Jika di Malaysia, penerbitan filem seumpama ini pastinya mengundang
persepsi negatif di kalangan penonton, malahan mungkin juga ia disekat
tayangannya sekiranya menyentuh aspek ‘kepolisian’ dan ‘sensitiviti’ di
kalangan anggota beruniform walaupun jalan ceritanya lebih menjurus
kepada unsur realiti hidup masyarakat sekitarnya.
Filem adalah
cerminan hidup yang mencernakan pemikiran khalayak menerusi jalan cerita
yang diketengahkan, melalui plot cerita yang berkembang menerusi
lakonan watak beberapa pelakon yang mendukung sesuatu peranan melalui
kisah yang divisualkan. Tetapi, pembikinan sesuatu naskhah itu harus
dilihat dari segi kandungan ceritanya, mesej yang disampaikan malahan ia
boleh dijadikan filem contoh dalam perkembangan filem arus perdana masa
kini.
Filem Ma’ Rosa, garapan pengarah terbaik yang pernah
mencipta nama di beberapa festival filem antarabangsa, antaranya
Festival Filem Cannes, Festival Filem Antarabangsa Dubai, Festival Filem
Antarabangsa Berlin dan Venice, Brillante Mendoza antara pengarah filem
dari Filipina yang telah mencipta fenomena di peringkat antarabangsa
menerusi beberapa buah karya hebatnya, ‘Service (2008), Kinatay (2009),
Grandmother (2009), Captive dan Thy Womb (2012).
Menemui penonton
dan peminat filem tempatan bermula 9 Mac 2017, ‘Ma’Rosa’ sebuah karya
dari Filipina yang mengupas tentang isu penindasan dan pergolakan hidup
antara masyarakat pertengahan dengan bawahan menerusi watak Rosa,
lakonan Jaclyn Jose yang terperangkap antara ‘hidup dan mati’ setelah
ditangkap pihak berkuasa akibat penjualan dadah. Rosa dan suaminya
Nestor, ditangkap dirumah mereka dan di bawa ke sebuah pejabat di kota
milik polis. Semasa di soal siasat, Rosa diugut untuk dipenjarakan
sekiranya tidak membayar denda. Pihak polis yang digambarkan dalam filem
ini agak ‘keras’ sifatnya malahan mereka berdua dipaksa membayar
sejumlah wang sekiranya mahu bebas seperti sediakala. Penindasan
dipaparkan dalam filem ini tanpa ada rasa belas kasihan, dan boleh
dikatakan ia adalah realiti hidup masyarakat terpinggir di Kota Filipina
yang hidup seperti ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Filem yang memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik : Jaclyn Jose di
Festival Filem Antrabangsa Cannes 2016, Pengarah Terbaik : Brillante
Mendoza di Festival Filem Antarabangsa Gijón 2016 dan Festival Filem
Antarabangsa Malaysia 2017 (MIFFEST2017) di Arena Stars of Genting
Highland, Malaysia pada 4 Mac 2017, juga antara filem terpilih di
Festival Filem Antarabangsa Cannes 2016 bagi ‘official competition’.
Ma' Rosa yang telah menemui penonton di Filipina pada 6 Julai 2016 dan
18 Mei 2016 di Cannes akan menemui penonton dan peminat filem tanah air
bermula 9 Mac 2017 di empat buah pawagam GSC terpilih antaranya, GSC Mid
Valley KL, GSC Pavillion KL, GSC 1 Utama PJ dan GSC Gurney Plaza,
Penang.
Ketika ditemui Media semasa Tayangan Perdana ‘Ma’Rosa’ di
GSC Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini, pengarah filem tersebut,
Brillante Mendoza yang ditemani pelakon utama filem tersebut, Jaclyn
Jose berkongsi sesuatu istimewa buat penonton. Ma’Rosa yang diangkat
dari sebuah kisah benar ini merungkai sisi gelap kehidupan masyarakat
terpinggir yang mewakili golongan miskin di Filipina. Pembikinan naskhah
ini mencabar kreativitinya sebagai pengkarya kerana saya perlu jujur
dalam mengetengahkan jalan cerita yang dipaparkan melalui shot dan
visual yang diketengahkan.
Filem ini boleh dianggap agak istimewa
kerana saya menggunakan teknik sinematografi yang berkesan bagi
menimbulkan mood ‘suspens’ dengan ‘dark low key’ bagi sesuatu babak
tanpa melupai jalan cerita yang ingin disampaikan. Walaupun ia seperti
‘klise’, namun saya percaya filem sebegini ada penontonnya’, ujar
Brillante Mendoza, pengarah filem ‘Ma’Rosa’ teruja menantikan sambutan
penonton dan peminat filem tersebut di Malaysia.
Jaclyn Jose, pelakon utama filem tersebut pula menegaskan bahawa Ma’Rosa adalah cerita berlatarbelakangkan kota Filipina yang terpencil menerusi watak Rosa, seorang wanita yang terperangkap antara ‘hidup dan mati’. Beliau terpaksa membuat keputusan yang baik demi menyelamatkan keluarganya, setelah ditangkap polis akibat pengedaran najis dadah. Rosa memaksa anak-anaknya mencari 50 ribu peso untuk diserahkan kepada sindiket polis.
Apakah yang terjadi ?. Berjayakah misi Ma’Rosa dan
anak-anaknya dalam cengkaman permasalahan tersebut?. Semuanya bakal
terjawab dalam filem Ma’ Rosa’ bermula 9 Mac 2017 ini di beberapa
pawagam GSC terpilih.
trailer
Gambar : Aidi Emizul
0 Ulasan