AKTIVITI TERKINI JKKN SEMPENA RAMADHAN

BERTERASKAN tema tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan aktiviti seni budaya yang berasaskan tradisi bagi menyambut bulan Ramadan.

Festival ini bertujuan untuk meningkatkan aspirasi rakyat Malaysia terhadap bulan Ramadan selain bertujuan menyemarak kegiatan kerohanian di kalangan generasi muda semasa bulan mulia.

"Sebagai sebahagian daripada keluarga Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), JKKN telah berusaha untuk mengekal dan mengembangkan kebudayaan dan kesenian ke segenap lapisan masyarakat.

"Lantaran itu, JKKN tidak bersendiri melaksana Festival yang julung kali diadakan di Malaysia ini.

"Rakan kerjasama utama kami iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

"Malahan media penyiar (radio) Klasik Nasional dan Ikim.fm, Muzium Kesenian Islam, NAZA World (penaja kenderaan rasmi Festival Kuala Lumpur 2012), Sungei Wang Plaza dengan kerjasama RTM dan kariah-kariah masjid sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya turut sama berganding bahu menjayakan festival yang pertama seumpamanya di Malaysia ini," kata Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli.

Festival itu juga merupakan sebahagian daripada kehangatan Festival Kuala Lumpur yang giat dilaksanakan sepanjang Julai dan terus disemarakkan dengan sambutan Ramadan.

Menurut Norliza, festival berkenaan bersesuaian dengan tradisi masyarakat Islam di Malaysia yang menyambut Ramadan dengan aktiviti tadarus al-Quran, berzanji, marhaban dan sebagainya.

Program-program baru itu menjurus kepada suasana baru dalam seni budaya dan bukan sekadar penjenamaan semata-mata.

Misalnya aktiviti seperti berzanji, marhaban, nasyid bahkan program meramaikan masjid sempena bulan Ramadan sudah lama menjadi tradisi dan budaya masyarakat beragama Islam di negara kita namun tidak pernah menjadi sebagai sebahagian acara mega.

Festival Ramadhan akan merangkumi program-program kerohanian, persaudaraan dan komuniti seperti berzanji, tadarus Al-Quran dan Pertandingan Cipta Lagu Nasyid.

Turut dianjurkan Pertandingan Cipta Lagu Raya, Pertandingan Nasyid, Pertandingan Marhaban, Konsert Ruhani, Pameran Kaligrafi, Peragaan Busana Islam, Pertandingan Busana Islam serta program Jom Berbuka Puasa selain Solat Terawih Perdana.

Antara aktiviti utama ialah Pameran Kaligrafi Islam, Pertandingan Tulisan Khat, Bengkel Kaligrafi dan Bengkel Kraf untuk Kanak-kanak bermula 21 Julai hingga 17 Ogos 2012.

Pertandingan Cipta Lagu Raya dan Lagu Nasyid pula akan dikendalikan oleh Klasik Nasional (Bagi Lagu Raya) dan Ikim.fm.

Sementara itu, Konsert Ruhani diadakan pada 11 Ogos 2012 dari pukul 3 hingga 6 petang, berteraskan bacaan ayat suci Al-Quran, gambus solo dan berkumpulan, Lagu-lagu Puisi Keruhanian dan Nyanyian Nasyid serta Dikir Barat di Pentas Bergerak, Panggung Bandaraya DBKL, Kuala Lumpur.

Orang ramai boleh ke www.klfestival.org untuk mengetahui tentang aktiviti tersebut secara lebih lanjut.

Catat Ulasan

0 Ulasan