Menggunakan judul yang sama selepas dua filem terdahulu, Rock (2005)
dan Rock Oo (2013), pengarah dan sutradara terkenal, Mamat Khalid bakal
menggegarkan sinema tempatan menerusi karya terbaharunya, Rock Bro!.
Diterbitkan Grand Brilliance menerusi produksi Enjit Semut, Rock Bro!
yang berkisarkan tentang kesukaran zaman rock di Malaysia sekitar awal
tahun 1980an ini menampilkan Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Soffi Jikan,
Azmi Bahron, Dato’ Hattan, Rosli Mohalim & Friends (Sweet Charity) dan Amy Juliet merupakan pendatang baharu dalam industri lakonan dan filem tempatan.
Rock Bro! yang menceritakan suka duka kumpulan rock Rimba Bara ketika
zaman popularitinya ini memaparkan beberapa kisah menarik yang pasti
menyentuh jiwa dan perasaan penonton. Ketika ditemubual semasa Tayangan
Perdana Filem ‘Rock Bro! di mmCineplexes, e@Curve, Damansara pada 19
Oktober 2016, Mamat Khalid selaku pengarah filem ini berharap penonton
dan peminat filem di Malaysia dapat ke pawagam untuk sama-sama menonton
filem tersebut kerana Rock Bro! adalah filem terakhir bagi siri Rock
yang pernah diarahkannya sebelum ini. Rock Bro! adalah cebisan kisah
yang hidup di zaman keunggulan muzik Rock yang banyak melatari hidup
masyarakat di Malaysia pada era sebelum 80an hinggalah ke zaman
kejatuhannya pada tahun 1990an apabila muzik Hip Hop mula bertapak di
halwa telinga pendengar muzik ketika itu. Menariknya, Rock Bro!
menyajikan juga kisah kemunculan penyanyi Ella dan Ramlah Ram, walaupun
sedikit cuma.
Rock Bro! yang akan menemui penonton di seluruh
pawagam tanah air bermula 27 Oktober 2016 ini merupakan filem ke-14
arahan Mamat Khalid.
0 Ulasan