'BUKAN CERITA BIASA, TAPI LUAR BIASA', 'LEBUH RAYA KE NERAKA' WAJIB TONTON PENGGEMAR SINEMA MAMAT KHALID!


Jika dilihat menerusi beberapa buah karya arahannya sebelum ini, Mamat Khalid optimis tentang genre filem yang dihasilkannya. Kebanyakkan filem-filem sentuhannya 'menjadi' dan ada juga yang terlalu 'dekat' dengan jiwa penonton bahkan juga menjadi trend anak muda serta peminat dan penonton filem tanah air. 'Lebuh Raya Ke Neraka', antara filem terbaharu arahan sutradara profilik Mamat Khalid, bersama produksi Grand Brilliance  di mana filem ini diedarkan oleh Primeworks Studio. 

Mempertaruhkan genre 'supernatural horror', Lebuh Raya Ke Neraka, merupakan filem kerohanian Mamat Khalid di dalam industri perfileman tanah air. Mamat yang terkenal menerusi beberapa seleksi filem-filem komedi arahannya, antaranya 'Man Laksa, Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Husin Mon dan Jin Pakai Toncit, Zombi Kilang Biskut' dan banyak lagi boleh dianggap sebagai trademarknya dalam pembikinan filem-filem rencah 'sinema dalam sinema'. 'Lebuh Raya Ke Neraka', boleh dikatakan antara filem terbaik Mamat Khalid yang agak 'serius' dan 'matang' dari segi pembikinan dan falsafahnya. 



Ketika ditemui media pada tayangan perdana filem 'Lebuh Raya Ke Neraka' di GSC Pavillion, Kuala Lumpur pada petang khamis, Mamat mengganggap 'filem ini sebagai karya masterpiecenya dalam dunia sinema tempatan apabila filem ini memakan masa selama 6 tahun untuk disiapkan. Bukan soal bajet menjadi pertaruhan sehingga mengalami kelewatan untuk ditayangkan pada umum bermula 4 Mei 2017, tetapi karya ini perlu mendapat pandangan dari Mufti Perak agar ia tidak menyinggung penonton tempatan khususnya yang beragama islam. 'Lebuh Raya Ke Neraka' mendapat kelulusan penuh tanpa potongan oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN)'. 

Membariskan beberapa pelakon ternama tanah air antaranya, Awie, Khir Rahman, Miera Liyana, Shah Jaszle, Dazrin Kamaruddin dan Fatin Syahirah, 'Lebuh Raya Ke Neraka' turut menampilkan Pelakon Lelaki Terbaik di FFM28, 2016, Pekin Ibrahim. Mengisahkan tentang sekumpulan geng motor berkuasa tinggi yang diserang penyakit misteri secara tiba-tiba semasa berhenti di suatu kawasan untuk berehat. Bob(lakonan Awie) yang mengetuai kumpulan itu tidak mengalami sebarang penyakit aneh berbanding rakan-rakannya. Misteri penyakit tersebut menghantui diri Bob sehingga memaksa dia terperangkap dalam 'dunia neraka'  melalui halusinasi pemikiran di luar kotak. Gambaran tersebut menjadi tipikal apabila Bob cuba mahu menyelamatkan rakan-rakannya malahan tindakannya itu mengundang malapetaka yang amat dasyat. 



Banyak memaparkan elemen CGI dalam plot penceritaannya, 'Lebuh Raya Ke Neraka', merupakan pecahan dimensi pemikiran Mamat Khalid terhadap 'kerisauan' dirinya yang berbekas dalam mentaliti masyarakat mewakili golongan muda yang mengalami protes dalam diri akibat permasalahan sosial dalam negara. Menurut Mamat, filem ini adalah untuk mendidik masyarakat tentang kesan dalam tindakan akibat perbuatan segelintir dari kita yang tidak tahu menghargai erti sebuah kehidupan. Gambaran 'Neraka' dalam filem ini bukan untuk menakutkan penonton tetapi mahu mendidik kita tentang 'perilaku kehidupan' yang akan di balas kelak. Penonton disajikan dengan kesongsangan kehidupan anak muda kita melalui watak 'Miera Liyana' dan 'Shah Jazle' di awal pembukaan filem ini nyata memberikan sesuatu yang cukup 'berguna' untuk difikirkan, itulah realiti! 

Bakal menemui penonton dan peminat filem tanah air bermula pada 4 Mei 2017, 'Lebuh Raya Ke Neraka' antara filem tempatan arahan Mamat Khalid yang 'wajib tonton' buat mereka penggemar cerita-cerita 'pelik, misteri dan seram' dengan skala yang diberikan sebanyak 5/5. 

Gambar Sekitar Tayangan Perdana Filem 'Lebuh Raya Ke Neraka' arahan Mamat Khalid
di GSC Pavillion, Kuala Lumpur pada 20 April 2017. 

Foto oleh : Ruffey Rahman.  















Trailer 
Lebuh Raya Ke Neraka

Catat Ulasan

0 Ulasan