TIADA LAGI FILEM SAYA DI ASTRO FIRST! - AHMAD IDHAM


Pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri ketika ditemui semasa majlis menandatangani kontrak kerjasama dengan TV3 menjelaskan bahawa 'semua filem yang diarahkannya tidak lagi dijual / dibenarkan tayangannya di Astro First. Menurut Idham, saluran tv berbayar itu tiada keselamatan dari segi hak siaran terhadap semua filem yang ditayangkan. Bayangkan baru beberapa hari filem tempatan ditayangkan di Astro First boleh diturun muat ke youtube dan didownload oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Jom kita baca apa yang diperkatakan Ahmad Idham semasa majlis tersebut..

Petikan dari Berita Harian 23 Mac 2012.

KECEWA karyanya diciplak dan tiada perlindungan diberikan setelah disiarkan di Astro First, Ahmad Idham tidak lagi akan menayangkan filem terbarunya di saluran berkenaan, sebaliknya menjalinkan kerjasama dengan stesen televisyen TV3 untuk tempoh dua tahun.

Berasakan pendekatan digunakan stesen televisyen terbabit dalam penayangan filem sebelum ini lebih memberikan perlindungan terhadap karyanya, penerbit Excellent Pictures itu menganggap, kerjasama ini akan lebih mendekatkan dirinya dengan kehendak penonton. Saya memang membesar dengan TV3, sejak menjadi pelakon pembantu lagi. Jadi, apabila tawaran ini datang, saya rasa perlu untuk saya memberikan sokongan kepada mereka.

“Sudah agak lama saya bekerjasama dengan Astro First. Saya agak risau kerana tiada perlindungan diberikan terhadap karya saya, serta ia mudah dicetak rompak. Filem Hantu Bonceng contohnya, sudah boleh ditonton di YouTube ketika ia masih rancak ditayangkan di saluran berkenaan,” katanya.

Idham yang ditemui pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman bersama TV3, yang diwakili Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, menegaskan tidak semua filemnya akan ditayangkan dalam tempoh dua tahun itu. Malah, filem terbarunya juga tidak akan disiarkan selepas menemui peminat di pawagam. Sebaliknya, waktu siaran akan ditentukan sendiri stesen televisyen itu.

“Jangan Pandang-Pandang akan menjadi filem pertama saya yang akan disiarkan di TV3, tetapi kita belum tahu tarikhnya. Mungkin ia disiarkan pada cuti sekolah atau musim perayaan. Begitu juga dengan jumlah filem yang akan disiarkan. Semuanya bergantung kepada mereka. “Kerjasama ini membuka peluang kepada saya untuk lebih memahami kehendak penonton dan stesen televisyen dalam menghasilkan filem,” katanya. Selain Jangan Pandang-Pandang, filem Gerimis Mengundang, Mael Lambong, Cinta Atas Tar dan filem terbarunya, Lari, hasil kerjasama dengan penerbit Thai, yang akan memulakan penggambaran dalam masa terdekat, akan turut ditayangkan di stesen itu.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan TV3 dan TV9, Nurul Aini Abu Bakar, Excellent Pictures dipilih untuk kerjasama itu kerana rekod bersih syarikat penerbitan terbabit dalam membekalkan drama dan telefilem kepada stesen berkenaan. “Kerjasama ini adalah yang pertama dibuat dari segi filem. Kami akan membuka peluang kepada lebih banyak syarikat penerbitan filem, yang ingin bekerjasama dengan kita, selepas melihat hasilnya,” katanya sambil memberitahu, slot yang banyak di stesen itu tidak akan mewujudkan persaingan dengan produksi daripada Grand Brilliance Sdn Bhd.

Catat Ulasan

0 Ulasan