'Politik!', kenapa 'politik'?. Apa kaitan dan faedah mengagungkan budaya 'politik' ini dalam industri kita?. Ada yang berpendapat, dengan 'berpolitik', kita boleh cari makan, dapat tender, proposal akan lulus, malahan karya kita akan diangkat sebagai karya 'idaman', bahkan syarikat produksi yang bermain 'politik' akan terus terkena tempiasnya, iaitu dikalangan vvip yang berpangkat atasan dan berkuasa dalam jaringan kerjaya malahan 'anda' yang bermain dalam isu ini akan turut merasai kehangatan dan kehebatannya. Tapi sampai bilakah kita boleh hidup bermain 'politik', dan adakah 'politik' itu boleh di bawa ke lubang kubur?.
Persoalan ini terus bermain di fikiran dan menjadi perdebatan 'kurang enak' di beberapa laman media sosial oleh 'mereka' yang sememangnya tidak 'gemar' dan 'tidak suka' dengan simbol 'politik' dalam industri hiburan dan filem tempatan. Ketika isu penyanyi 'Najwa Mahiaddin' yang tidak dibenarkan membuat persembahan di Malam Festival Filem Malaysia ke 27 (FFM27) dan akhirnya dibenarkan oleh penganjur di saat akhir, turut mengundang persepsi berbeza di kalangan peminat dan pengguna laman sosial. Ada yang menyalahkan penganjur, kerajaan dan menteri berkaitan yang kononnya tidak membenarkan Najwa membuat persembahan dengan alasan beliau anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia,yang telah dilucutkan jawatannya dalam kerajaan. Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah, 'tidak elok' untuk kita menutup periuk nasi orang lain, kerana rezeki kita bukan di tangan kita, malahan ia di tangan Allah S.W.T. Seandainya, kita mahu berperang politik sekalipun, bawaklah ke tempat lain, kerana industri filem hanya untuk mereka yang mahu memajukan industri, bukannya untuk menjatuhkan industri filem semata-mata kerana hal peribadi atau hal politik berkaitan.
Bukan itu sahaja, penerbit sebuah filem bertajuk 'Kapsul' yang trailernya tidak ditayangkan di FFM27 semasa ruangan iklan ketika 'break scene for live', turut menyuarakan pendapat yang sama. Penerbit filem berkenaan, Amru Najmi Osman dalam facebooknya berkata, "Aku memang dah agak, mungkin sebab Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) ada dalam filem aku,”. Kapsul yang dijadualkan tayangannya pada 17 September 2015 di pawagam, tetap akan diteruskan mengikut skim wajib tayang Finas. Namun dalam soal tayangan di FFM27 itu diharapkan pihak berkenaan tampil membuat penjelasan kerana semasa 'rehearsal' dijalankan, trailer filem berkenaan ditayangkan. Dalam soal ini, kita tidak perlu menyalahkan mana-mana pihak, kerana mungkin ada kecuaiannya atau alasan tersendiri, walaupun ia sukar diterima akal fikiran yang waras.
'Politik' dan 'Industri Filem', tidak harus dicampur adukkan, atau berkongsi citarasa sama walaupun berbeza pendapat, tetapi 'politik' yang baik tidak wajar dilepaskan. Namun, apa yang pasti 'renggangkan' sifat 'benci sesama kita' dalam industri filem, jika tidak amanat 'sehati sejiwa' yang menjadi tagline dalam FFM27 wajar dilepaskan sekiranya kita hanya 'bercakap di mulut', tidak 'di hati'. Industri filem memerlukan sikap yang positif dalam tampuk pemerintahannya, tanpa mengira latar belakang 'pemainnya'. Jangan babitkan 'parti politik', dalam industri filem kerana apa yang perlu kita perjuangkan kini ialah 'bagaimana untuk kita membawa filem dan karya kita menembusi pasaran antarabangsa' sebagaimana saranan dan impian Dato' Kamil Othman, Ketua Pengarah Finas dalam misi dan visinya. Jika tidak 'kita hanya pandai bercakap, tetapi tidak bijak untuk merealisasikannya'. Tepuk dada tanya akal, tepuk minda tanya pemikirannya..
Wallahuallam
Oleh: Amy Ikram, Hak Cipta Terpelihara 2015 amyikram.com
0 Ulasan