'REDHA' SEMAKIN MEKAR, HARUMNYA KE OSCAR 2017.


‘Uri’ dan ‘Parit Jawa’ yang dihasilkan untuk siaran di kaca televisyen sekitar tahun 2011 memberi impak positif terhadap kerjayanya sebagai seorang pengarah. Dicalonkan di Anugerah Skrin 2012 , Parit Jawa arahannya memenangi Pelakon Wanita Terbaik (Ruminah Sidek) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama (Namron) di ASK 2012. Berkecimpung dalam industri tv komersial dan pernah terlibat dalam beberapa syarikat produksi di Malaysia dan Singapura selama beberapa tahun sehingga berjaya menghasilkan naskhah ‘Redha’ pada tahun 2016, pemilik nama ‘Tunku Mona Riza’ dalam industri perfileman tempatan bagaikan ‘sekuntum bunga yang mekar, terus berkembang mengikut arah angin dan terbang tinggi di awan’. ‘Redha’ yang lahir dari jiwanya terhadap kisah masyarakat terpinggir dengan memberi penekanan kepada dunia ‘autisme’ itu sendiri berjaya meletakkan namanya sebaris dengan beberapa pengarah hebat di beberapa festival filem antarabangsa .
Ditayangkan di pawagam tempatan bermula 14 April 2016 dan berjaya memasuki pasaran Singapura melalui tayangan khas anjuran Persatuan Filem Melayu Singapura (SMFS) pada 25 hingga 31 Julai 2016, ‘Redha’ mengungguli carta teratas filem Malaysia bertaraf antarabangsa apabila buat pertama kalinya memenangi ‘Merit Award’ di Los Angeles Awareness Film Festival (LAAFF2016) yang bakal berlangsung pada 6 hingga 16 Oktober 2016 di Los Angeles, Amerika Syarikat. Kejayaannya membawa naskhah pertama arahannya itu berbaloi apabila memenangi ‘Pelakon Wanita Terbaik (June Lojong) dan Anugerah Khas Juri (Special Award) di World Premieres Film Festival 2016 di Manila, Philippines, Julai 2016. Atas berkat kesabarannya dan ketulusan hatinya bercerita tentang ‘nasib anak autisme’ dan ‘penerimaan keluarga’ terhadap anak istimewa ini, sekali lagi nama Tunku Mona Riza mendapat perhatian dunia apabila memenangi 3 anugerah di XII Kazan International Muslim Film Festival 2016 di Rusia, September 2016 iaitu (i) The Special Prize Nominated by The President of Tatarstan Republic For Humanism in The Cinematography, (ii) The Special Prize of The Russian Guild of Cinema Critics and (iii) The Best Actor in the Full Length Feature Film for Male Ensemble Casts; Harith Haziq, Izzy Zulkhazreef and Nam Ron. 


Terkini, Redha arahannya terpilih mewakili Malaysia ke 4th Casa Asia Film Week (CAFW) 2016 di Barcelona Sepanyol pada 4 hingga 13 November 2016 dan juga bakal bertanding di Anugerah Akademi  ke-89 (Oscar 2017) yang bakal berlangsung pada 26 Februari 2017 bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik. Pemilihan Redha ke Oscar adalah bertepatan dengan kualiti filem yang ditonjolkan sekaligus ini merupakan filem pilihan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi mewakili Malaysia ke acara yang penuh prestij itu. 
Kejayaan demi kejayaan diperolehi Tunku Mona Riza dalam tempoh beberapa bulan, menjadikan tahun 2016 cukup gemilang dalam profil kerjayanya sebagai seorang karyawan generasi baharu yang tentunya bakal menggoncang industri hiburan dan filem tempatan dari semasa ke semasa.


'Lensa Sinema' menerusi Sinema Malaysia edisi khas 2016 ini menyelusuri kisah di sebalik kejayaan pemilik nama Tunku Mona Riza.
[Sinema Malaysia edisi khas 2016 ini boleh di dapati secara percuma di Finas Hulu Kelang, Selangor. Ikuti kisah menarik karyawan generasi baharu , antaranya Nizam Razak, Pekin Ibrahim, Shanjhey Kumar Perumal, Ghaz Abu Bakar, Liew Seng Tat, Nadira Ilana, Diffan Norman dan Tunku Mona Riza].


© 2016 Finas Media, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia / Amy Ikram
* telah diterbitkan di Facebook : Finas Malaysia 

Catat Ulasan

1 Ulasan

nera berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.