HAMDI RAZALLI DALAM KENANGAN. AL FATIHAH

 Mengenali beliau melalui medium media sosial sekitar 5 tahun yang lepas. Walaupun tidak serapat seperti rakan-rakan lainnya, kerana 'sikap' dan 'mentaliti'nya berbeza dengan individu lain yang pernah saya kenali, saya cuba mendekati beliau. Daniel Adie, nama penanya dalam dunia blog. Banyak tulisannya dikongsi dalam blog kesayangannya itu, yang lebih menjurus dalam kehidupan, persekitaran sehinggalah beliau berjinak dalam memberikan komen dan review menarik mengenai filem-filem kegemarannya.

Dua minggu sebelum menjelangnya Preview Khas filem kontroversi arahan Khir Rahman, '... Dalam Botol', di Finas Hulu Kelang sekitar tahun 2010, penerbit filem tersebut, Raja Azmi ada menghubungi saya meminta saya menganjurkan peraduan untuk memilih para blogger yang aktif untuk hadir ke sesi tertutup tayangan filem tersebut. Saya menyahut cabaran Kak Mi ketika itu dengan menyenarai pendek beberapa blogger yang saya rasa wajar 'dijemput' sekaligus sebagai 'gathering ringkas' mereka dalam mendekati karyawan filem secara dekat.


Adie, nama pertama yang bermain di benak fikiran, walaupun kami tidak pernah bersua muka, tetapi kerana kerap berhubung dan berkongsi minat masing-masing, saya menyemputnya ke sesi tayangan tertutup filem tersebut, dengan harapan dia membawa rakan-rakan blogger yang lain sekaligus mengeratkan persahabatan kami secara tidak langsung.

Pertama kali berjumpa di sesi tayangan tersebut pada tahun 2010 bersama-sama teman blogger yang lain, beliau (daniel adie / hamdi razalli), boleh di katakan agak 'cool, dan mudah mesra', orangnya kecil dan agak kacak. Sejak dari itu, perkenalan kami berlangsung secara dalam talian sehinggalah detik menyedihkan apabila jasadnya kembali di sisi maha pencipta pada 31 Oktober 2016. Hanya Allah swt yang tahu bagaimana hati saya dan teman-teman lain, bagaikan 'dirobek', dengan berita pemergiannya pada pagi 31 Oktober. Pada waktu itu, tergamam tak terkata, mulut bagaikan terkunci apatah lagi jari jemari kaku hilang arah bagaikan kehilangan ahli keluarga sendiri. Walaupun saya tidak dapat hadir pada hari pengebumiannya kerana jarak memisahkan kami, namun hanya doa sahaja mampu mengiringi pemergiannya, insan yang amat kami sayangi.

 Hamdi Razalli seorang blogger, dan guru yang mempunyai ramai 'kenalan' pelbagai peringkat umur, sehinggalah pemergiannya di ratapi seluruh teman-teman, anak didiknya dan keluarganya, dan kini kita perlu redha atas kehilangan seorang sahabat yang kita amat cintai dan sayangi.


Ketika nota ini ditulis, hati saya masih tidak mempercayai 'apa yang saya tulis'. Apakah benar berita ini? Ataukah ia sekadar mimpi di siang hari?. Saya perlu terima dan akur akan ketentuan Yang Maha Esa, pencipta sekelian makhluk, di langit dan di bumi. Adie, kami semua amat rindukan kau. Pemergianmu ke alam nyata yang kekal abadi, akan kami susuli secara perlahan, yang hidup akan mati, dan hanya Allah sahaja kekal sebagai pemilik alam ini.

 Setiap tulisanmu, langkahmu, gerak geri dan nilai tawamu, pasti akan dikenang dan dirindui sebagai manisan hidup yang meninggalkan sejuta kenangan buat mereka yang pernah mendampingimu. Adie, you are the best friend, forever & ever. We are missed you, and love and ever.

Muhammad Hamdi Razalli, moga rohmu di tempatkan di kalangan mereka beriman dan di sayangiNya. Al Fatihah.

p/s: Al Fatihah. Moga Allah swt menempatkannya di syurga firdaus yang teratas. Dan memberikan balasan pada mereka yang menyebab kehilangannya. Amin.

Catat Ulasan

0 Ulasan