ALFIE PALERMO KETENGAHKAN KISAH 'FEMALE CON ARTIST' MENERUSI DUKUN DIVA AKAN DATANG 6 DISEMBER 2021 DI ASTRO CITRA!.

Astro terus konsisten dalam menampilkan drama-drama premium terbaik menerusi jenama Astro Originals dan lebih uniknya, penonton dapat menikmati konten yang berbeza dari sudut genre, olahan jalan cerita yang diinspirasikan dari pendedahan isu-isu sebenar yang sememangnya berlaku di Malaysia, dan yang paling utama, dibawakan kepada penonton dengan kualiti terhebat setanding naskhah filem-filem di layar perak. Bermula dengan kehadiran Kampong Pisang Bersiri-Siri, iaitu drama pertama daripada francais filem komedi nombor 1, Kampong Pisang; seterusnya Projek: Anchor SPM, drama bergenre ‘coming of age’ yang mendapat sambutan hangat dan dinobatkan anugerah Drama Bersiri Terbaik di Asian Academy Creative Awards 2021; diikuti pula dengan I-Tanggang, drama pertama di Malaysia yang mengetengahkan isu realiti penderitaan mental Munchausen Syndrome by Proxy.

Jenama Astro Originals telah meletakkan satu tanda aras dan definisi baru bagi nilai kualiti drama tempatan dalam kalangan penonton. Demi memastikan penonton berterusan disajikan dengan kandungan yang berkualiti, jenama Astro Originals kini bakal mempersembahkan DUKUN DIVA, sebuah drama tempatan pertama yang mengangkat kisah ‘female con artist’ dan 'anti-heroes'.  Sekali lagi, rantaian siri di bawah jenama Astro Originals tampil dengan seribu kelainan apabila Dukun Diva ini hadir sarat dengan elemen drama, komedi, suspen, aksi dan penyiasatan. Ia bakal menemui penonton mulai 6 Disember, 2021 setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108. Antara kekuatan lain adalah apabila watak utama diterajui oleh golongan wanita yang berdepan dengan cabaran kehidupan, lebih-lebih lagi di bandar pada masa kini. Pelakon berbakat besar, Nadia Aqilah yang memang tidak disangkal lagi kekuatannya dalam bidang lakonan, membawakan watak Che Yah iaitu seorang artis ‘tak menjadi’ di era 90an, menggunakan bakatnya dengan menyamar menjadi dukun. Sementara itu, watak Lola digerakkan dengan baik oleh pelakon muda, Eyka Farhana, iaitu anak saudara kepada Che Yah yang bermasalah dan turut bersubahat menjadi dukun. Kedua-dua watak ini mencipta pelbagai kepercayaan dan pantang larang atas rujukan media sosial buat seorang jutawan kosmetik terkenal, Dato’ DD lakonan Emelda Rosemila. 

Selain itu, Dukun Diva turut menggabungkan barisan pelakon senior dan baru bagi mewarnai setiap karakter, seperti Tony Eusoff yang dilihat pertama kali membawa watak suami takut isteri serta ‘scammer’ dalam urusan jual beli tanah; kemudian pelakon baru berbakat besar Siti Khadijah Halim sebagai Baby Riena, Kahoe Hon sebagai Daniel, serta pelakon handal Adlin Aman Ramlie sebagai Dato’ Saddiq dan Aloy Paradoks sebagai Sarjan Anep yang merupakan kesinambungan watak daripada filem pecah panggung 2019, Pusaka. Drama premium bersiri ini turut dihiasi dengan penampilan istimewa, antaranya pelakon terkenal daripada pelbagai latar seperti Che Puan Juliana Evans, Douglas Lim, Aziz M Osman, Sanjana Suri, Anas Ridzuan, Mat London, Fadhli Masoot dan Dee Al Hadi. Dukun Diva telah mendapat sentuhan kreatif oleh pengarah muda yang namanya semakin meningkat naik dalam kalangan penonton sejak mengarahkan telemovie seperti Shiba Shiba Doo, Cerai dan Rompak Raya, Ariff Zulkarnain di mana hasil sentuhannya nampak segar dan berkualiti dari segi olahan penceritaan dan sebagainya. 

Sebelum ini Ariff merupakan Penolong Pengarah untuk filem Sangkar. Dukun Diva bukan sahaja menonjolkan kualiti produksi dan sinematografi memukau, tetapi turut dilengkapkan dengan jalan cerita yang segar. Drama siri 8 episod ini merupakan idea asal oleh pemenang anugerah Skrip Terbaik di Anugerah Internasional Motivational Film Festival Bridge of Arts (IMFF), Rusia pada tahun 2016 dan Lakon Layar Terbaik di Anugerah Lawak Warna 2015, Alfie Palermo.  

Dukun Diva memperlihatkan transformasi kandungan berkualiti filem berterusan di bawah jenama Astro Originals. Mewakili Astro, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Astro akan memperhebatkan lagi fokus ke arah kandungan berkualiti dengan menerokai pelbagai lagi konten segar yang menawarkan kelainan dan menarik untuk dipersembahkan kepada penonton Malaysia. Menjadi hasrat kami agar Astro Orginals akan terus memainkan peranan yang lebih besar menjangkaui nilai hiburan dan dilihat sebagai jenama yang dapat mempersembahkan kandungan setanding drama-drama premium luar negara. Dalam mengutamakan penonton Malaysia meliputi semua lapisan masyarakat, kali ini Dukun Diva lebih memfokuskan konteks “Malaysian', dari sudut skrip, jalan cerita, idea, pelakon, sinematografi agar drama ini dapat memenuhi selera semua penonton tidak mengira latar. Kami yakin jika karya tempatan berjaya diterima oleh segenap masyarakat, ia juga mampu mempelopori pasaran luar. Ini kerana kita sering dihidangkan dengan budaya luar menerusi drama mereka, dan sudah tiba masanya untuk drama kita pula mempamerkan budaya dan keistimewaan Malaysia serta mengikuti peredaran semasa dalam bentuk santai buat penonton dalam dan luar negara.” “Ini adalah julung kali Astro Originals mempertaruhkan bakat-bakat kreatif tanah air seperti Alfie Palermo, Pengarah Ariff Zulkarnain, serta pelakon-pelakon hebat, Nadiah Aqilah, Eyka Farhana, Emelda Rosemila, Adlin Aman Ramlie dan bakat baru Siti Khadijah Halim, Kahoe Hon. Uniknya, Dukun Diva meletakkan subjek 'anti-heroes' wanita yang mana ia jarang dipersembahkan dalam drama siri tempatan. Banyak mesej positif yang cuba disampaikan untuk tatapan penonton. Di samping itu, jenama Dukun Diva telah menarik perhatian produk tempatan untuk bekerjasama bagi menghasilkan produk eksklusif edisi Dukun Diva dari pengusaha lilin beraroma, Lampu Cherita, dan pembekal coklat tempatan jenama Love18C,”– tambah Raja Jastina Raja Arshad. 

Penerbit, Penulis Skrip & Cerita Asal Dukun Diva, Alfie Palermo berkongsi rasa teruja apabila karya Dukun Diva bersedia untuk menemui penonton Disember ini. “Masyarakat kita umumnya amat sinonim dengan perkataan ‘Dukun’. Ada segelintir pihak yang menyalahgunakan ilmu dukun tersebut. Menyedari hakikat itu, ia memberi inspirasi buat saya menghasilkan Dukun Diva; dua wanita yang mempunyai impian dan cita-cita, telah menjadi dukun palsu untuk menipu seorang jutawan kosmetik bersama keluarganya demi wang. Mungkin di luar negara banyak mengetengahkan subjek watak wanita sebagai ‘con artist’, tetapi ia tidak pernah lagi dihasilkan di Malaysia. Jadi, Dukun Diva membawa subjek tersebut serta mengetengahkan golongan wanita. Kami yakin dengan menggabungkan moden setting dan elemen lokal, ia mampu memberikan pengalaman baru kepada penonton dan memartabatkan warisan tempatan seperti baju tradisional kebaya, dukun ke serantau melalui drama kita.”


“Terima kasih kepada Astro kerana meletakkan kepercayaan kepada saya untuk mempersembahkan idea ini kepada penonton. Secara peribadi Dukun Diva cukup istimewa di hati saya. Che Yah sanggup mengetepikan impiannya untuk menjadi pelakon terkenal demi insan tersayang. Saya harap Dukun Diva mampu mengingatkan penonton bahawa kegembiraan tidak semestinya boleh dikecapi menerusi impian semata-mata, tetapi kehadiran insan yang kita sayang, terutamanya ‘keluarga’ adalah pelengkap kebahagiaan sebenar. Sementara itu, watak Lola di tonjol sebagai suka memberontak dan di label ‘pelik’. Memahami perasaan individu yang dianggap ‘berbeza’ ini, saya ingin sampaikan kepada mereka di luar sana bahawa mereka tidak keseorangan. Saya harap penonton terhibur dengan drama siri ini, seperti mana kami teruja menghasilkannya,”
jelas Alfie Palermo lagi. 

Dukun Diva mengisahkan tentang Rubiah Samsudin atau dengan gelaran popularnya Che Yah gagal menjadi pelakon terkenal dan kini bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO) di sebuah kelab malam. Hakikat tersebut menyebabkan Che Yah sangat malu untuk pulang menemui keluarganya di kampung. Satu hari, Che Yah menerima panggilan daripada hospital memaklumkan kakaknya, Aishah sedang nazak. Di sini bermulanya perubahan dalam hidup Che Yah bila mengetahui dia bakal menjaga anak saudaranya, Lola seorang remaja yang bermasalah. Ketegangan mula berlaku di antara Che Yah dan Lola. Dalam pada masa yang sama mereka telah didatangi didatangi oleh Abang Long yang mengugut untuk membunuh Che Yah jika tidak membayar hutangnya. Mereka terpaksa mencari jalan bagi menyelesaikan hutang Che Yah serta menyelamatkan nyawa mereka. Lola mendapat idea. Jadi apakah yang mereka lakukan? ...‘They Put The Sham In Shaman’. 

Episod pertama Dukun Diva akan ditayangkan secara serentak di saluran Astro Citra dan Astro Ria pada jam 9.00mlm, 6 Disember ini. Manakala untuk minggu-minggu seterusnya, saksikan siri drama premium 8 episod ini setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, eksklusif di Astro Citra.

Untuk menonton trailer penuh Dukun Diva, sila klik di sini. 

DUKUN DIVA Official Trailer


Catat Ulasan

0 Ulasan