PINDAAN BARU AKTA HAK CIPTA.. BERI NAFAS BARU.


SABAN hari, industri hiburan tanah air kini semakin berkembang dan membangun pesat. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran bakat baru yang memeriahkan lagi industri.

Namun, jika dilihat secara teliti, industri ini sebenarnya masih lagi bergelut dengan pelbagai masalah dalaman yang ada kalanya memberi kesan terhadap karya dan kehidupan anak seni itu sendiri.

Isu hak cipta dan kutipan royalti bukanlah lagi perkara baru yang sering disuarakan kebanyakan penggiat seni bagi menuntut hak mereka, malah ia telah dibangkitkan sejak lebih sedekad lagi.

Pelbagai inisiatif telah dilakukan supaya hak dan perlindungan sebagai anak seni dapat berfungsi dengan sepenuhnya bagi memastikan nasib mereka terus terbela.

Akhirnya usaha tersebut membuahkan hasil apabila pembentangan Akta Hak Cipta 1987 (Pindaan 2010) oleh pihak kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang mengambil kira semua suara karyawan tanah air telah diluluskan di Parlimen, Disember tahun lalu.
Kesinambungan daripada usaha itu, karyawan tempatan sekali lagi dikumpulkan pada Isnin lalu bertujuan memastikan peruntukan pindaan Akta Hak Cipta dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Pada majlis tersebut, tiga peruntukan baru iaitu Sistem Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta, Pendaftaran Badan-Badan Perlesenan dan Penambahbaikan fungsi Tribunal Hak Cipta serta penambahbaikan telah disatukan ke dalam akta tersebut bagi memantapkan lagi hak golongan karyawan ini.

Dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe, majlis ini turut dihadiri Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Saripuddin Kasim.

Disaksikan lebih 300 karyawan, majlis ini mencipta sejarah tersendiri dalam industri hiburan. Ikuti temu bual Zass bersama Ismail Sabri mengenai tiga peruntukan baru yang dijangka memantapkan lagi industri hiburan tanah air.

Sejauh mana perlaksanaan pindaan Akta Hak Cipta 1987 sejak diluluskan Disember lalu?

ISMAIL: Pindaan Akta Hak Cipta 1987 telah diluluskan di Parlimen ternyata membuktikan pihak kerajaan memandang serius terhadap kesulitan yang dialami oleh para karyawan selain menjaga kepentingan industri kreatif. Walaupun pindaan akta telah diluluskan, jawatankuasa khas dan ahli yang terdiri daripada golongan artis sendiri telah bersetuju untuk mengadakan peraturan dan peruntukan dalam akta tersebut.

Perhimpunan kali ini juga bertujuan untuk memperjelaskan lebih mendalam terhadap tiga peruntukan yang telah termaktub pada akta ini kepada golongan penggiat seni supaya lebih memahami hak dan tanggungjawab yang perlu dilakukan untuk memelihara karya mereka.

Boleh Datuk jelaskan mengenai tiga peruntukan baru termaktub dalam akta ini dan apakah fungsinya?

ISMAIL: Tiga peruntukan ini sangat penting dan ada fungsinya yang tersendiri bagi membantu membela nasib karyawan. Peruntukan pertama adalah Sistem Pemberitahuan Secara Sukarela Hak Cipta di mana ia adalah satu mekanisme pendaftaran karya hak cipta yang merupakan pengkalan data bagi menyenaraikan karya-karya hak cipta yang telah didaftarkan dan boleh dijadikan sumber rujukan. Sistem ini sudah pasti memberi manfaat yang besar kepada semua terutamanya penggiat seni, pemilik karya-karya termasuklah pelaku (Performer).

Sementara peruntukan kedua, Pendaftaran Badan Perlesenan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 27, akta Hak Cipta 1987 membolehkan kerajaan mengawal aktiviti dan pengurusan badan-badan perlesenan supaya dapat menjalankan peranan masing-masing dengan lebih telus dan bertanggungjawab. Badan ini juga diberikan platform untuk merujuk sebarang isu berkaitan hak cipta kepada Tribunal Hak Cipta.

Selain itu, akta ini juga turut meminda peruntukan bagi Tribunal Hak Cipta bagi memperluaskan fungsi Tribunal Hak Cipta untuk mendengar dan membuat keputusan berkaitan pembayaran royalti selain berperanan sebagai memantau badan-badan perlesenan karya-karya hak cipta supaya lebih telus dan bertanggungjawab dalam memastikan kutipan dan agihan royalti dilaksanakan dengan lebih efisien.

Sejauh mana Datuk yakin semua peruntukan baru ini dapat membela nasib karyawan seni?

ISMAIL : Saya percaya apa yang terhasil adalah untuk manfaat industri kreatif khususnya dalam pengurusan karya-karya hak cipta melalui dokumentasi yang lebih sistematik setanding dengan negara-negara maju lain.

Bagaimanapun kesedaran daripada golongan karyawan itu sendiri perlu ada supaya mereka lebih memandang serius terhadap hak mereka di mana sebelum ini saya dapati ramai di kalangan penggiat seni tempatan ini sendiri tidak tahu kelebihan dan kemudahan yang mereka ada.

Jika dilihat secara teliti, peruntukan yang diperjelaskan agak menyebelahi kepada karyawan industri muzik, bagaimana pula dengan mereka yang terlibat dengan industri lakonan?

ISMAIL : Pihak kerajaan berjanji akan terus melindungi karyawan dan tidak mengambil ringan terhadap masalah yang menimpa golongan ini lebih-lebih lagi berkaitan isu royalti.

Selepas ini, pihak kementerian akan terus memperhalusi peruntukan dalam pindaan ini dengan lebih teliti supaya ia meliputi pelbagai aspek seterusnya lebih ramai penggiat seni boleh dilindungi. Kalau ada peruntukan yang perlu ditambah, kita akan pertimbangkannya.

Harapan Datuk terhadap perlaksanaan pindaan akta ini?

ISMAIL : Adalah menjadi harapan saya supaya penggiat seni tempatan dan pemilik karya mengambil peluang yang ada untuk mendaftarkan karya masing-masing supaya hak mereka akan terus terbela. Jika peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya, saya percaya mungkin tidak akan ada lagi golongan karyawan akan diperkotak-katikkan selepas ini.
amy's said: Moga Pindaan kepada perubahan Akta ini sedikit sebanyak ia dapat memudahkan golongan karyawan seni di Malaysia dalam soal Hak Cipta dan Royalti.. Okay

**Artikel di atas ini dipetik dari Sinar Harian 28 Jun 2012 merupakan Artikel Terpilih untuk dikongsi pembaca blog ini**

Catat Ulasan

0 Ulasan