BAJET 2017 yang
dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang
memberikan diskaun khas kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN) sewajarnya disambut baik oleh lebih 650,000
peminjam di seluruh negara. Mengikut insentif berkenaan yang berkuat
kuasa mulai 22 Oktober 2016 hingga 31 Disember 2017 itu, diskaun khas
yang diberikan adalah berdasarkan kepada skima berikut:
- 15 peratus atas baki hutang bagi penyelesaian penuh;
- 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus dari baki hutang dengan sekali bayaran; dan
- 10 peratus untuk bayaran balik yang diatur melalui potongan gaji atau potongan terus dari bank mengikut jadual bayaran balik yang telah ditetapkan.
Isu ketegasan PTPTN menyenarai hitam pemiutang di
dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) telah menimbulkan
keresahan dalam kalangan masyarakat, bukan sahaja dalam kalangan
peminjam tetapi juga ibu bapa termasuk aktivis masyarakat dengan ada
pihak yang menyokong dan sebahagian besar lain menentangnya.
Polemik yang berterusan ini menyebabkan Menteri
Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh memberi jaminan bahawa pihak
PTPTN tidak sekali-kali akan menganiaya peminjamnya dan sesiapa yang
merasa dirinya telah teraniaya boleh datang menemui beliau.
Sejak Akta Institusi Pendidikan Swasta 1996
diluluskan dan PTPTN mula diperkenalkan pada 1997, lebih 650,000
peminjam menikmati kemudahan itu dan laporan akhbar tempatan memetik
bahawa sepanjang 2015 sejumlah RM7 bilion pinjaman dapat dikutip kembali
ataupun 46 peratus daripada RM15.1 bilion yang sepatutnya dibayar
peminjam. Laporan akhbar pada 30 November 2015 pula menyebut bahawa
seramai 167,000 peminjam telah disenarai hitam di bawah sistem CCRIS dan
ini adalah angka yang cukup besar.
Masalah keliatan membayar hutang adalah masalah
universal yang mana menurut laporan Federal Reserve Bank of New York,
Amerika Syarikat (AS) dalam laporannya bahawa pada Julai 2015, terdapat
enam peratus daripada 6.9 juta peminjam pelajaran tinggi AS yang tidak
membayar balik pinjaman pengajian yang mana ia adalah bebanan kepada
kerajaan AS dan jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan setakat tarikh
itu adalah AS$1.19 trilion.
Fenomena yang sama turut berlaku di Jepun iaitu
negara yang sentiasa dikagumi kerana tahap akauntabiliti yang tinggi
dalam kalangan rakyatnya yang mana laporan oleh Japan Student Services
Organization menyebut daripada 1.43 juta peminjam pengajian tingginya,
terdapat 330,000 pemiutang atau 23 peratus yang masih mempunyai bayaran
tertunggak iaitu satu angka yang dikira besar bagi sebuah negara
berpendapatan tinggi yang mempunyai penduduk seramai 127 juta orang itu.
Apa yang dikesalkan sikap segelintir peminjam
yang liat membayar hutang ini walaupun telah mempunyai pekerjaan tetap.
Bagi peminjam beragama Islam, kewajipan untuk membayar balik pinjaman
itu adalah sesuatu yang wajib sebagaimana ditegaskan Allah SWT yang
bermaksud: “... Dan penuhilah janji (dengan Allah dan manusia) kerana
janji itu pasti diminta pertanggungjawabannya.” - (surah al-Isra’ ayat
34).
Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2015 yang
dijalankan Kementerian Pendidikan Tinggi pada 2015 menunjukkan terdapat
77.5 peratus daripada graduan telah pun bekerja sementara 22.5 peratus
masih belum bekerja. Jika diambil angka ini sebagai ukuran dan kesedaran
yang tinggi akan obligasi untuk membayar hutang, maka sudah pasti
tindakan drastik untuk menyenarai hitamkan pemiutang dalam CCRIS ini
tidak perlu untuk dilakukan.
Menyenarai hitamkan pemiutang dalam CCRIS seperti
yang berlaku kepada lebih 167,000 peminjam sekaligus akan menyebabkan
peluang mereka untuk memohon pekerjaan di sektor-sektor perbankan dan
kewangan terjejas kerana Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989
(Akta 372) melarang mereka yang mempunyai masalah kewangan itu untuk
bekerja di sektor berkenaan dan ini akan menambah lagi masalah lambakan
pengangguran graduan di pasaran pekerjaan. Kekangan CCRIS ini turut
menyukarkan anak-anak muda ini membuat permohonan pinjaman di bank
sekiranya ingin memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dan meneroka
bidang keusahawanan demi untuk membina sebuah kehidupan.
Justeru, satu penyelesaian yang ideal adalah
untuk PTPTN mendekati pemiutang secara mesra pemiutang dengan membuka
ruang seluas-luasnya untuk mereka ini membuat pembayaran minimum
mengikut tahap kemampuan peminjam dan juga melaksanakan kempen-kempen
tentang kebertanggungjawaban mereka sebagai pemiutang secara berkala.
Sebagai sebuah agensi kerajaan di bawah naungan
kepimpinan negara yang mementingkan kebajikan kepada rakyatnya, tindakan
CCRIS tanpa mengambil kira sama ada seorang graduan itu telah atau
belum lagi mendapat pekerjaan sewajarnya adalah pilihan yang terakhir.
Ini kerana tindakan sedemikian hanya menambah kesengsaraan kepada para
graduan yang masih menganggur terutama mereka yang datang dari keluarga
miskin yang memerlukan bantuan dan pembelaan.
Akhir bicara, marilah kita berdoa mudah-mudahan
ekonomi negara ini akan terus makmur serta berupaya membuka lebih banyak
peluang pekerjaan untuk anak-anak kita mendapat pekerjaan dan semoga
Allah SWT membuka hati pemiutang PTPTN ini untuk menyempurnakan
tanggungjawab membayar kembali pinjaman pelajaran masing-masing demi
untuk kebajikan gegenerasi seterusnya.
PENULIS ialah Timbalan Pengarah di Institut Integriti Malaysia (IIM).
Artikel ini merupakan artikel pilihan yang telah dicetak dalam akhbar Utusan Malaysia pada 25 Oktober 2016. Ia dimuatkan dalam blog ini adalah sekadar untuk bacaan dalam talian, bukan untuk di komersialkan.
0 Ulasan