Jenazah Allahyarham Tan Sri SM Salim selamat disemadikan di Tanah
Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur kira-kira jam 2.45 petang Jumaat, 30 Disember 2016.
Beliau meninggalkan isteri, Puan Sri Aishah Abdul Ghani bersama tujuh
orang anak iaitu Siti Nuraishah, 60, Sheikh Samsuddin, 68, Siti Nur
Huda, 56, Siti Maheran, 54, Siti Huzayah, 53, Sheikh Shamsul, 51, dan
Siti Zubaidah, 35.
SM Salim atau nama sebenarnya Sheikh Salim
Sheikh Muhammad Al Mahros, 88, meninggal dunia di kediamannya di Sering
Ukay, Hulu Kelang, Selangor, 29 Disember 2016 , pada jam 5.45 petang.
Arwah yang merupakan bekas juruhebah Radio Malaya (sekarang RTM) secara
sambilan pada tahun 1957, adalah penghibur serba boleh yang mencipta
nama sebagai penyanyi dan pejuang irama tradisional serta melayu klasik
pada era 50an hingga 90an.
Ketika ditemui media, Sheikh
Shamsul, anak Allahyarham Tan Sri SM Salim berharap, 'semua stesen radio
dan televisyen di Malaysia supaya tidak memutarkan atau memainkan lagu
nyanyian arwah bapanya selama 44 hari. Ini permintaan arwah semasa hidup
dan terpulang kepada budi bicara pihak berkenaan untuk melaksanakannya
atau sebaliknya. Menyedari hakikat bahawa arwah bapanya merupakan
seorang 'public figure', beliau mengharapkan sesuatu yang baik dari
semua bagi menghormati arwah dan amanatnya. Tambahnya lagi, semasa hayat
arwah bapanya masih hidup, beliau merasa amat bimbang dengan perjalanan
seni muzik melayu klasik dan tradisional pada masa kini yang tidak
menentu; ada yang dilupakan terus, bahkan beliau (arwah Tan Sri SM
Salim) berkata 'siapa nak ganti dirinya lagi?', itu kerisauan yang
berbekas di jiwa anak seni yang luhur budi pekertinya di sebalik setiap
lagu dan lirik yang dihasilkannya.
'Jika dihayati bait puitis
lirik lagu yang dinyanyikan serta dihasilkannya, cukup indah
senikatanya. Beliau adalah mentor kepada penyanyi baharu dan
pemergiannya merupakan kehilangan yang sangat besar terhadap industri
seni dan muzik melayu pada masa kini', ujar penyanyi bersuara lunak, Uji
Rashid ketika berkongsi sesuatu yang cukup istimewa mengenai figura di
sebalik nama Tan Sri SM Salim. 'Selamat Tinggal Bungaku, Kenang Daku
Dalam Doamu, Mohon Kasih, Pandang Pandang Jeling Jeling, Kong Kong Kak,
Pasir Roboh', dan banyak lagi antara beberapa judul lagu popular
nyanyian Tan Sri SM Salim yang begitu dekat dengan jiwa setiap peminat
seni dan muzik di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei khususnya.
Kemerduan suara dan gelak ketawanya pasti akan diingati rakan
seperjuangannya yang sama-sama mencurah bakti dan keringat dalam
industri muzik ketika itu. 'Segala susah payah diharungi bersama. Beliau
adalah rakan baik yang tidak lokek dalam berkongsi ilmu pengetahuan
walaupun dengan penyanyi baharu yang ditemuinya. Beliau adalah insan
yang telah membawa saya ke dalam industri ini, dan pemergiannya adalah
kehilangan besar buat negara', ujar Datuk M.Daud Kilau dengan nada sedih
berkongsi suka duka semasa hayat dikandung badan bersama arwah yang
dianggapnya sebagai abang kandungnya dalam dunia muzik yang sama sama
diceburi.
Turut berkongsi kesedihan atas pemergian Biduan Negara
Tan Sri SM Salim adalah Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib
Tun Abd. Razak, dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Dr.
Ahmad Zahid Hamidi.
'... Sungguh jauh dikau pergi
Berpisah untuk selamanya
Tiada lagi senyum mesra....'
Berpisah untuk selamanya
Tiada lagi senyum mesra....'
Al Fatihah, moga roh Allahyarham Tan Sri SM Salim ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan disayangiNya. Amin.
0 Ulasan