Assalamuaikum..
Sudah 14 hari amy tak updated blog ini ye.. Rasanya macam setahun atau sebulan. Alhamdulillah, amy sudah berada di Kuala Lumpur, Malaysia setelah berada nun jauh di perantauan - Indonesia dan Singapura. Bukan bercuti, tetapi ke sana atas urusan kerja memandangkan amy dilantik sebagai Pengurus Produksi (Production Manager) merangkap Line Producer bagi penerbitan sebuah filem dokumentari tentang lagu-lagu klasik bertajuk 'Angin Menderu', arahan Hasnul Rahmat.
Insyaallah kami akan ke sana semula selepas Aidilfitri ini, sekitar pertengahan September 2012 bagi melancarkan penggambaran sebenar dokumentari ini. Berada di Singapura dan Indonesia waktu Ramadhan amat mencabar fizikal dan minda, memandangkan kami bergerak ke sana ke sini di tengah 'pancaran hebat matahari', membuatkan tekak berasa amat haus sekali. Namun, jangan salah tafsir, kami berpuasa penuh walaupun ada ketika salah seorang krew kami tidak sihat - keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
Menyelusuri kawasan Arab Street, Kampung Glam Singapura, North Street dan kawasan-kawasan sekitar Singapura, membuatkan saya begitu menghargai negara saya sendiri - Malaysia. Di Singapura, taraf hidupnya amat tinggi bahkan kos wangnya amat mencengkam jiwa. Nasib baik kami ke sini dengan berbekalkan perbelanjaan produksi, jikalau sendiri 'mamposlah'.. Tapi kami tetap berbajet kerana kami datang dengan wang 'kerajaan'.. usah dibazirkan. Kami menetap di 81 Heritage dan kawasannya agak santai tetapi banyak sangat pusat hiburan di sekitarnya. Kalau kat KL kiranya Bukit Bintang la atau Jalan Sultan Ismail. Di sini, kami menjejaki penyanyi lagu-lagu klasik era filem Shaw Brothers, iaitu zaman kegemilangan filem-filem melayu Jalan Ampas. Kami menemui Nona Asiah, seniwati Momo Latiff, Kamaliah Latiff, Hashimah Yon, Wahid Satay dan sebagainya. Selebihnya akan bersambung selepas raya.. Dan kerana projek ini, saya sudah jatuh cinta dengan lagu-lagu dari filem melayu klasik.. sehingga saya menjadikan Klasik Nasional antara stesen kegemaran masa kini.
Selepas Singapura, kami menjejaki Indonesia melalui Tanah Merah, Singapura. Kami menyeberang laut sumatera melalui kemudahan Ferri. Setelah 2 jam berada di tengah laut, kami tiba dengan selamat di Kepulauan Riau, Indonesia dengan memilih Pulau Penyengat sebagai destinasi utama. Di Pulau Penyengat, kami mencari pemuzik ghazal dan ahli muzik klasik lama - kami temui dan merancang kembali untuk ke sini lagi selepas Aidilfitri. Insyaallah Jika Ada Jalan. Oh ya, di Riau, kami menetap di Bintan Permata Resort dan Hotel Laguna. Antara dua hotel tersebut, saya lebih menyukai Hotel Laguna kerana lokasinya strategik, berhampiran jeti feri dan yang penting hotelnya selesa, mewah dan ekslusif serta berbaloi dengan harga yang kami bayar agak murah.. korang mesti takkan percaya.
Selepas 13 hari menggembara, kami pulang ke Malaysia dengan selamat.. dan yang penting perjalanan kami ke sana akan meninggalkan banyak kenangan dan memori yang sukar mungkin dibeli dengan wang ringgit. Insya allah kami akan kembali lagi menunaikan kerja kami untuk menghasilkan yang terbaik dalam pembikinan sebuah dokumentari hebat, penuh makna, dan esklusif - ANGIN MENDERU.
Agar apa yang telah dilalui akan diingati dan diteruskan selagi hayat di kandung badan.
p/s: blog ini akan kembali aktif selepas catatan pertama ini.. Kepada pembaca setia blog ini, kami amat menghargai kesetiaan anda.. Assalamualaikum..
*gambar sekadar hiasan mengukuhkan cerita*
0 Ulasan