PADA tanggal 30 Mac setiap tahun, Indonesia merayakan ‘Hari Filem Nasional’. Malah, sambutan ini seringkali berlangsung selama sebulan sepanjang Mac dengan pelbagai aktiviti tayangan, apresiasi dan wacana filem-filem Indonesia. Tarikh ini dipilih adalah sempena tarikh 30 Mac 1950 yang menyaksikan filem Indonesia pertama (bercirikan keindonesiaan), Darah dan Doa (arahan Usmar Ismail) ditayangkan kepada umum. Filem yang mengutarakan aspek peperangan dalam perjuangan untuk mencapai kemerdekaan ini dianggap penting dalam sejarah perfileman Indonesia. Ia adalah filem yang diarahkan anak tempatan dan diterbitkan syarikat perfileman tempatan sepenuhnya iaitu Perusahaan Filem Nasional Indonesia (Perfini) yang dirintis oleh Usmar Ismail, Bapa Perfileman Indonesia.
Perfini bersama Usmar dengan pantas membina reputasi bagi menghasilkan filem-filem yang memfokuskan kepada kehidupan sehari-hari dan agak kritis terhadap pemerintah yang kiri haluannya. Filem-filem awal terbitan Perfini dipengaruhi mod produksi filem-filem Itali neorealisme. Selain Usmar, sutradara penting era ini termasuklah D. Djayakusuma, Asrul Sani, dan Nya Abbas Akup. Secara kontrasnya, Perseroan Artis Indonesia (Persari) yang diasaskan oleh Djamaluddin Malik memanfaatkan pendekatan komersial dengan mengimitasi filem-filem bergenre Amerika Syarikat (AS) dan amalan bekerja sistem studio Hollywood, selain menyadurkan filem-filem India popular. Persari tampil prolifik dalam penghasilan filem dengan 55 judul, antara 1950-1959.
Sememangnya sejarah dan perkembangan sinema Indonesia tidak dapat dipisahkan dengan sejarah politik negaranya. Pelbagai era dan fasa sejarah politik telah memberi kesan kepada, serta mencorakkan sinemanya: pendudukan Jepun (1942-1945); kemerdekaan dari Belanda (1949); autoritarianisme nasionalis berhaluan kiri (1957-1965); pemerintahan tentera berhaluan kanan 1965-1998); dan reformasi (selepas 1998).
Mengimbas kembali sebelum kemunculan anak tempatan membangunkan industri perfileman, sejarah sinema Indonesia bermula pada era penjajahan Belanda dengan produksi pembikin filem Belanda dan Tionghoa yang terbabit mengadaptasi filem luar dan drama pentas popular. Filem yang terawal dihasilkan di Indonesia adalah Loetoeng Kasaroeng (L. Heuveldorp dan G. Krugers, 1926), sebuah produksi usahasama Belanda-Jerman. Ini diikuti dengan filem lain seperti Melatie van Java (Wong Bersaudara, 1928) dan Nyai Dasima (Tan Bersaudara, 1929). Filem Terang Boelan (Albert Balink, 1937) pula dianggap sebagai filem bersuara dan cereka penuh pertama dalam bahasa Indonesia.
Pendudukan Jepun ketika Perang Dunia kedua telah menyebabkan keruntuhan monopoli pengusaha Cina terhadap industri filem, dengan syarikat filem yang ditadbir Jepun, Nippon Eigasha. Syarikat ini menghasilkan filem-filem propaganda dan memberi peluang kepada para pembikin filem Indonesia untuk mengasah kemahiran dan menimba pengalaman. Selepas perang dan perjuangan mencapai kemerdekaan, industri perfileman berkembang subur dengan enam filem dihasilkan pada 1949 dan meningkat sehingga ke 22 pada 1950 dan 58. Syarikat-syarikat produksi Cina kembali menapak bersama syarikat-syarikat yang dimiliki golongan pribumi seperti Perfini dan Persari yang disebutkan tadi.
Penghujung era 1950-an menandakan permulaan bagi kemelut politik yang berpanjangan yang memberi kesan kepada industri perfileman. Pembikinan filem komersial dikritik hebat oleh pemerintahan Sukarno dan Parti Komunis Indonesia (PKI) yang membawa kepada pengharaman filem-filem AS (yang sentiasa menjadi ‘mangsa’ penapisan filem) dan kelahiran sekelompok pembikin filem yang lebih berpihak kepada pemerintah. Tekanan politik semakin memuncak antara yang bersayap kanan dengan yang kiri pada awal era 1960-an yang membawa kepada dua bentuk pemisahan. Lekra, persatuan artistik yang berhaluan kiri, dan Lesbumi yang berhaluan kanan, masing-masing menggalakkan ahli mereka menghasilkan filem dan menyerang filem pihak lawan. Dengan berakhirnya pengaruh komunis selepas peristiwa Gerakan 30 September 1965, Lekra telah lenyap bersama filem-filemnya.
Peristiwa Gerakan 30 September memperlihatkan PKI ditumpaskan dan Presiden Sukarno berjaya digulingkan sehinggalah Suharto, seorang jeneral tentera menjadi presiden kedua Indonesia (secara rasmi pada tahun 1968). Era Orde Baharu Suharto bergerak pantas menyekat sebarang pembikinan filem berhaluan kiri serta membuka pasaran untuk filem-filem dari AS sehingga menjejaskan produksi domestik. Tradisi penapisan filem yang beroperasi di bawah Badan Sensor Film memperkasakan segala peraturan yang sedia ada semenjak kemerdekaan. Sebarang kritikan terhadap pemerintahan Orde Baharu tidak dibenarkan sama sekali. Bagi memelihara industri filem tempatan, pada pertengahan era 1970-an kuota terhadap filem-filem import diperkenalkan semula. Sepanjang pemerintahan Orde Baharu, filem-filem Indonesia disarankan mengangkat dan sejajar dengan nasionalisme berteraskan Orde Baharu yang berpaksikan ideologi ‘Pancasila’.
Era Orde Baharu ini menyaksikan kemunculan sejumlah sutradara yang telah memartabatkan sinema Indonesia: Teguh Karya, Sjuman Djaya, Slamet Rahardjo, Arifin C. Noer dan Amy Priyono. Namun para sutradara tadi telah mempersembahkan perspektif kritis terhadap ideologi Orde Baharu Suharto. Filem-filem Teguh Karya umpamanya, sering secara halus berbicara berkenaan perbezaan identiti etnik, kedaerahan dan budaya di Indonesia. Era 1970-an dan 1980-an juga dianggap sebagai ‘era emas’ sinema Indonesia dengan populariti luar biasa filem-filem bergenre popular ketika itu. Daripada seram-mistik, filem cinta-remaja, aksi-seni pertahanan diri dan komedi yang mendominasi bukan sahaja pasaran tempatan tetapi juga Malaysia dan Singapura. Pertengahan era 1990-an hingga milenium baharu dianggap sebagai kejatuhan sinema Indonesia (yang juga paralel kemelut ekonomi dan politik hingga berlakunya reformasi politik).
Sinema Indonesia pasca-Orde Baharu memperlihatkan beberapa sutradara dan produser seperti Riri Riza, Mira Lesmana dan Rudy Soedjarwo yang berjaya memulihkan semula industri perfileman mereka. Selain itu, reformasi politik Indonesia telah ‘membuka’ ruang dan usaha melebar sayapkan representasi masyarakat Indonesia yang merentasi daerah, etnik, agama dan budaya (sebelum ini dihadkan rejim Orde Baharu). Usaha tadi disambut sutradara seperti Garin Nugroho, Riri Riza, Nia Dinata, Nan T. Achnas dan kini dilanjutkan angkatan sutradara muda seperti Angga Dwimas Sasongko, Mouly Surya, Kamila Andini dan Yosep Anggi Noen. Mereka bukan sahaja menghasilkan filem dengan representasi ‘wajah’ Indonesia yang lebih plural lagi rencam secara geografi dan budayanya tetapi turut membangunkan budaya perfileman di segenap rantau dan daerah dari Makassar (Sulawesi Selatan) hinggalah ke Papua Barat.
0 Ulasan