Meletakkan ‘Dukun’, sebagai platform pertamanya dalam dunia
pengarahan sekitar tahun 2007, sehingga membina empayar luar biasa
melalui karya Bunohan yang memenangi 8 anugerah termasuk Filem dan
Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 25 (FFM25, 2013) , 2
anugerah di Anugerah Skrin 2012, dan juga menerima penghargaan serta
anugerah tertinggi di beberapa festival filem antarabangsa melalui karya
Bunohan antaranya, 36th Toronto International Film Festival, Festival
Filem Taipei Golden Horse 2011, Festival Filem Antarabangsa Sao Paolo
2011, Palm String International Film Festival, Asia Bali Indonesia Film
Festival 2011, Rotterdam Film Festival 2012, dan Fantastic Fest 2011
Amerika Syarikat, Dain Said terus melakar sejarah sekali lagi di
beberapa festival filem antarabangsa apabila Interchange, filem
ketiganya selepas Dukun (2007) dan Bunohan (2012) mencipta fenomena
tersendiri dalam industri perfileman dunia.
Interchange
mengisahkan Adam (Iedil Putra) seorang jurufoto forensik mayat yang
bergerak secara persendirian untuk mengambil beberapa gambar identiti
yang dikerat menerusi lensa kameranya. Perhubungan Adam dengan dunia
gambarnya menemukan dirinya dengan Detektif Azman (Shaheizy Sam),
seorang penyiasat berprofessional yang ditugaskan untuk menyiasat
beberapa siri pembunuhan mengerikan yang berlaku di sekitar Kota
Metropolitan Kuala Lumpur. Adam dan Detektif Azman bergerak bersama bagi
menghadapi beberapa kes paling rumit penuh misteri. Perhubungan dunia
ritual dan alam mistik antara gambar, negatif dan kepercayaan membuatkan
Adam jatuh cinta dengan Iva (Prisia Nasution), seorang bomoh wanita
misteri yang hidup bersama semangat burung, Belian (lakonan hebat
pelakon terkenal Indonesia, Nicholas Saputra). Perhubungan antara Adam
dan Iva, bertambah rumit apabila Adam cuba membantu Iva untuk kembalikan
semangatnya, walaupun Iva mahu membebaskan jiwa suku kaumnya dari dalam
plat kaca negatif pada masa lampau. Kehidupan dan kematian menjadi
pertaruhan Iva bagi memburu semangat masa lampau yang bergerak secara
perlahan tapi penuh drastik.
Interchange yang diterbitkan
produksi Apparat Films bersama Cinesurya ini merupakan projek filem
antarabangsa usahasama Malaysia-Indonesia, dibantu dengan kerjasama
Malaysia Digital Economy Corporation (MDec) dan Perbadanan Kemajuan
Filem Nasional Malaysia(FINAS). Filem ketiga arahan Dain Said ini telah
pun melebarkan sayapnya di beberapa festival filem antarabangsa,
antaranya, World Premier: Festival del Film Locarno, Piazza Grande ,
North American Premier: Toronto Int’l Film Festival, Vanguard Etrange
Film Festival, Paris, Vladivostok International Film Festival, Russia,
BFI London International Film Festival, Thrill SITGES Fantastic Film
Festival, Warsaw Poland, Monster Fest, Melbourne Australia, Goa
International Film Festival, Jogja NETPAC Asian Film Festival dan juga
merupakan filem Malaysia yang ditayangkan sempena pembukaan rasmi
Festival Filem Antarabangsa Singapura yang ke -27 pada 23 November 2016
dan juga di Five Flavours Asian Film Festival, Warsaw Poland, baru-baru
ini.
Ketika ditemui media semasa Sesi Pratonton &
Sidang Media Khas Interchange yang di adakan di GSC Pavillion, Kuala
Lumpur pada petang Khamis, Dain Iskandar Said / Dain Said, berkata,
‘Interchange adalah sebuah karya yang diinspirasikan daripada kisah
benar. Ia menggunakan gambar sebagai plot cerita di mana kisahnya lebih
menjurus pada suku kaum pribumi di Borneo, melalui watak seorang wanita
tempatan sedang menyucikan diri di tepian sungai dalam usaha membuang
‘sial ‘ gara-gara gambarnya diambil’, Ini satu kepercayaan yang sukar
ditembusi pemikiran masyarakat biasa. Idea pembikinan filem ini lahir
ketika saya berada di Kota Bangkok menerusi pengamatan saya melalui
peralihan beberapa gambar dan visual sekitarnya.
Shaheizy Sam,
pelakon yang cukup berbakat di Malaysia melahirkan rasa teruja apabila
tersenarai sebagai pelakon dalam produksi ini. Interchange sebuah
naskhah hebat yang menguji kemampuan saya dari segi fizikal dan mental,
bahkan gandingan bersama pelakon dari seberang, Nicholas Saputra
menjadikan cerita ini lebih istimewa. Ia sebuah cerita fiksyen tentang
pembunuhan misteri, dan apa yang berlaku dalam cerita ini adalah sesuatu
yang menarik, penuh tragik dan pelik’, ujar Shaheizy Sam bersetuju
mengatakan bahawa filem ini sebuah cerita unik yang sangat luar biasa.
‘Watak Berlian yang menimbulkan tanda tanya dan sering bergerak
sendirian di dalam kegelapan di kotaraya untuk mencari beberapa negatif
kaca yang perlu diserahkan kepada pemilik kedai barangan antik , adalah
sesuatu yang penuh misteri dan luar biasa. Filem ini perlu ditonton dan
dihayati, kerana apa yang anda cari pasti akan ditemui menerusi Belian
dan kepercayaannya’, tegas Nicholas Saputra, mengakhiri sesi media filem
arahan Dain Said yang cukup istimewa dan penuh misteri.
Dibarisi pelakon hebat Malaysia dan Indonesia, antaranya, Shaheizy Sam
(Detektif Azman), Iedil Putra (Adam), Nicholas Saputra (Belian), Prisia
Nasution (Iva) , Nadiya Nisaa (Sani) , Alvin Wong (Jason), Chew Kin Wah
(Heng) dan ramai lagi, Interchange bakal menemui penonton dan peminat
filem di beberapa pawagam seluruh Malaysia bermula 1 Disember 2016.
oleh: Amy Ikram
0 Ulasan