ANUGERAH SERI ANGKASA 2022 KINI KEMBALI



Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menganjurkan Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2022 bagi merancakkan semula landskap industri kreatif yang terkesan akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pada awal 2020 akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin berkata keputusan untuk menganjurkan ASA 2022 dipersetujui kabinet pada Jumaat lepas dan penganjuran itu merupakan kerjasama strategik antara K-KOMM bersama sektor swasta.

“Pencalonan ASA 2022 dibuka mulai 1 Ogos hingga 31 Ogos,” katanya pada sidang media pencalonan ASA 2022 di Wisma Radio, Angkasapuri di KualaLumpur hari ini.

Menurut Zahidi, penganjuran ASA 2022 bertemakan Kemuncak Kecemerlangan adalah sempena sambutan Jubli Emas ASA yang mula dianjurkan pada 1972 dan kini memasuki edisi ke-34 dengan tarikh penganjuran majlis itu dijangka berlangsung pada Okt ini.

Katanya stesen penyiaran kerajaan dan swasta dijemput untuk mengemukakan pencalonan secara rasmi menerusi www.anugerahseriangkasa.gov.my dan syarat umum pencalonan ASA 2022 dan kriteria pencalonan bagi setiap kategori turut dimuatkan dalam laman web itu.

Zahidi berkata rancangan yang dicalonkan mestilah pertama kali disiarkan di saluran televisyen, stesen radio atau akaun YouTube rasmi masing-masing dalam tempoh antara 1 Jan 2020 hingga 31 Dis 2021.

Menurutnya lagi buat julung kalinya ASA 2022 memperkenalkan lima kategori media sosial iaitu drama pendek, sketsa pendek, klip video hiburan, pesanan khidmat masyarakat dan drama bersiri menerusi YouTube rasmi terbaik.

Katanya secara keseluruhan sebanyak 72 kategori bakal dipertandingkan di ASA 2022 termasuk 43 kategori televisyen, 22 kategori radio, satu anugerah khas juri dan satu tokoh ASA.

Menurut Zahidi K-KOMM melantik barisan juri profesional dalam kalangan ahli akademik daripada industri kreatif dan pemain industri yang berkelayakan bagi memastikan anugerah tersebut terus dipertandingkan pada masa akan datang.

Zahidi juga menjangkakan pencalonan yang diterima pada ASA 2022 adalah lebih tinggi berikutan kategori media sosial yang menjadi kategori baru dalam anugerah itu.

Katanya penganjuran ASA 2022 diharap dapat menggalakkan pihak penyiar dan karyawan industri kreatif untuk menerbitkan rancangan radio dan televisyen yang lebih kreatif, berkesan dan berkualiti tinggi serta membuka peluang pekerjaan kepada penggiat industri kreatif tempatan untuk berkarya.

Bernama

Catat Ulasan

0 Ulasan