Pertemuan bersama dengan komposer, Datuk Ahmad Nawab
atau nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan diaturkan setelah mendapat
perkhabaran yang mengatakan bahawa insan seni itu sedang keuzuran. Berita itu membawa kami ke Gombak, Selangor, lokasi di
mana rumah insan seni itu menghabiskan sisa hidupnya. Usai memberikan salam,
kami disambut dengan senyuman seorang insan yang cukup berpengalaman dalam
industri seni tanah air. Itulah Ahmad Nawab. Berita yang mengatakan kedaaan
dirinya yang uzur ternyata meleset sama sekali. Fizikalnya masih kuat dan
cergas. Mulutnya petah berbicara kenangan lama dalam industri muzik.
Ternyata disebalik senyumannya itu, menyorok rasa
kecewa yang sudah lama dipendam. Diluahkan satu persatu bagaimana sedihnya dia
melihat keadaan industri seni kini. Tambah kecewa, anugerah Seniman Negara yang
diperolehnya seakan tidak membawa apa-apa maksud dan dirinya seakan terus
diketepikan. Kemerdekaan baru diraikan semalam. Nama-nama pejuang
kemerdekaan satu persatu diangkat. Tetapi pejuang seni negara seperti Ahmad
Nawab terus disisihkan sama pepatah, habis madu sepah dibuang. “Perjuangan saya dalam industri muzik tanah air
bukanlah untuk diri sendiri. Saya lakukan bukan untuk jadi kaya, tapi ia
dilakukan untuk negara. Melalui seni, saya mahu mengangkat nama negara terus
dikenali di luar negara. Bukan saya berkarya setakat mahu mencari nama sahaja,”
jelasnya.
Daripada percakapannya, sedarlah kami bahawa Ahmad
Nawab cukup kecewa dengan keadaan sekarang yang menyisihkan golongan sepertinya
ke tepi. “Orang sudah tidak peduli lagi dengan saya. Saya
sebenarnya masih lagi aktif. Jiwa saya masih lagi dalam muzik dan sehingga
kini, saya masih belajar mengenai muzik terutamanya muzik moden. “Tetapi itulah, saya aktif dengan diri sendiri. Tiada
lagi orang yang mahu merujuk kepada saya. Itu yang bila dikenang kembali, saya
merasakan diri ini bakal senasib dengan Tan Sri P. Ramlee,” jelasnya dengan
nada kecewa.
Menoleh ke belakang, P. Ramlee sewaktu dia mahu
kembali aktif ke dunia seni, orang sudah tidak mempedulikan dia. Ketika P.
Ramlee berada di zaman Studio Merdeka pada 1964, seniman itu diboikot dan
dianak-tirikan oleh industri, selain ditamatkan kontrak nyanyian piring hitam
oleh syarikat rakaman EMI kerana dianggap lagu-lagunya tidak lagi boleh dijual.
Demikian kisah lara penghujung hidup seorang P. Ramlee yang tidak pernah
terpadam dari ingatan Ahmad Nawab. Bagaimanapun setelah Seniman Agong itu
tiada, barulah nama dan pengorbanannya dipuja-puji semula oleh sekalian anggota
masyarakat.
“Tetapi nasib saya masih baik. Sekurang-kurangnya
masih ada wartawan yang sudi mendengar cerita saya sedangkan P. Ramlee sampai
dia meninggal dunia orang tidak pedulikan. “Nasib dia memang sedih dan saya tahu sebab hubungan
kami rapat. Saya banyak tolong dia membuat lagu semasa di Merdeka Filem. Tetapi
saya tahu, nasib saya juga akan jadi sepertinya suatu hari nanti,” kata Seniman
Negara ini. Jika dibarat, yang lama itu makin dihargai dan mahal
harganya. Tetapi di sini, yang lama itu makin disisihkan dan murah harganya.
Itulah kecelaruan dunia seni tempatan yang seolah-olah tidak menyediakan tempat
selayaknya untuk insan seni seperti Ahmad Nawab. Malah, golongan ini juga
semakin sukar untuk cari makan melalui bakat seni, kerana industri hari ini
hanya seolah-olah mengitiraf golongan muda punya aura sensasi semata-mata. Disebalik segalanya itu, satu pesanan Ahmad Nawab,
orang seni antara individu yang sangat sensitif sifatnya. Berdirinya mereka
atas landasan kerjaya bukan kerana wang ringgit yang dimahukan, cukup sekadar
usaha seninya itu dihargai hingga ke hujung usia.
Usaha penyanyi lama
Usai bicara mengenai kekecewaan, kami lantas dijemput
oleh Ahmad Nawab ke sebuah bilik, lokasi dia menghasilkan semua hasil karya
kreatifnya. Ibarat sebuah mini muzium, bilik itu bukan sahaja
untuk bekerja, tetapi turut menempatkan beberapa koleksi anugerah yang
diterimanya dan gambar-gambar lama penyanyi termasuk P.Ramlee. Langsung, bicara kami dipanjangkan terus bagaimana
sukarnya penyanyi dahulu mahu menyiapkan sebuah lagu berbanding zaman kini.
“Zaman sekarang, apa yang penyanyi mahukan semua
mereka boleh dapat. Tetapi dahulu, mereka bersusah payah untuk menghasilkan
sebuah lagu. “Dahulu punya rakaman lagu, apa yang dinyanyikan
secara langsung itulah yang akan dimuatkan dalam album. Tiada sebarang sistem
yang boleh digunakan untuk menambah kualiti suara penyanyi,” jelasnya. Ditanya pendapatnya mengenai penyanyi yang bagus masa
kini, bagi Ahmad Nawab, tiada penyanyi yang betul-betul bagus sekarang.
Lambakan penyanyi baharu ketika ini membuatkan kualiti vokal seseorang itu
dinilai dengan mentaliti cukup rendah, sekali berbanding dahulu.
Tambahnya lagi, dia juga kecewa kerana tidak ramai
penyanyi baharu sekarang yang mahu mengambil nasihat daripada penyanyi lama. “Kebanyakan penyanyi sekarang takut kerana jika mereka
ambil nasihat penyanyi lama, mereka akan menyanyi seperti penyanyi itu.
Sebenarnya, lagi lama seseorang itu, lagi handal. Muzik ini tiada baru atau lama.
Melodi semua sama, cuma tempo sahaja yang bertukar,” jelasnya. Tambahan sekarang bagi Ahmad Nawab, publisiti terlalu
kuat membuatkan mereka senang untuk dikenali berbanding dahulu yang bergantung
kuat kepada vokal mereka sendiri.
“Satu lagi yang saya mahu beritahu, untuk bergelar
penyanyi bukan melalui pelajaran. Penyanyi memang dilahirkan untuk menjadi
penyanyi. Sebab itu mereka yang saya bawa naik seperti Hail Amir, Ramlah Ram,
Salamiah Hassan dan Uji Rashid, vokal mereka masih dikenang sehingga kini,”
jelasnya. Bersama dengan Mega, penyanyi lama yang disebut Ahmad
Nawab turut hadir untuk melawat individu yang mengangkat mereka ke dalam
industri seni. Ternyata, kehadiran mereka menceriakan insan seni itu. Pelbagai
kisah diceritakan kembali sekali gus mengundang hilai tawa.
Buat lagu ikut perasaan
Siapa yang tidak maklum akan lagu Antara Matamu dan
Mataku, paduan suara antara Uji Rashid dan Hail Amir. Lagu tersebut masih malar
segar hingga kini. Menurut Uji Rashid, Ahmad Nawab individu yang mengesan
bakatnya mempunyai satu keistimewaan untuk membuat lagu dalam masa yang
singkat. “Kalau dahulu, masa berborak dengan Ahmad Nawab dan
bila dia nampak emosi kita sedang bersedih, dia akan terus membuat lagu sedih. “Tambahan, dia tidak akan beri orang lain menyanyi
lagu yang sudah dikhususkan untuk seseorang,” jelasnya. Baginya, rugi jika seseorang yang memainkan peranan
penting dalam industri seperti Ahmad Nawab diabaikan begitu sahaja peranannya.
Hantar sampai rumah
Satu ketika dahulu, bapa Salamiah Hassan tidak
membenarkannya terlibat dengan industri seni tetapi Ahmad Nawab yang memberi
jaminan untuk sentiasa menjaganya. “Kalau dahulu, Ahmad Nawab yang akan mengambil dan
menghantar saya semula ke rumah. Kalau pukul 12 tengah malam habis, ayah akan
terpacak di luar rumah. Begitulah mesranya kami dengan komposer dahulu. Tidak
sama lagi seperti sekarang,” jelasnya. Seperkara lagi yang kekal dalam ingatan Salamiah ialah
setiap kali mahu memulakan rakaman, Ahmad Nawab akan bertanya kepadanya sama
ada sudah makan atau belum. “Ahmad Nawab sangat mementingkan perkara itu untuk
mendapatkan tenaga yang secukupnya ketika proses rakaman,” jelasnya.
Teringat kisah makan jambu
Bercerita pengalaman bekerja dengan Ahmad Nawab,
Ramlah Ram teringat bagaimana kisahnya ditegur kerana makan buah jambu sebelum
proses rakaman. “Masa nak rakaman tu, saya makan buah jambu siap cicah
dengan asam lagi. Tiba masa nak menyanyi, suara tak boleh keluar. Terus Ahmad
Nawab tegur kata kalau dah tahu nak menyanyi, makan jambu dengan asam siapa
suruh,” katanya tertawa. Tambah Ramlah lagi, Ahmad Nawab bukanlah seorang yang
garang, tetapi mereka akan tahu bila lelaki itu sudah beremosi seperti mahu
marah.
“Dia tak pernah marah. Pernah sekali, saya rekod lagu
berkali-kali. Ahmad Nawab suruh saya menyanyi sampai saya menangis dalam bilik
rakaman. “Penyanyi dahulu nyanyi berkali-kali sebab tidak ada
suntingan selepas itu. Apa yang keluar, itulah suara asal kami,” jelasnya.
Cetak rompak ke Thailand
Bagi Hail Amir pula, antara individu yang mempopularkan
dirinya ialah Ahmad Nawab menerusi album EP Wajah Kesayangan Hamba. “Ketika itu, Ahmad Nawab mengadakan sesi uji bakat dan
saya bersama Uji Rashid telah terpilih untuk menghasilkan album Wajah
Kesayangan Hamba yang turut memuatkan lagu Bukan Jodoh Bukan Suratan serta
Kasih Dan Sayang. “Bila album itu keluar, sambutan yang diterima sangat
menggalakkan dan undangan menyanyi pun banyak sehinggakan saya melepaskan
jawatan saya sebagai penari bersama Kementerian Kebudayaan ketika itu,”
jelasnya.
Seperkara yang menarik lagi mengenai album yang
dihasilkan Ahmad Nawab itu, ia telah dicetak rompak hingga ke Thailand. “Di sini, albumnya itu hanya kecil dan dimuatkan dalam
bentuk EP. Tetapi, di sana mereka buat lebih besar dalam bentuk LP,” katanya
tertawa mengenang kisah itu.
oleh: Muhammad Azrul Mohd Radi, Utusan Malaysia, 1 September 2015.
Artikel ini telah diterbitkan Utusan Malaysia dan dimuatkan dalam blog ini kerana mencapai piawaian yang sangat 'berharga' untuk dikongsi buat pelayar laman blog ini. - Admin
0 Ulasan