Majlis Perundingan Petubuhan Islam Malaysia (Mapim) berpendirian kepincangan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 jelas menuntut penambahbaikkan dan koreksi yang besar dalam cara agensi kerajaan berbelanja dan menguruskan aset.
“Kami juga berpendirian menteri kepada kementerian yang berkaitan dengan penyelewengan dan kecuaian itu harus turut bertanggungjawab dan menjelaskan kepada awam kenapa dan apakah punca penyelewengan serta kecuaian yang telah berlaku,” ujar Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.
Bila ternakan sudah berkeliaran lari, baru hendak dikunci pagarnya.
Demikian analogi kami melihat satu demi satu salah perbelanjaan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.
Bila sudah berbilion ringgit yang dibazirkan dengan pembelian yang tidak diperlukan, pembayaran yang melampau tinggi dan kecuaian mengurus aset yang dibeli, barulah nasihat berhemat dan cermat dikeluarkan kepada agensi yang ditegur Ketua Audit Negara.
Jabatan Audit Negara sepatutnya dipuji kerana telah dapat mendedahkan kepincangan dalam pengurusan perbelanjaan agensi-agensi kerajaan setiap tahun. Akan tetapi untuk melaporkan sahaja sudah tentu tidak memadai.
Sekarang dengan pelbagai pembaziran dalam perbelanjaan agensi-agensi yang dilaporkan itu, apakah yang akan dilakukan oleh pihak kerajaan?
Kami tidak dapat mengelakkan dari menyatakan kekesalan yang amat mendalam terhadap pembaziran berbilion ringgit dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.
Lebih kesal lagi, baru sahaja pihak Kementerian Kewangan mahu memohon peruntukan tambahan bernilai lebih RM14.12 bilion lagi atas alasan bajet yang diluluskan dalam pembentangan bajet terdahulu tidak mencukupi.
Rang Undang-Undang ini sekiranya diluluskan meliputi Jabatan Perbendaharaan mendapat peruntukan terbanyak iaitu RM11.854 bilion untuk Perkhidmatan Am Perbendaharaan dan RM606.9 juta untuk kegunaan Jabatan itu sendiri.
Dilaporkan bahawa Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan yang dibentang pada 14 Septemebr 2013 untuk diluluskan dalam sidang Parlimen yang sedang berjalan sekarang adalah untuk Kementerian Pendidikan sebanyak RM322.8 juta; Kementerian Kesihatan (RM300 juta), Kementerian Pertahanan (RM239 juta) dan Kementerian Dalam Negeri (RM205.1 juta).
Jika Jabatan Audit Negara telah mengenal pasti begitu besar ketirisan, pembaziran, salah beli dan salah urus perbelanjaan yang telah diluluskan sebelum ini, apakah justifikasi peruntukan tambahan yang dipohon mahu dilulus di Parlimen sekarang ini?
Kami mempersoalkan kenapa dari awal menyiapkan keperluan bajet semua agensi yang dihantar kepada perbendaharan setiap tahun, tidak melalui penelitian yang rapi bermula dari peringkat ia sedang dirangkakan lagi?
Bukankah sepatutnya pihak perbendaharaan memeriksa setiap bajet yang diutarakan hendaklah diperinci dan diteliti secara halusi, melihat satu butir ke satu butir, bertanya rasional dan alasan kenapa bajet itu dipohon hatta ke perkara yang paling kecil sekalipun?
Ini bukan kali pertama Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan kepincangan dan salah berbelanja aset kerajaan yang dibeli dan diurus oleh setiap agensi.
Soalnya kenapa pembaziran dan kecuaian yang melibatkan berbilion ringgit wang awam yang dibelanja oleh pelbagai agensi itu masih menunjukkan kepincangan yang berulang.
Kami kesal kenapa pihak kerajaan tidak mengambil langkah bersungguh untuk menutup segala lompang dalam pengurusan yang telah berkali-kali dikenalpasti oleh Ketua Audit Negara.
Dengan yang demikian kami menggesa supaya Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan ditangguh kelulusannya sehingga kerajaan menunjukkan kesungguhan untuk memperbaiki segala kelemahan dalam perbelanjaan kerajaan sama ada negeri mahupun pusat.
Kami mengusulkan supaya prosedur penyiapan bajet bagi setiap agensi hendaklah disemak semula supaya suatu penelitian awal untuk menjustifikasi kelulusan setiap butir perbelanjaan yang dipohon itu hendaklah menjalani hujah dan rasional dengan kukuh, sebelum dilulus.
Kami berpendirian kepincangan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 itu jelas menuntut penambahbaikkan dan koreksi yang besar dalam cara agensi kerajaan berbelanja dan menguruskan aset.
Kami juga berpendirian menteri kepada kementerian yang berkaitan dengan penyelewengan dan kecuaian itu harus turut bertanggungjawab dan menjelaskan kepada awam kenapa dan apakah punca penyelewengan serta kecuaian yang telah berlaku.
p/s: artikel ini sebagai perkongsian secara maya diterbitkan oleh Harakah Dialy
0 Ulasan