KEBELAKANGAN ini, filem Melayu dilihat semakin biadab memaparkan adegan ranjang yang dilakonkan oleh pelakon wanita dan lelaki Melayu. Ironinya adegan ranjang ini dilakukan oleh pengarah Melayu yang sepatutnya faham batas dalam budaya mahupun agama.
Jawapan klise pelakon yang terlibat ialah "mengikut skrip". Malah mereka secara tidak bersalah seolah-olah memberitahu masyarakat artis ada lesen untuk membuat adegan ranjang.
Pengarah dan pelakon kita banyak yang telah diresapi fahaman sekular hingga filem Melayu tidak ubah macam filem Hollywood.
Ini bukan benda baru yang berlaku dalam industri filem kita, namun ketika ini semakin teruk apabila pengarah Melayu sengaja mewujudkan adegan itu untuk mengumpan penonton.
Gaya hidup moden yang dipaparkan ke dalam kebanyakan filem Melayu ketika ini semakin tiada batasannya. Setiap pengarah seakan-akan berlumba-lumba menghasilkan karya 'kebaratan' mereka. Mereka mencabar batas moral, budaya dan agama semata-mata terasuk dengan hasutan sekular.
Beberapa filem Melayu yang jelas memaparkan adegan ranjang adalah Anak Halal, Ombak Rindu, Buka Api dan yang terbaru Jiwa Taiko. Malangnya tidak banyak pihak yang mempersoalkan kewajaran adegan ranjang ini seolah-olah merestui. Pihak penapisan kita memang sudah lama sekular dan mereka tidak kisah dengan pemcemaran moral begini.
Faktor yang mendorong untuk melakukan adegan tersebut mungkin kerana terlalu terpesona dengan budaya filem Hollywood.
Filem hebat Melayu contohnya Bunohan langsung tidak memaparkan adegan ranjang tetap dianggap berjaya. Jika di imbau kembali ketika filem era P. Ramlee juga tiada adegan ranjang dilakonkan namun setiap filem romantiknya berjaya diingati sehingga hari ini.
Melayu biasanya begitu kuat dengan adat resamnya dan perjalanan hidup mereka berpegang kepada hukum hakam agama.
Namun kebelakangan ini, segelintir pengarah Melayu lupa tentang pegangan tersebut sehinggakan mereka sendiri sanggup mencemarkan adat dan pegangan mereka.
Alasan yang selalu diberikan oleh pengarah adalah untuk menggambarkan tentang permasalahan sosial seperti pergaulan bebas dan melahirkan anak luar nikah. Kononnya filem mereka akan menyedarkan remaja padahal filem merekalah yang menyumbang anak luar nikah.
Jika adegan ranjang yang diselitkan oleh pengarah dalam filemnya dibuang, adakah jalan cerita filem tersebut akan cacat? Belum ada dalam sejarah pembikinan filem bahawa filem akan cacat kalau tidak ada adegan ranjang. Masyarakat pula janganlah berlagak berfikiran moden apabila berdiam diri dan menerima adegan ranjang dalam filem Melayu. Berapa kerat yang bersuara lantang mengkritik perbuatan pengarah Melayu yang biadab begitu?
Pengarah kita kena ada pemikiran. Memanglah kalau ikut definisi seni di Barat, seks dan kelucahan itu sebahagian dari seni. Lukisan wanita bogel itu seni. Tetapi adakah nilai itu boleh dibawa dalam masyarakat kita yang ada nilai-nilai tersendiri dibentuk oleh acuan budaya dan agama? Inilah yang dikatakan Melayu yang menjahanamkan Melayu.
3 Ulasan
Those scenes can make money..so, why not..?
Apabila terlalu memikirkan keuntungan..inilah yang terjadi,,