Percikan memori menonton filem 'Kembara Seniman Jalanan' 31 tahun
dahulu diimbau melalui tayangan khas pada malam Sabtu, 4 Februari 2017
di Sarang Art Hub, Tanjung Malim, Perak. Filem yang diterbitkan tahun
1986 itu menampilkan Dato' M.Nasir, Dato' Khadijah Ibrahim, Pyan Habib,
Imuda dan ramai lagi, merupakan filem pertama arahan Nasir Jani dalam
industri perfileman tanah air. Tayangan malam ini mendapat sambutan
menggalakkan daripada penduduk dan pengunjung yang hadir ke Sarang Art
Hub milik pengarah tersohor, Mamat Khalid.
Ketika berucap
selepas sesi tayangan filem tersebut, Nasir Jani selaku pengarah filem
Kembara Seniman Jalanan menyifatkan 'tayangan pada malam ini merupakan
tayangan khas bagi mengimbas memori Kembara Seniman Jalanan dalam
industri filem tanah air. Filem yang pernah ditayangkan di pawagam
tempatan pada Februari 1986 itu ditayangkan malam ini dalam format
restorasi digital. Ini memberikan dimensi yang berbeza buat penonton
yang hadir walaupun ditayangkan dalam medium wayang pacak. Setinggi
penghargaan buat produksi Wayang Pondok kerana sudi bekerjasama dalam
program seperti ini dengan menyediakan peralatan dan skrin yang besar,
agar filem ini dapat disaksikan seluruh tetamu yang hadir'.
Kembara Seniman Jalanan yang diterbitkan Zarul Al-Bakri melalui ZSA
Holdings Sdn Bhd itu memaparkan kisah suka duka di sebalik warna warni
industri muzik tanah air. Fenomena cetak rompak dan penerimaan muzik
ketika itu menjadi plot terpenting yang menghubung kepada tiga watak
utama iaitu Bujang (Dato' M.Nasir), Osman Tikus (Pyan Habib) dan Johan
(Majid Salleh) kepada satu kisah tragis berkaitan dunia seni dan muzik
era 1980an. Ketiga-tiga watak utama ini bersangkut paut dengan watak
watak yang lain sehingga menjadikan filem Kembara Seniman Jalanan
sebagai sebuah naskhah yang mencetuskan fenomena dan polimek tersendiri
dalam dunia muzik dan filem ketika itu.
Pemilik Sarang Art Hub,
juga seorang pengarah filem terkenal, Mamat Khalid dalam ucapannya
berkata, 'Kembara Seniman Jalanan' sebuah naskhah yang mempunyai roh
tersendiri dan masih relevan untuk ditonton di layar besar pada malam
ini. Sebagai peminat filem ketika itu, saya melihat ia sebagai rakaman
peristiwa yang berlaku pada tahun 1980an mengenai masalah industri muzik
khususnya cetak rompak. Sehingga kini pun, masalah tersebut masih lagi
menghantui dunia muzik dan filem walaupun kita sudah 60 tahun merdeka.
Jujurnya dapat saya katakan, saya terlibat dalam industri ini, adalah
kerana saya cintakan seni, filem dan muzik, malahan program seperti ini
akan diteruskan dari semasa ke semasa. 'Filem baru kita sokong, filem
lama kita raikan', ujar Mamat Khalid menutup bicara pada Malam Kembara
Seniman Jalanan di Sarang Art Hub, Tanjung Malim, Perak.
Antara
yang hadir memeriahkan suasana tayangan filem tersebut adalah Nasir Jani
dan Pyan Habib sendiri, Mamat Khalid, karyawan seni tanahair seperti
Khir Rahman, Raja Mukhriz, Pekin Ibrahim, Rashidi Ishak, para pencinta
filem tempatan, mantan Ketua Pengarah Finas, Dato' Kamil Othman dan
pengkritik filem, Hassan Abd. Muthalib.
Info: Filem Tombiruo: Penunggu Rimba arahan terbaharu Nasir Jani akan menyusul akhir tahun 2017.
Foto: Zara
0 Ulasan