Waris Seniman Agung Tan Sri P Ramlee hanya mempunyai baki tempoh 10 tahun saja lagi untuk menikmati bayaran royalti. Selepas itu, lagu P Ramlee bebas dimainkan sesiapa saja tanpa perlu membayar kepada pemungut royalti, Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP).
Merujuk pada Akta Hak Cipta 1987, bayaran royalti yang diuruskan MACP hanya tertakluk dalam tempoh 50 tahun selepas komposer atau penulis lirik itu meninggal dunia. Ini bermakna, waris P Ramlee yang masih hidup tidak akan menerima bayaran royalti selepas tempoh itu.
P Ramlee atau nama sebenar, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh terkenal sebagai pengarah, pelakon, penyanyi termasuk komposer, meninggal dunia pada 29 Mei 1973 pada usia 44 tahun akibat sakit jantung.
Pengurus Besar MACP, Chan Miew Lan berkata, royalti P Ramlee dibayar kepada empat waris iaitu isterinya, Puan Sri Saloma dan tiga anaknya, Mohd Nasir, Sazali dan Sabaruddin. Walaupun Saloma, Mohd Nasir dan Sabaruddin sudah meninggal dunia, pembayaran masih diteruskan kepada pewaris masing-masing.
“Bayaran royalti dibuat sepanjang komposer atau penulis lirik itu masih hidup dan selepas meninggal dunia, bayaran hanya menjangkau 50 tahun. Melihat pada rekod P Ramlee, jika tiada pindaan baru dibuat terhadap Akta Hak Cipta, waris beliau tidak berpeluang menikmati royalti lagi selepas 10 tahun lagi,” katanya
Chan berkata, pembayaran royalti sebelum ini turut diberikan pada lagu nyanyian P Ramlee ciptaan bersama penulis lirik seperti Datuk Jamil Sulong dan S Sudarmaji. Pengagihan royalti pula dibuat mengikut hukum faraid yang dipersetujui pewaris P Ramlee pada 1998.
“Royalti Sabaruddin dengan Nasir digabungkan dan diagihkan pada tujuh cucu P Ramlee manakala Saloma dibayar terus kepada Amanah Raya Berhad. Secara purata, jumlah royalti P Ramlee adalah RM140,000 setahun,” katanya.
Menurutnya, MACP berdepan masalah mengagihkan royalti P Ramlee pada mulanya kerana tidak mengetahui maklumat lanjut pewaris sebenar. Namun, selepas perjanjian antara pewaris dilakukan pada 1998, pembayaran royalti kepada pewaris P Ramlee dapat dijalankan pada setiap tahun dan royalti tahun lalu sudah dibayar pada Ogos lalu.
“Bayaran royalti P Ramlee sebenarnya tidak banyak kerana lagunya hanya dimainkan pada musim tertentu seperti Aidilfitri atau acara persembahan. Hanya beberapa lagu seperti Getaran Jiwa dimainkan di pusat karaoke,” katanya.
Chan berkata, MACP mendesak kerajaan meminda Akta Hak Cipta, agar nasib pewaris seperti P Ramlee berpeluang menikmati royalti berterusan. Mengikut tempoh pembayaran royalti di luar negara, ia boleh menjangkau sehingga 75 tahun selepas komposer atau penulis lirik itu meninggal dunia.
Artikel pilihan ini dipetik dari : Harian Metro (HM 13/5/29)
p/s: Al-Fatihah.. hari ini 29 Mei 2013..
p/s: Al-Fatihah.. hari ini 29 Mei 2013..
1 Ulasan