Selepas muncul dengan beberapa buah karya hebat, antaranya ‘The Third Generation (2006), Kinta 1881 (2007), Four Dragons (2008) , The Loan Shark (2010), Haq (2010), serta 2 buah filem antarabangsa dari Hong Kong ‘Summer Day’ dan ‘Wheel Of Fire’, CL Hor yang berpengalaman luas lebih 28 tahun dalam industri pengiklanan antarabangsa sebagai pengarah kreatif kini boleh dibanggakan.
Pengarah kelahiran tempatan
yang membina nama di Hong Kong itu, kini boleh disifatkan sebagai bertuah
kerana karya terbarunya itu mendapat sokongan penuh Perbadanan Kemajuan Filem
Nasional Malaysia (FINAS). ‘Green Love’,
yang memaparkan kisah cinta agung sesama manusia tidak tertumpu kepada ikatan
kekeluargaan sahaja, bahkan ia memberi fokus dan penekanan kepada alam sekitar
tanpa melupai nilai perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia, di
mana elemen cinta merupakan pengikat keharmonian tanpa mengira kaum dan budaya.
Filem yang diterbitkan oleh
Innopure Sdn Bhd dengan kerjasama Mega Visual itu antara karya filem pertama menggunakan elemen dwi-bahasa
Kantonis-Inggeris, di mana ia dibarisi oleh beberapa pelakon terkenal dari
Hong Kong dan Malaysia antaranya Edward
Chui, Bowie Wu, Rosanne Lui, Erica Chui,
Lisa Ch’ng, Nutserlar, Billy Wong, Keith
Hor dan Tricia Chan. Menariknya, filem ini juga bakal menampilkan beberapa orang
pelakon berbakat lain dari kedua-dua buah negara yang berbilang bangsa, kaum
dan umur.
CL Hor, selaku pengarah filem
‘Green Love’ ini ketika ditemui media Finas semasa Majlis Pelancaran Filem ini di
DoubleTRee by Hilton Kuala Lumpur, petang tadi berharap masyarakat dan penonton
di Malaysia dapat menerima kehadiran filem ini apabila ditayangkan kelak, kerana
keseluruhan cerita ‘Green Love’ ini berpaksikan nilai cinta yang cukup unik
dengan rakaman sinematografi, tentunya memberikan gambaran yang cukup
indah, dan pastinya ia tidak akan dilupakan oleh segenap penonton dan peminat
filem khususnya di Malaysia. Tambahnya lagi, beliau cukup terharu sekaligus
teruja untuk menyiapkan filem ini tanpa menjejaskan kualiti yang diharapkan
dengan sokongan padu semua pihak termasuk penaja dan Finas amnya sebagai badan
perfileman terunggul yang banyak membantu dalam penghasilan naskhah yang
khabarnya akan menemui penonton di pawagam menjelang tahun 2017.
Ketua Pengarah Finas, Dato’
Kamil Othman yang hadir memberi sokongan semasa majlis pelancaran tersebut
berpendapat, filem ‘Green Love’, diarahkan oleh CL Hor ini adalah karya
filem tempatan dari Malaysia yang mampu menembusi pasaran antarabangsa apabila
ditayangkan kelak kerana keseluruhan filem ini dihasilkan oleh gabungan krew
dan produksi kedua-dua buah negara sememangnya mempunyai kepakaran dan pengalaman
luas dalam bidang kreatif masing-masing. Pihak Finas amnya, amat menyokong
mana-mana karyawan tempatan yang mahu membawa karya kita ke pasaran luar
melalui idea yang diterjemahkan ke layar melalui medium filem di pawagam.
Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib,
Pengerusi Finas ketika ditemui media, pula berharap ‘filem ‘Green Love’ ini
dapat ditayangkan di beberapa buah negara besar di dunia termasuk Eropah, Cina,
Hong Kong dan Amerika, selain Malaysia amnya, kerana kita sudah dimaklumkan
bahawa beberapa pelabur besar dari negara tersebut berminat untuk mengedar sekaligus
menayangkan filem ini di negara mereka. Tambahnya lagi, “Kita (Finas) sebagai
badan perfileman di Malaysia berharap lebih banyak karya sebegini dapat
dihasilkan oleh karyawan kita sekaligus ia membuka ruang positif dalam sektor
pelancongan di Malaysia melalui paparan yang cukup cantik dalam setiap apa yang
dipaparkan. ‘Green Love’ yang akan menjalani penggambaran di beberapa buah
tempat menarik di Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Melaka, Bukit Fraser, dan
Tanjung Malim ini adalah karya dari Malaysia yang boleh dibanggakan", ujarnya
dengan nada tersenyum penuh makna.
‘Green Love’ yang mendapat
sokongan penuh Finas ini akan memulakan penggambaran pada 15 Julai 2016 dan
akan ditayangkan di beberapa buah pawagam seluruh negara mulai 2017.
© 2016 Finas Media, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional
Malaysia / Amy Ikram
* telah diterbitkan di Facebook : Finas Malaysia
1 Ulasan