Persatuan Pengguna-Pengguna Penyapu Lidi Wilayah Persekutuan, dengan sokongan Kelab Kelab Peminat Hassan Muthalib dan Hassan Muthalib Sendiri dengan sukacitanya membawakan YANG TERSURAT DAN TERSIRAT DI DALAM FILEM-FILEM MAMAT KHALID tulisan Hassan Muthalib..
'jangan salahkan pengarahnya, salahkan juga penulis skripnya... Siapa penulis skripnya, Hassan Muthalib', - Azwan Annuar ( Hantu Kak Limah by Mamat Khalid)
'Kalau aku bikin filem cerdik, aku perlukan audiens yang sama cerdik',
- UWei Hj Shaari
Parodi
adalah genre filem yang menjadi pilihan Mamat Khalid untuk berkarya. Parodi
adalah pendekatan yang lucu dalam membuat kritikan terhadap sesuatu yang telah
benar-benar berlaku atau pun yang berkait dengan seseorang atau sesuatu kumpulan.
Maka semestinya ia memerlukan audiens yang sudah mengetahui apa yang berlaku
atau pun kepada siapa ianya berlaku. Oleh yang demikian, karya-karya Mamat
boleh dianggap sebagai sangat jujur kerana ia mengajak audiens untuk turut
terlibat di dalam penceritaannya.
Antara
elemen-elemen yang sentiasa menjadi rujukan Mamat ialah sejarah, samada yang
berkaitan dengan masyarakat, bangsa dan negara mahu pun yang berkaitan dengan
filem. Jika menggunakan a historical approach ke atas
filem-filem Mamat untuk tujuan melihat pemikirannya, maka akan ditemui nuances of meaning yang menjadi renungannya
tentang sesuatu perkara. Dan subjek Mamat tidak lain tidak bukan, hanya tentang
industri hiburan tanah air yang diceburinya. Maka dengan itu, filem-filem Mamat
boleh dilihat sebagai satu autobiografi sama seperti apa yang pernah dibuat
oleh Mansor Puteh, Anuar Nor Arai dan U-Wei Hajisaari melalui beberapa karya
mereka. Mamat memilih genre parodi untuk membuat kritikan-kritikannya agar
tidak menyakiti hati sesiapa. Namun, mereka yang jauhari akan tetap mengetahui siapa
dan apakah peristiwa-peristiwa yang menjadi sindiran tajam Mamat.
Genre parodi
mula diterokai dalam industri filem tempatan oleh P Ramlee melalui siri filem Labu dan Labi sekitar tahun 1960-an. P
Ramlee juga menggunakan satira untuk menyampaikan sindirannya seperti di dalam filem-filem
Musang Berjanggut dan Tiga Abdul. Di milennia baru, muncul
beberapa pengarah yang menggunakan satira dan parodi untuk menyampaikan
kritikan mereka. Satira digunakan oleh Hishamuddin Rais di dalam filem Dari Jemapoh ke Manchestee (2001). Amir
Muhammad dan Naeim Ghalili menggunakannya di dalam Susuk (2007), dan Chris
Chong melalui Karaoke (2009). Genre
parodi menjadi pilihan Ng Tian Hann dengan First
Take, Final Cut (2004), Yeo Joon Hann dengan $ell out!, James Lee dengan filem-filemnya, Sini Ada Hantu (2010),
Tolong! Awek Aku Pontianak! (2011) dan Petaling
Street Warriors (2012), dan Namewee dengan Nasi Lemak 2.0 (2011) dan
Hantu Gangster (2012).
Genre parodi menjadi pilihan Mamat Khalid untuk
kesemua filemnya. Berbeza dengan pengarah-pengarah lain, Mamat membawa satu
gaya yang tersendiri, ia itu, yang yang
merujuk kepada sejarah, milieu dan kosmologi Melayu. Mulai dari filem
pertamanya, Lang Buana (2003)
sehingga ke filem terbarunya, Husin, Mon
dan Jin Pakai Toncit (2012), watak-watak, milieu dan subjek Mamat berdiri
di bumi nyata dengan merujuk kepada beberapa aspek negara dan sejarah bangsa. Penelitian
Mamat dapat dilihat di semua aspek produksi, ia itu, dari sudut pemilihan
pelakon, kostum, set, kata bual dan musik. Dengan itu, karya-karya Mamat wajar
dijadikan kajian tentang sesuatu zaman dalam sejarah negara oleh sejarawan,
ahli antropologi dan sosiologi. Sudah pasti, ada di antara filemnya yang akan
dianggap klasik.
Namun
begitu, karya-karya Mamat tetap menghiburkan walaupun mempunyai subteks yang
berlapis. Filem Lang Buana sudah mula
menampakkan genre dan gaya persembahan yang menjadi trademark Mamat. Milieu Lang
Buana ialah zaman feudal di Perak.
Tiga sahabat, yang sebenarnya hamba-hamba Orang Kaya, akhirnya menjadi wira
yang tak dijangka. Dan di akhir cerita, Mamat menampakkan betapa mulia, bijak
dan sopan tuanku sultan dibanding Residen British yang sombong dan licik, yang
menggunakan Orang Kaya untuk tujuan memperdayakan orang-orang Melayu. Seperti
kesemua filem-filemnya, subteks Mamat ialah tentang masalah-masalah yang
melanda industri filem tempatan. Tiga sahabat tadi adalah pembikin filem yang
jujur manakala Orang Kaya dan Residen adalah mereka yang menghisap darah
karyawan kerana hanya melihat produksi filem dari sudut bisnes atau pun
menggunakan kaedah Ali Baba. Dari filemnya yang terawal ini, Mamat juga
menghadirkan bangsa-bangsa lain di Malaysia di dalam penceritaannya kerana,
baginya, itulah realiti di tanahair.
Apakah
penanda-penanda yang berulang-ulang di dalam filem-filem Mamat Khalid yang
menjadi petunjuk bahawa subjeknya ialah industri perfileman tempatan? Bukan sahaja
jauhari yang boleh mengenal manikam. Anda memerlukan ilmu firasat (yang sudah kian
lama berada di dalam kosmologi Melayu dan sudah digunakan dengan sepenuhnya
oleh P Ramlee). Ilmu ini perlu disokong pula dengan ilmu tajalli, bukan hanya dengan
ilmu mantik. Di dalam Lang Buana,
kampong yang didatangi tiga sahabat, Gunung, Daik dan Cabang, ialah metafora
untuk pentas industri filem yang diceburi pelbagai bangsa dan jenis manusia. Terdapat
yang miskin (tetapi meminati filem), yang kaya (hanya mengaut keuntungan), dan
yang angkuh (yang menjadi taukeh). Yang berloghat Jawa pun ada! (rujukan kepada
mereka yang terlalu berpegang kepada adat dan cara lama). Satu perkara yang
menarik adalah pemilihan dua pelakon, Hasnul Rahmat dan Bront Palarae, graduan
Akademi Filem Malaysia yang mula muncul di layar perak. Di akhir cerita, watak
yang dimainkan Hasnul, yang berkerja dengan Orang Kaya dan tidak menerima
bayaran setimpal, tidak lagi mahu bersekongkol dengannya kerana sudah menjadi
pengkhianat bangsa.
Era
rock dalam filem Rock (2005) adalah
milieu industri perfileman di mana mereka yang terlibat tidak ada apa-apa
pemikiran dan hanya mengejar glamor. Begitu juga dengan para promoter dan
penerbit musik semasa itu yang sebenarnya tidak mengetahui bidang musik rock.
Lebih lucu lagi, para juri di peringkat awal dalam pertandingan musik rock juga
terdiri dari manusia yang pelik. Salah seorangnya (dimainkan oleh Hamid Gurkha)
mengatakan ia sebenarnya diundang untuk pertandingan masak memasak tetapi
diminta menjadi juri pertandingan musik rock! Filem Rock berkisar pada era rock di tahun 1980-an. Ramai remaja
tergila-gila dengan gaya dan musik Barat di zaman itu. Mamat juga tidak terlepas
daripada pengaruhnya. Sebagai seorang muda di waktu itu, dia juga menjadi
sebahagian dari sejarah rock di tanahair namun tidak dikenali secara umum.
Selepas dua puluh tahun, Mamat menjadi self-reflexive
tentang era rock serta penglibatannya.
Dia mentertawakan dirinya sendiri (dan rakan-rakannya) kerana terpengaruh
dengan satu gaya yang begitu terasing dengan adat dan budaya bangsanya. Namun,
semuanya itu sudah menjadi sejarah, dan kemudian menjadi bahan untuk dia
berkarya. Filem Rock hari ini adalah
antara filem tempatan yang wajar dianggap sebagai sebuah filem klasik dalam
Sinema Malaysia.
Mamat
juga membuat komen tentang nasib seniman tempatan yang bertaruh nasib pada
mereka yang menguasai tempat hiburan. Beberapa rocker berdiri merenung bangunan
tersergam indah di mana mereka akan beraksi dalam pertandingan. Tetapi tempat
itu adalah milik orang bukan sebangsanya. Remaja Melayu sebagai penonton tidak
tahu mengenai ini semua. Mamat menunjukkan mereka berlari dengan ghairah masuk
melalui pintu. Dengan suntingan dan sinematografi, Mamat menampakkan masa depan
yang gelap bagi kumpulan rock. Pentas dan audiens berada dalam kegelapan. Aksi
rocker di pertandingan pula tidak ditunjuk. Seterusnya mereka berada di dalam
van untuk pulang. Hanya muka mereka kelihatan di dalam kegelapan dalam van. Dan
di akhir cerita, rupa rocker-rocker ini seperti ‘manusia biasa’ dan bermain
musik’biasa’ di majlis perkahwinan salah seorang ahli mereka. Ternyata,
kegilaan mereka pada musik rock tidak membawa mereka ke mana-mana.
Pendekatan
parodi Mamat tentang kumpulan rock dibawa ke dalam filemnya, Zombi Kampung Pisang (2008). Empat ahli
kumpulan rock tersesat di Kampung Pisang dan berhadapan dengan zombi-zombi.
Jika dilihat dari kostum dan solekan mereka, tiada perbezaan di antara rocker
dan zombi! (Malah, rupa kumpulan rock, Malaikat Maut, di dalam filem Rock sudah awal-awal lagi dilihat sebagai zombi.) Mungkin persoalan Mamat ialah: Orang
Melayu mempunyai adab dan budaya yang begitu tinggi. Mengapa harusnya mengikut
budaya asing sehingga wajah pun tidak lagi macam manusia?
Filem Man Laksa (2006) adalah parodi tentang
industri musik dan filem. Dalam pada itu, Mamat menampakkan kekagumannya
terhadap beberapa penyanyi 1970 dan 80-an seperti Saloma dan Ahmad Jais. M.
Daud Kilau pula dianggap hanya sebahagian daripada budaya popular. Lirik lagu
Ahmad Jais seakan pantun dan sangat Melayu manakala lirik lagu Saloma penuh
dengan nasihat, antaranya: “Kasih
yang dulu kini berganti. Kasih yang baru simpan di hati.” Kata-kata ini amat signifikan dan menyokong tema yang
dibawa Mamat, ia itu, gaya lama (filem hiburan semata-mata) mesti ditinggalkan;
perubahan perlu dilakukan dan gaya yang baru (filem alternatif) mesti diterima
dengan hati yang terbuka. Tiga penyanyi muda kampung (M Nasir, Ramli Sarip dan
Loloq sewaktu kecil) yang mewakili generasi baru ingin membawa perubahan tetapi
bakat dan visi mereka tidak diiktiraf kerana mendahului zaman. Inilah dilemma yang
dihadapi beberapa karyawan filem generasi baru. Di akhir cerita, melalui adegan pengadilan Pertandingan
Ratu Kebaya, Mamat menyindir festival-festival filem di Malaysia di mana ada
ahli panel juri yang mempunyai kepentingan atau pun keputusannya menguntungkan kroni.
Kala
Malam Bulan Mengambang (2008) juga merupakan parodi tentang industri
filem. Mamat merujuk kepada genre film
noir dan elemen gothic dalam
filem-filem Hollywood dan sejarah awal Sinema Malaysia dengan menggunakan
bidang hitam putih. Gaya dan teknik persembahan seakan seperti tahun 1950-an
yang tidak lagi sesuai masakini, namun menjadi ikutan. Penggunaan hitam putih
melalui filem adalah penanda tentang sesuatu keburukan. Di sini, ia menjadi
petunjuk tentang industri perfileman masakini yang sedang berundur ke belakang
dengan pengisian yang lemah serta ghairah dengan cerita-cerita tahyol walaupun era
sedemikian sudah berakhir pada tahun 1950 dan 60-an. Lambang keris dan bulan
adalah petunjuk kepada mereka yang mempunyai kuasa untuk mengubah keadaan
tetapi tidak berbuat apa-apa. Watak Kuswadinata adalah representasi orang
yang diutuskan untuk membantu Sinema Malaysia. Sebaliknya, dia membawa idea-ide
yang lapok (dilihat pada kostumnya yang biasanya terlihat dalam pementasan
sandiwara). Lihat bagaimana ia memandang kamera dan memberikan (terutama kepada
penggiat industri) jari hantunya di mana tersarung cincin yang besar dan mahal.
Dia hanya mengkayakan diri sendiri. Adegan ini mungkin mencipta sejarah di
dalam Sinema Malaysia di mana isyarat lucah, Up Yours, tidak dipotong oleh penapis!
Filem Estet
(2010) adalah parodi tentang milieu dan perpaduan pelbagai kaum di Malaysia
yang hanya berlaku pada Hari Kebangsaan. Ini diperlihatkan melalui adegan tari
menari pelbagai kaum dengan rentangan kain pelbagai warna di akhir filem. Filem
ini juga satu parodi tentang filem-filem Tamil yang terlalu over dalam lakonan dan dialog di samping
memparodikan industri filem tempatan. Filem Hantu
Kak Limah Balik ke Rumah (2010) menjadi sindiran tentang keghairahan dengan
filem-filem hantu yang menjadi kegilaan penerbit dan audiens. Jika bomoh yang
menghalau hantu bermaharajalela di dalam filem-filem tempatan, Mamat membuatkan
bomoh dalam filem Hantu Kak Limah memerlukan
seorang bomoh untuk memulihkannya! Isu dan subjek tentang perfileman dibawa lagi
ke dalam Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit (2012).
Filem ini menjadi kesinambungan kritikan Mamat tentang industri filem yang
diceburinya yang masih seronok dengan cerita-cerita fantasi dan tahyol.
Warung
Munawir di dalam Zombi Kampong Pisang
adalah representasi gelanggang industri filem dan zombie-zombi sebagai penggiatnya.
Sesiapa yang masuk dan memakan kuah daging, akan menjadi zombi (maksudnya yang
tidak melahirkan ide-ide baru dan mahu merosakkan otak audiens dengan karya
picisan). Warung Pak Jabit di dalam Jin
Pakai Toncit juga gelanggang penggiat filem. Dari rupa pengunjung ke warung,
dapatlah dilihat rupa penggiat filem yang sudah ketinggalan zaman. Pak Abu
adalah representasi pengarah-pengarah lama yang merapu, yang mengulangi
cerita-cerita lapok tetapi tetap diminati pengunjung ke warung. Mon adalah
representasi filem Melayu yang tulen tetapi yang telah ‘dirosakkan’ oleh
filem-filem yang memaparkan cerita hantu, toyol dan pontianak picisan yang
hanya begantung kepada teknik suntingan dan kesan bunyi. Husin tetap menyintai
Mon sehingga rela menelan mee ‘berkerang’. Husin yang menyintai Mon sebenarnya mewakili
Mamat Khalid yang menyintainya Sinema Melayu. Adegan bersantapan di sungai digambarkan
seakan sebuah set di dalam filem dan dilakukan dengan penuh ketelitian untuk
visualkan perasaan Husin.
Niat
Mamat untuk menyelamatkan Sinema Malaysia juga dapat dilihat dalam Kala Malam. Puteh (Umie Aida) juga
adalah representasi filem Melayu yang tulen, yang sudah bertukar menjadi hantu,
pontianak, toyol, dsbnya. Watak Saleh (yang mewakili Mamat Khalid) menyiasat tentang
sebab-sebab Puteh menjadi hantu dan sanggup mengurungnya untuk sewaktu. Watak
yang dimainkan Kuswadinata muncul semula di dalam Jin Pakai Toncit melalui
watak Dr Shamsuddin (dimainkan oleh Rashidi Ishak). Mamat memparodikan seorang
penggiat industri yang dipertanggungjawabkan membantu mengangkat martabat
industri tetapi ia tidak menghasilkan apa-apa. Husin tiba dari Singapura dan di akhir cerita,
kembali semula ke Singapura. Bagi Mamat Khalid, Sinema Malaysia sukar
diselamatkan. Visual istana (ia itu, martabat filem Melayu) diperlihatkan dari
jauh, yang setia menunggu cahaya harapan di hujung terowong. Filem Jin Pakai Toncit berakhir dalam suasana
suram. Saki baki hantu di Kampong Pisang masih belum dihalau sepenuhnya walau
pun Dr Shamsuddin sudah tiada. Hantu-hantu ini terapung di udara, menunggu masa
untuk melakukan kerosakkan. Filem-filem tahyol yang picisan masih ‘berkeliaran’
di pawagam dan masih diminati audiens tempatan (dan tak lama lagi oleh audiens
Melayu di Singapura!). Persoalan dari Mamat ialah: Apakah kesudahannya? Amatkan
Sinema Malaysia dapat diselamatkan?
Karya
yang baik kebanyakannya datang daripada pengalaman hidup seseorang pengkarya. Sejarah
penglibatan Mamat di era rock, dan kemudian di dalam industri perfileman
tempatan, menjadi rujukan baginya. Walaupun Mamat tidak mendapat pendidikan
formal di dalam bidang filem, namun dia berkarya bersandarkan ilmu filem. Pendekatan
yang digunakannya datang dari fahamannya mengenai B Movies dan genre film noir
dari Hollywood serta juga musik Barat. Ini membuatkan kemahiran berparodi Mamat
diiktiraf di peringkat antarabangsa. Kala
Malam Bulan Mengambang dan Zombi
Kampung Pisang dipilih menyertai festival filem Udine di Itali dan beberapa
festival yang lain di seluruh dunia. Hantu
Kak Limah memperolehi kutipan box-office
yang luar biasa. Mamat Khalid sudah pun diiktiraf di negaranya sendiri. Tetapi
lebih penting, beliau menjadi perakam sejarah bangsa dan negaranya sendiri, dan
sekaligus beliau juga menjadi sebahagian daripada sejarah itu.
Mamat Khalid
seorang nasionalis tetapi dia tidak termasuk dalam golongan yang mengetuk
gendang, mengibar bendera dan berdeklamasi puisi untuk menunjukkan
nasionalismenya. Mamat bukan juga seorang sejarawan. Dia hanya seorang pembikin
filem yang menyintai sejarah, bangsa, budaya dan negaranya. Apakah itu juga boleh
ditafsirkan sebagai satu ‘parodi’? Hanya jauhari mengenal maknikam.
Hassan
Abd. Muthalib adalah seorang pengritik filem dan pengkaji sejarah filem
Malaysia. Penulisan beliau tentang Sinema Malaysia diterbitkan dalam beberapa buku,
majalah dan jurnal akademik di peringkat antarabangsa.
2 Ulasan