sara Ali. Tetapi, itu hanya andaian dari pemikiran saya saja, bukannya isi dan konteks dalam plot cerita filem ini. 'Sesuatu Yang Tertinggal' agak bercelaru ceritanya dan tidak memberikan penjelasan karektor Mona. Kenapa Mona menjadi sasaran disebalik kisah cermin (yang tidak diungkap atau diflashbackkan?!) Ia cuma bercerita sebaik saja, Mona menerima hadiah 'cermin lama' dari Zahiril Adzim (watak Arshad) . 'Cermin' itu merasuk Mona dan Mona menjadi hantu dalam filem ini. Persembahan Mona amat menakutkan, sampai saya terbayang-bayang hantu Mona ketika saya pulang ke rumah.
Karektor Mona yang menjadi jelmaan hantu disebalik 'cermin lama' tersebut cuba membalas dendam pada mereka yang tak pernah puas akan dirinya (lihat sahaja Mona membunuh pengawas sekolah dan budak perempuan itu - lupa pulak nama karektornya ; hehe). Apakah itu dendam hantu di sebalik cermin tersebut pada dua watak yang tidak bersalah ?. Asrul Hisyam cuba menakutkan penonton dengan watak budak perempuan itu yang lari dari hospital lalu dilanggar ditengah jalan ( mayat berkecai - nak paparkan efeknya) ; juga pengawas lelaki itu yang hancur disambar elektrik rumahnya sebaik saja ternampak Mona). Dalam cerita ini, elemen seram itu ada, tetapi sebagai pengarah, Asrul perlu tahu plot cerita dan perkembangan isinya. Saya tahu Asrul bercerita tentang 'cermin lama', tetapi jika ia diolah cerita 'sesuatu yang tertinggal' menjadi kisah cermin yang berhantu di banglo lama, pasti ia akan menakutkan semua penonton di dalam panggung - takut tengok cermin waktu malam.. hehhee
Elemen 'dark, dan low dark' , digunakan dalam filem ini. Ia sekaligus menimbulkan mood seram dan ketakutan pada penonton. Naiem Ghalili selaku colourist dalam filem ini berjaya menghasilkan sentuhannya. Ini tidak bermakna ia menjadi sebagai sebuah karya baik dan wajar diakui kehebatannya. 'Sesuatu yang tertinggal' boleh berjaya jika ia diolah kemas plot dan isi ceritanya, walaupun ia menampilkan nama-nama hebat dilayar filem seperti Nam Ron, Beto Qusyairi dan Zahiril Adzim. Namun , kemunculan hantu 'Mona', mengingatkan saya pada filem-filem JU ON dan seangkatan dengannya. Begitu jua dengan watak 'Murni' yang gemar bercakap sendirian, membuatkan saya tertanya-tanya kenapa pengarah cerita ini tidak memperkemaskan lagi karektor Murni, walaupun sedikit cuma. Persoalannya, Apakah 'Asrul Hisyam', menjadikan JU ON sumber inspirasinya pada karektor Mona?. Tepuk dada tanya selera.
'Sesuatu Yang Tertinggal' barangkali mengecewakan dari sudut plot dan kekuatan ceritanya, tetapi ia berjaya menimbulkan mood seram pada penontonnya. Jika anda mahu tonton filem ini, segeralah ke pawagam, tetapi jikalau tak mahu.. terpulanglah pada anda.. sebab duit andalah yang membuatkan anda berpijak ke panggung wayang menyaksikan semua filem yang anda gemari..
p/s: Sesuatu Yang Tertinggal tidak berjaya meninggalkan hati dan jiwa saya dalam filem ini, cukuplah sekadar saya teruja dan terpegun menyaksikan Mona dengan imej JU ON nya.. Walluallam..
1 Ulasan
jemput baca review di www.kakiwayang.com ye...=)