Selepas mencipta nama sebagai seorang pelakon, aktor berbakat besar,
Fauzi Nawawi teruja menantikan sambutan peminat filem tempatan menerusi
karya pertama sentuhannya, 'Pak Pong'. Diterbitkan oleh 9 Country
Creativity Sdn Bhd, Pak Pong mengisahkan tentang seorang pemuda lelaki
yang mengamalkan kitab ilmu hitam, dikenali sebagai 'Pak Pong'. Kitab
sihir ini merupakan 'raja segala ilmu pengasih' yang mampu merosakkan
alam kehidupan manusia sejagat serta ia bertentangan dengan hukum agama
islam. Kadek dan Muda, merupakan dua beradik, tetapi Kadek adalah anak
angkat kepada ibu dan bapa Muda. Muda mempunyai seorang isteri bernama
Suri. Disebabkan Suri terlalu mengidamkan untuk memakan ayam hutan, Muda
dan Kadek terpaksa masuk ke hutan untuk mencari seekor ayam hutan.
Setelah lama berada di dalam hutan, Kadek dengan diam mempelajari ilmu
Pak Pong dari Tok Bintara di Bukit Gambir. Pada masa yang sama, Muda
juga berjaya mencari seekor ayam hutan dengan bantuan ilmu yang
dipelajarinya.
Setelah lama mengharungi waktu malam di dalam
hutan, Muda akhirnya tiba di alam bunian melalui satu pintu ajaib. Kadek
yang leka mempelajari ilmu Pak Pong, berjaya menukarkan dirinya menjadi
seorang lelaki gagah yang akhirnya memperkosa ramai anak gadis wanita
di kampungnya. Muda dan Kadek terpisah di balik jaring masa, yang
akhirnya menemukan mereka kepada sebuah kisah penuh misteri, mistik dan
menggemparkan antara Muda dan Alam Bunian, juga kisah dendam Kadek pada
masyarakat kampung melalui ilmu sihir Pak Pong. Apakah yang terjadi pada
mereka berdua?. Berjayakah Muda pulang ke kampung halamannya selepas 5
tahun terperangkap di alam bunian? Apakah terjadi pada Kadek, Muda, Suri
dan masyarakat kampung?. Semuanya bakal terjawab dalam Pak Pong, bakal
menghantui pawagam berdekatan anda bermula 23 Februari 2017.
Pak
Pong yang diarahkan Fauzi Nawawi ini membariskan Hairul Azreen, Badrul,
Siti Saleha, Fauzi Nawawi, Dato' Eizlan Yusof, Kaza, Rahim R2 dan ramai
lagi. Menariknya, filem yang bertemakan fantasi komedi ini menampilkan
Arwah Maimon Mutalib, Marsha Milan Londoh, Nur Risteena, pelawak Sathia
dan banyak lagi ini merupakan filem tempatan di bawah Skim Wajib Tayang,
Finas.
Ketika ditemui media di Malam Gala Filem Pak Pong di
MMCineplexes, e@Curve, Damansara, pengarah dan pelakon terkenal, Fauzi
Nawawi melahirkan rasa teruja menantikan sambutan peminat filem tanah
air menerusi filem pertama arahannya. Menurut Fauzi, pembikinan filem
Pak Pong dilakukan 5 tahun lepas dan 2017 merupakan tahun yang cukup
bermakna buat produksi Pak Pong apabila filem ini akhirnya berjaya di
tayangkan di pawagam bermula 23 Februari 2017. Pak Pong adalah filem
pertama saya, dan sebagai pengkarya, saya berasa bersyukur kerana
diberikan peluang untuk mengarahkan filem ini. Ia satu cabaran buat saya
kerana selain mengarah saya turut juga berlakon. Ini memberikan
pengalaman yang cukup berharga sebagai anak seni. Saya juga berterima
kasih pada pihak Finas yang banyak membantu kami merealisasikan dalam
menghasilkan naskhah ini. Mungkin ini percubaan pertama saya sebagai
pengarah filem, saya berharap penonton tempatan dapat menerima filem
kecil saya ini', ujar Pelakon Lelaki Terbaik Drama ASK 2010 menerusi
Sebelum Akhirat, Fauzi Nawawi menutup bicara dengan nada senyum penuh
makna.
Pak Pong yang bakal menemui penonton dan peminat filem
tanah air bermula 23 Februari 2017 ini merupakan filem fantasi seiras
Magika dan antara filem tempatan yang banyak mengunakan teknik CGI dalam
pembikinannya.
0 Ulasan