Rimba Bara, kemampuanmu terlalu besar…
- Amy Mat Piah di dalam Rock Oo.
oleh: Hassan Abd. Muthalib
Siapa dan apakah itu manusia yang bergelar rocker? Inilah dua perkara yang cuba diterokai oleh Mamat Khalid di dalam filem terbaru arahannya, Rock Oo (2012). Rock Oo adalah sekuel kepada filemnya sebelum ini, ia itu, Rock (2005) tetapi Rock Oo mampu berdiri dengan sendirinya dari sudut naratif. Kedua-dua filem ini menggunakan subjek, milieu dan hampir kesemua pelakonnya adalah yang sama.
Mamat pernah bertanya: “Apakah filem rock semata-mata untuk rockers?” Dia sendiri menjawab: “Tidak. Ia adalah untuk semua orang. Kerana setiap orang itu adalah rocker. Rock itu bukan pada pakaian tetapi sesuatu yang tersemat di dalam hati.” Inilah yang menjadi asas untuk Mamat menyampaikan sebuah kisah penuh pathos melalui Rock Oo. Dan Mamat merupakan karyawan yang paling sesuai untuk menceritakannya kerana dia sendiri pernah terlibat di dalam era rock sebagai salah seorang anggota kumpulan rock bernama Drop Out yang terdiri dari pemuda-pemuda yang sememangnya drop out dalam segala hal di masa itu.
Rock Oo Amat Signifikan
Mamat bertindak sebagai ‘perakam sejarah’ untuk memaparkan ‘tragedi’ yang berlaku ke atas musik rock dan pemuda-pemuda yang meminatinya di era 1980-an. Tanpa rakaman ini, satu detik penting dalam sejarah hiburan tanahair akan hilang begitu saja sebagaimana disebut oleh Amir Muhammad di dalam mokumentarinya, The Big Durian: “Masa silam kita sedang lenyap di hadapan mata kita. Kerana itu setiap kenangan menjadi semakin penting.”
Rock Oo berada dalam golongan segelintir filem-filem arus perdana yang mengambil pendekatan alternatif pada struktur naratif, teknik dan estetikanya, sekaligus menjadikannya sesuatu yang signifikan dari sudut sejarah, budaya dan seni filem tanahair. Elemen komedi di dalam Rock Oo adalah kesinambungan gaya komedi yang bersahaja yang menjadi trademark Mamat dalam kesemua filem-filemnya. Parodi sekali lagi menjadi pendekatan Mamat, tetapi kali ini, Mamat dilihat mula bereksperi-mentasi dan bermain dengan rupa dan bentuk filem (playing with film form). Elemen surealisme yang digunakannya di babak-babak tertentu tidak kabur malah diadun dengan plot dengan teratur untuk melahirkan subteks yang tajam dan mendalam.
Anda tidak perlu menonton filem Rock yang awal untuk memahami kisah selanjutnya di dalam filem Rock Oo. Namun, adegan di akhir filem Rock Oo itu akan mengingatkan kita (yang sudah menonton Rock) tentang jalan yang berliku dan segala pahit maung yang pernah dialami kumpulan Rimba Bara semasa mula berghairah dengan musik rock.
Semangat persaudaraan begitu kental di hati pemuda-pemuda ini. Amy Mat Piah (Que Haidar), walaupun gagal menjadi vokalis Rimba Bara tetapi dia masih diterima oleh rakan-rakannya. Di akhir cerita melalui syot yang dekat, Amy, dengan senyuman yang manis, mengenang masa silam Rimba Bara. Suara latarnya penuh sayu: “Rimba Bara, kemampuanmu terlalu besar…” Saya percaya, setiap kali Mamat Khalid menonton adegan ini, pasti air matanya bergenang, terkenang masa silam kumpulan Drop Out yang sudah lenyap dari sejarah rock tanahair tanpa pembelaan.
Kisah di Dalam Rock Oo
Rock Oo adalah tentang empat pemuda yang berasal dari sebuah kampung berdekatan dengan bandar Taiping. Selepas gagal diterima sebagai kumpulan musik rock (sebagaimana ditunjuk di akhir filem Rock), mereka membawa diri masing-masing. Ketua kumpulan, Zack (Hasnul Rahmat), sudah mengambil keputusan untuk berhenti menjadi ahli kumpulan Rimba Bara. Kini Jijoe (Khir Rahman) menjadi teraju tetapi mereka memerlukan seorang pemain gitar utama. Pencarian berakhir apabila mereka bertemu dengan seorang legenda musik rock, ia itu, Slash Haji Tapah (Pekin Ibrahim), yang kian lama telah mengasingkan diri dari masyarakat dan hidup berseorangan di sebuah pondok di pinggir kampung.
Jiwa Amy Mat Piah membara untuk menjadi vokalis Rimba Bara. Apakan daya, dia tidak mampu untuk melakukan yang sebaiknya. Tetapi jiwanya begitu dekat dengan musik rock dan ini difahami oleh Jijoe. Dengan tiba-tiba, muncullah Zul Kapan (Soffi Jikan) yang kembali ke kampong dari Kuala Lumpur. Kumpulannya, Malaikat Maut, sudah diharamkan oleh kerajaan kerana salah seorang anggota sudah mentokak leher seekor itek semasa satu gig! “Kesiannya!” menjerit rocker-rocker yang melihat kejadian itu.
Muncul pula Che Man (Kamarul Hj Yusof), seorang promoter yang flamboyant yang pernah menjadi pergurus mereka sebelum itu. Walaupun dia pernah mengecewakan mereka, anggota Rimba Bara menerimanya semula, dan di atas desakkannya, mereka berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencuba nasib sekali lagi. Malangnya, nasib tidak menyebelahi mereka. Che Man terlalu banyak berhutang dengan dua kumpulan rock. Akhirnya dia diberkas polis dan dibawa ke penjara. Rimba Bara bertemu pula dengan Che Wan (Saiful Apek) dan dia menjadi pengurus baru mereka. Malangnya sekali lagi, tragedi menimpa dan mereka berpisah dengan Che Wan.
Dengan itu, kumpulan Rimba Bara mengambil keputusan untuk kembali ke kampong. Beberapa tahun kemudian, mereka dilihat berjaya dan beraksi di program televisyen. Tetapi ianya berlaku hanya selepas mereka menjalani upacara di mana rambut mereka dipotong oleh bapak menteri (menteri penerangan semasa itu). Mereka dilihat ‘berjaya’ hanya selepas tunduk kepada pihak berkuasa dan menjadi konformis. Tetapi maruah mereka sudah hilang untuk selama-lamanya. Apakah rockers tanpa berambut panjang? Bala! Bala!
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikuli
Kenangan Amy Mat Piah adalah sesuatu yang manis tetapi ia sebenarnya sesuatu yang amat pahit. Itulah yang dituntut oleh sejarah, masyarakat dan pemimpin. Selepas insiden memotong rambut, media memberikan laporan negatif tentang penglibat musik rock sehingga demam rock di era itu semakin lenyap. Inilah yang dikatakan kezaliman manusia terhadap manusia. Benarkah rock membawa kemusnahan kepada negara? Dengan sinis, Mamat memberikan dialog yang sarat dengan makna kepada Jijoe yang melihat rakan rocker yang menderita: “Gout tu! Gout boleh jatuhkan negara, tau!” Rocker juga mampu berfalsafah. Kata Jijoe lagi: “Macam kapal selam. Kalau tak boleh selam, naik ke darat. Jadi reban!”
Sejarah sudah membuktikan bahawa orang-orang yang tidak memahami sesuatu akan bertindak menghukumnya. Masyarakat dan pemimpin tidak tahu tentang keinginan dan pengorbanan orang-orang muda di era rock yang mengejar cita-cita. Mereka diperlihatkan sebagai manusia-manusia yang songsang. Sebaliknya Mamat Khalid memperlihatkan pemuda-pemuda rock sebagai manusia-manusia waras yang bersopan santun, berbudi bahasa, memberi salam, beristighafar, berfalsafah, tolong menolong dan tahu hukum hakam. Rupa dan aksi rock menggila mereka hanyalah di atas pentas. Apakah ini sukar difahami? “Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikuli”, mengeluh rocker yang mentokak leher itek.
Apa dah jadi dengan Malaysia!
Syot terawal memberi penanda tentang kisah sebenar di dalam Rock Oo. Seorang kanak-kanak perempuan berlari dan menyampaikan sesuatu kepada Amy yang menjual ais kacang di gerai. Ini menandakan innocence pemuda-pemuda di zaman itu yang tidak ada pendidikan tinggi dan mudah terikut sesuatu yang menghairahkan mereka. Tetapi bukankah kesalahan itu terletak kepada media yang memaparkan segala-galanya untuk mengaut keuntungan? Ia juga merupakan kerja pemimpin yang membenarkan semua itu berlaku. Siapakah yang sebenarnya yang patut disalahkan? Apakah rock akan memusnahkan negara? Kata Jijoe dengan serius kepada Slash: “Tiga perkara boleh meruntuhkan negara – rasuah, tidak menepati masa dan cinggay!”
Sejarah berulang lagi. Keadaan hari ini masih seperti yang dulu, malah mungkin lebih buruk lagi dengan program-program hiburan yang melimpah ruah tanpa kawalan mutu. Realiti diabaikan, alam fantasi pula diperbesarkan. ‘Lawak’ kini sudah menjadi ‘maha lawak’ dan ‘maha buruk’ dan ‘maha meloyakan’. Kritikan tajam Mamat tentang perkara-perkara ini dapat dilihat dalam beberapa adegan di dalam Rock Oo. Di awal filem, antara lirik nyanyian kumpulan rock SYJ dalam lagu Orang Timur berbunyi: “Apa dah jadi dengan Malaysia!” Klip-klip video musik arahan Mamat seakan menyamai apa yang dibuat di luar negara tetapi dibuat dengan penuh sopan dan artistik yang adakalanya amat melucukan. Ini dibandingkan dengan lagu Kuala Lumpur nyanyian (Dato’) Malik Redzuan yang sering berkumandang di radio sehingga sekarang. Ianya diparodikan oleh Mamat, dan diperlihatkan dengan gaya seorang penyanyi yang jelas sudah ketinggalan zaman.
Kuala Lumpur didendangkan sebagai kotaraya “penyeri hidup” tetapi bagi kumpulan Rimba Bara, ia hanya membawa pembohongan, kesengsaraan – dan kelaparan. Apakah yang lebih sedih daripada gambaran empat orang pemuda memandang dengan sayu pada ubi kentang sebiji yang sedang direbus! Mamat merujuk kepada kosmologi Melayu untuk menunjukkan adegan Zul Kappan melompat dan membuka langkah silat. Rupa-rupanya ada manusia Melayu yang boleh ‘naik sheh’ dan beraksi silat apabila terlalu lapar! Dalam satu adegan lagi yang digambarkan secara surealistik, kita melihat beberapa remaja di atas jembatan merentasi jalan raya. Kamera bergerak dengan perlahan dan melalui long take berdurasi dua minit, seorang demi seorang dilihat bermain bermacam alat musik. Ada yang bermain gitar, cello, biola, seruling dan gambus. Terdapat juga set televisyen yang menunjukkan permainan sitar, sebuah alat rakaman audio dan seorang remaja wanita berdeklamasi puisi. Inilah gambaran sebahagian remaja yang berbakat yang berhijrah ke kotaraya tetapi tidak memperolehi kejayaan.
Lagu dan video musik Kuala Lumpur bersifat fantasi dan memberi gambaran yang palsu. Tetapi itulah yang menjadi kegemaran dan permintaan stesen-stesen televisyen. Visual-visual yang ikonik seperti Tugu Negara dan bangunan Dayabumi adalah satu kemestian. Klip video musik dengan lagu Suci Dalam Debu pula menampakkan kesedihan Slash yang terpaksa tinggalkan pacarnya apabila mahu ke Kuala Lumpur. Penyampaian lagu dan visual kelihatan lebih serasi, yang memberikan gambaran sebenar emosi watak utama (Slash) di dalam video musik itu. Inilah namanya kejujuran dalam berkarya yang bersandarkan realiti! Dalam filem cereka Karaoke arahan Chris Chong, perkara yang sama diperkatakan. Begitu juga di akhir telemovie Senandung Malam arahan Dain Said. Kesemua filem ini mempersoalkan masa depan generasi muda yang berbakat tetapi tidak memperolehi peluang.
Nawaitu Mamat Khalid
Mamat menyampaikan secebis kisah mengenai kumpulan rock Rimba Bara yang mengalami pelbagai liku hidup. Mereka hanya sebahagian dari ramai pemuda yang cuba mencapai kejayaan dengan mengikuti cita-cita masing-masing. Sebagai seorang karyawan filem, tentunya Mamat melihat lebih jauh lagi dan bukan hanya mahu menyampaikan kisah remaja. Sejarah menjadi guru kepada kita semua. Apakah kejujuran, persaudaraan dan keakrabaan yang terdapat pada anggota kumpulan Rimba Bara dapat dicontohi oleh penglibat industri hiburan tempatan? Apakah itu nawaitu sebenar Mamat Khalid di dalam naskah Rock Oo?
Rupa-rupanya, kisah, dunia dan manusia rock bukan sembarangan. Kisah empat remaja di dalam filem Rock Oo mampu menyampaikan kepada kita bahawa hidup ini tidak seindah apa yang disogok kepada kita melalui dendangan lagu dan cerita-cerita filem dan drama televisyen arus perdana.
Semua artikel adalah hak cipta terpelihara milik penulis dan penerbit.
2 Ulasan