NORMAH DAMANHURI & BRONT PALARAE DI ASIAN TELEVISION AWARDS 2016, SINGAPURA


Dalam dunia lakonan, samada di kaca televisyen mahupun di layar skrin, pemilik nama Normah Damanhuri dan Bront Palarae usah dipertikaikan kehebatannya. Bakat besar yang dimiliki mereka seringkali menghiasi beberapa drama dan filem tempatan malahan ada di kalangan mereka pernah terlibat di dalam beberapa produksi luar, bahkan juga menjadi ikon dalam dunia lakonan dan sinema tempatan. 

Normah Damanhuri yang pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 25 (FFM25, 2013) menerusi lakonan hebatnya dalam filem Songlap, tercalon di Asian Television Awards 2016 bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi slot drama Suria : Rahsia Di Malam Syawal, sebuah produksi drama dari Singapura. Selain Normah, Julie Tan dan Nadiah M Din tercalon bagi kategori yang sama, iaitu masing-masing mewakili negara Singapura, di samping pelakon wanita berbakat besar, Farhana M.Noor bagi kategori utama Pelakon Wanita Terbaik menerusi karya hebat Bunga Tanjong. 




Drama ‘Eropah, Here I Am’ yang pernah disiarkan di saluran Astro juga tercalon bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonan hebat Bront Palarae, Aziz Capkurt, Lila Baklesi dan Nur Fazura. Bront Palarae, yang pernah memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 23 (2010) dan Anugerah Skrin 2010 melalui lakonannya dalam filem Belukar arahan Jason Chong, tercalon dalam kategori utama iaitu Pelakon Lelaki Terbaik di Asian Television Awards 2016 yang bakal berlangsung pada 1 dan 2 Disember 2016 di Suntec, Singapura. Drama ‘Tulus Ikhlas’ terbitan Astro juga tersenarai dalam pencalonan akhir di Asian Television Awards 2016 bagi kategori ‘Best Single Drama’. 

‘Asian Television Awards 2016’ yang sudah memasuki tahun yang ke 21 ini merupakan satu anugerah berprestij yang memberi fokus pada produk drama dan program tv dalam industri tv asia merangkumi Malaysia, Singapura, Thailand, Taiwan, Hong Kong, China, India, Indonesia, Filipina, Australia, Qatar, Korea dan Jepun ini bakal berlangsung dengan jayanya pada 1 dan 2 Disember 2016 di Singapura. 

Untuk senarai penuh pencalonan akhir bagi Asian TV Award, sila layari:-
http://www.asiantvawards.com/2016-nominees/

oleh: Amy Ikram
© 2016 Semua Hak Cipta Penulisan Kreatif adalah terpelihara milik penulis. Sebarang cetakan semula dalam apa jua platform sekalipun tanpa kebenaran penulis adalah dilarang. 

Catat Ulasan

0 Ulasan