Petikan artikel dari mstar online mengenai BUNOHAN. Jom kita kongsikan bersama..
Tulisan oleh : WAHI
PETALING JAYA: Ketika orang ramai rancak memuji filem Bunohan arahan Dain Said, filem itu sebenarnya dilihat telah mengetepikan sosiobudaya negeri Kelantan selain bertujuan “menyeksa” pemikiran penonton.
Pensyarah Pengajian Media, Universiti Malaya, Ana Balqis berkata, pengarah itu terlepas pandang beberapa elemen penting termasuk bahasa dan plot filem yang bercelaru.
Menurut Ana Balqis yang berasal dari Kelantan, dia mengakui secara keseluruhannya, filem itu berjaya menonjolkan imej segar pada perfileman tanah air, tetapi ia masih mempunyai beberapa kekurangan yang mengundang pertikaian.
“Saya akui Bunohan sebuah filem yang baik, memberikan cerminan baru pada industri filem kita kerana ia dihasilkan dengan syot dan sinematografi yang berbeza daripada lambakan filem Melayu yang sedia ada.
“Dalam filem ini, kita tidak disogokkan dengan syot-syot membazir yang ribuan kali kita tonton dalam filem-filem Melayu sebelum ini seperti syot di meja makan, babak solat, berselisih bahu di pintu dan sebagainya.
“Sayangnya, jika cerita dan pengisian filem ini digarap dengan menekankan dan penelitian pada aspek sosiobudaya, antropologi dan bahasa, pasti ia jadi lebih baik,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini Khamis.
Bercakap mengenai aspek antropologi dalam filem itu, Ana Balqis berkata penonjolan aspek tersebut telah tersasar dan jauh dari dasar latar belakang filem itu yang menjadikan bumi Kelantan sebagai lokasinya.
“Saya melihat jika dia (Dain) sudah memilih bumi Kelantan sebagai latar belakang filem ini, maka dia harus memaparkan segala aspek berkaitan Kelantan termasuk linguistik, sosiobudaya dan agama dengan tepat dan bersesuaian.
“Ciri-ciri bahasa filem yang terbahagi pada non-verbal dan verbal dilihat tidak seimbang. Aspek non-verbal atau bukan pertuturan seperti paparan awan kelabu dan alam sekitar dilihat berjaya tetapi ia gagal pada aspek pertuturan, di mana dialek yang dituturkan para pelakon adalah tidak tepat.
“Jika penuturan itu tidak tepat, maka pentafsiran penonton juga akan salah tentang cerita filem ini,” katanya.
Kekeliruan
Ana Balqis berkata, oleh kerana kekeliruan pada aspek dialek itu, dia mengakui dua elemen yang dipaparkan pada babak awal menimbulkan kekeliruan sama ada filem ini mahu melonjakkan isu harta pusaka atau saka sebagai subjeknya.
Dia juga berkata, dek keterujaan Dain untuk menyelitkan terlalu banyak sub-plot dalam filem berkenaan, beberapa watak penting yang ditonjolkan seperti watak budak kecil dan Mek Yah (Tengku Azura) gagal meninggalkan kesan dan sumbangan terhadap filem itu.
“Saya tertanya-tanya di mana etos atau semangat serta signifikan watak Mek Yah dan budak kecil yang dipercayai sebagai saka itu? Sama ada dua watak ini wujud atau tidak, ia tidak meninggalkan apa-apa gangguan atau cela pada filem ini?” katanya.
Ana Balqis berkata, Dain juga menimbulkan kekeliruan apabila pemilihan senjata lawi ayam dijadikan perlambangan imej ‘kejantanan’ dalam filem ini.
“Hakikatnya, menurut sejarah dan cerita orang tua-tua, senjata yang digunakan oleh kaum lelaki di Kelantan adalah badik, kapak kecil dan kapak binjai manis. Lawi ayam yang digunakan secara meluas dalam filem ini sebenarnya berasal daripada masyarakat Jawa dan bukannya Kelantan.
“Ia mungkin isu yang penting tetapi jika benar Bunohan berlatarkan bumi Kelantan, maka adalah wajar penceritaan itu juga berpaksikan segala aspek persekitarannya juga,” katanya.
Didominasi unsur kejahatan
Hurainya lagi, apa yang meralatkan apabila pengarah itu langsung tidak memartabatkan elemen agama dan Islam dalam filem itu, melainkan unsur negatif dan kejahatan yang mendominasi tema filem ini.
“Kenapa Dain tidak selitkan dalam satu pun elemen agama atau sesuatu yang meraikan agama? Saya melihat Dain memilih untuk gambarkan Pok Eng (Wan Hanafi Su) sebagai golongan yang bercelaru dan alpa pada aspek itu.
“Penonton wajar diberikan sedikit harapan di pengakhiran cerita bahawa agama mampu memberikan perubahan pada kecelaruan karakter Pok Eng.
“Malangnya, itu tiada dan Dain memilih untuk meraikan unsur-unsur hitam seperti pembunuhan dan kejahatan semata-mata,” katanya.
Ketika ditanya mengenai pandangan umumnya mengenai filem itu, Ana Balqis menganggap Bunohansebagai karya kreatif yang menyeksa penonton.
“Kita boleh berkarya secara kreatif dan tidak salah untuk mengangkat gagasan atau tema yang besar dalam filem tetapi pembikin harus adil pada penonton.
“Filem sewajarnya dihasilkan untuk dinikmati oleh masyarakat umum dengan pentafsiran yang mudah, bukan menyeksa mereka dengan paparan sub-plot yang bercelaru dan mengelirukan,” katanya.
Kabur & berpecah belah
Sementara itu Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah pula berkata, Bunohan adalah sebuah karya yang benar-benar berlainan berbanding filem-filem yang ada pada masa ini.
Malangnya ia tidak menghasilkan dramaturgi yang diperlukan dalam sesebuah filem untuk memudahkan ia diterima ramai.
Atas sebab itu, ceritanya menjadi kabur, berpecah-belah dan tidak menghuraikan secara kompleks tentang apakah yang ingin disampaikan dalam sesebuah cerita.
“Apabila kita menonton Bunohan, ia seolah-olah kita menonton sebuah dunia yang penuh kekeliruan.
"Kita tidak dapat memahami watak termasuklah hubungan watak dengan alam, kejadian yang berlaku serta perkara-perkara lazim yang merupakan asas dalam sesebuah karya.
“Malah ia juga sebuah karya yang sukar dilihat sebagai karya yang cantik jika dibandingkan dengan filem Semerah Padi dan Sumpah Orang Minyak,” jelasnya.
Mengambil contoh Sumpah Orang Minyak Dr Abu Hassan berkata, dua antropologi Melayu telah di angkat oleh P.Ramlee iaitu rajuk dan pujuk apabila Orang Minyak “merajuk” dengan masyarakat kerana dihina akibat kecacatan.
Sehinggalah kata beliau hanya syaitan yang berjaya memujuknya sehingga terjadinya Orang Minyak.
Sumbat
Tambahnya Dalam Bunohan tidak dapat dilihat apakah dramaturgi yang hendak diangkat kerana persembahan cerita yang terlalu keliru dan bercelaru.
“Di situlah ada saka, nak cerita tentang dukun, pergaduhan adik-beradik, permainan wayang kulit dan perlawanan Tomoi. Semua benda hendak disumbatkan dalam satu masa. Ia sebenarnya telah menyimpang daripada asas dramaturgi yang sebenar,” jelasnya.
Dr Abu Hassan berkata, pengarah Dain Said cuba untuk membawa idea daripada sinema Barat seperti pemikir falsafah Luis Bunuel ataupun Ingmar Bergman tetapi ia tidak jelas dalam Bunohan.
Disebabkan kegagalan itu audiens hanya berjaya diselamatkan dengan kecemerlangan aspek seni lakon para pelakon dan sinematografi tetapi ia jauh terkebelakang jika dibandingkan dengan Johnny Bikin Filem karya Dr Anuar Nor Arai.
Tambahnya terdapat watak-watak dalam Bunohan yang tidak berhubungan berbanding filem Titanic yang lebih mudah.
Katanya, watak di dalam kapal cukup ramai digunakan dan kesemuanya bergabung apabila Titanic tenggelam di lautan.
Sebagai contoh katanya apa tujuan adegan di mana Ilham membunuh seorang peniaga berbangsa Cina melainkan ia sekadar untuk menunjukkan betapa ganasnya pemuda itu.
Bagaimanapun kata Dr Abu Hassan, Bunohan tetap memberi kesan kepada perubahan corak berkarya filem-filem Melayu apabila ia cuba meneroka naskhah filem yang mempunyai teoretikal dan falsafah.
Bunohan yang telah menemui penonton bermula 8 Mac lalu dibintangi oleh Faizal Hussein (Ilham), Zaharil Adzim (Adil), Pekin (Bakar), Bront Palare Deng), Wan Hanafi Su (Pok Eng), Namron (Pok Wah), Shoffi Jikan (Awang Sonar) dan Tengku Azura (Mek Yah.
Kos produksinya menelan belanja RM1.81 juta.
0 Ulasan