Dalam pembikinan sesebuah filem, aspek ‘suntingan’ merupakan elemen
penting bagi menggerakkan sesebuah cerita. Cerita yang ditulis oleh
seseorang penulis skrip akan diterjemahkan melalui lakon layar ke dalam
bentuk bahasa visual oleh seorang pengarah. Pengarah atau sutradara ini
akan memainkan peranan penting bersama-sama seorang penyunting bagi
menghasilkan sebuah naskhah cerita yang dapat difahami penonton. Dalam
situasi ini, ‘penyunting’ bagi sesebuah filem adalah individu terpenting
yang menggerakkan sesebuah cerita melalui suntingan yang dilakukannya,
setiap plot cerita dicantumkan bersama-sama lakonan para pelakonnya
sehinggalah melalui proses post produksi yang lain termasuk muzik latar
yang akan dilakukan oleh pengarah muzik.
Atas kesedaran bagi
melahirkan lebih ramai tenaga kreatif dalam bidang filem merujuk kepada
aspek suntingan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS)
mengambil inisiatif dengan menganjurkan Bengkel Penyuntingan Naratif
(Pertengahan). Berlangsung selama lima (5) hari bermula pada 15hb
Oktober hingga 19 Oktober 2016, bengkel yang mendedahkan secara
terperinci tentang teknik suntingan dalam naratif cerita bagi pembikinan
sesebuah filem diadakan di Studio Ho Ah Loke, Finas Hulu Kelang,
Selangor. Disertai hampir 20 peserta dari pelbagai bidang, Bengkel
Penyuntingan Naratif (Pertengahan) ini dijayakan oleh Isazaly Isa
sebagai tenaga pengajar professional.
Isazaly Isa yang
berpengalaman luas dalam bidang filem merupakan seorang penyunting filem
yang cukup di segani dalam industri perfileman tempatan. Berkecimpung
dalam dunia sinema tempatan hampir 16 tahun dengan pelbagai hasil kerja
yang cukup hebat, Zaly antara individu yang menjadi kegemaran ramai
penerbit dan pengarah filem, bahkan boleh dikatakan setiap sentuhannya
adalah ‘magis’ kepada sesebuah karya filem. ‘Redha’ arahan Tunku Mona
Riza yang diterbitkan Current Pictures pada tahun 2016 merupakan filem
yang mendapat sentuhan Isazaly Isa sebagai penyunting filem. Ketika
ditemubual, Zaly berkongsi cerita dan kegembiraannya apabila terpilih
sebagai keluarga produksi Redha, yang kini antara filem Malaysia yang
terpilih ke Anugerah Academy ke 89, 2017, Oscar yang bakal berlangsung
di Amerika Syarikat pada penghujung Februari 2017. Menurutnya, Redha
banyak mengajarnya tentang erti kehidupan berlandaskan realiti
masyarakat, kerana filem pertama arahan Tunku Mona Riza ini mencabar
pemikirannya dari sudut suntingan kerana ia banyak bermain dengan emosi
dan fizikal, malahan beliau cukup terharu apabila hasil kerjanya ini
diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila Redha berjaya menjelajah ke
beberapa festival filem antarabangsa di Filipina, Rusia, Kazakhstan,
Amerika Syarikat, Sepanyol dan Singapura. Pelbagai kejayaan dimiliki
Redha, sehingga menjadikan filem ini sebagai naskhah yang cukup hebat
yang pernah disertainya.
Sebelum filem Redha, Isazaly Isa banyak
terlibat dalam produksi filem dan drama. Filem pertama sentuhannya
sebagai penyunting adalah Lips To Lips (2000, filem digital), dan Susuk
(2008). Filem Aliff Dalam 7 Dimensi merupakan filem suntingannya bagi
tahun 2016 sebelum filem Redha, manakala filem Cermin (2007), yang
diarahkan oleh Zarina Abdullah antara filem yang menggunakan khidmatnya
sebagai pengarah visual efek dan co-writer manakala telefilem Saloma
(2014) arahan Melissa Saila pula adalah telefilem khas mengenai
Primadona Saloma, dan menerusi karya ini, Isazaly Isa menjadi antara
penyunting yang cukup hebat dan sentuhannya bisa menggegarkan jiwa
setiap penonton yang menontonnya.
Bengkel Penyuntingan Naratif
(Pertengahan) yang akan berakhir pada 19 Oktober ini merupakan bengkel
lanjutan dari siri asas sebelum ini yang pernah diadakan pada awal Mac
2016 di lokasi yang sama.
© 2016 Finas Media, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia. Telah diterbitkan dalam medium media sosial di Finas Malaysia. / Amy Ikram
0 Ulasan