APAKAH AKAN TERJADI KEPADA KARYA-KARYA SENIMAN AGUNG, P.RAMLEE SELEPAS 50 TAHUN?!.

Apakah akan terjadi sekiranya semua hak cipta karya seniman agung P.Ramlee itu menjadi hak awam?. Bagaimanakah nasib anak seni yang lain?. Apakah nasib mereka akan turut musnah selepas 50 tahun pemergian mereka dalam industri muzik?. Pernyataan ini kadangkala menakutkan penggiat industri hiburan tanah air, apatah lagi memikirkan nasib yang bakal menimpa setelah mereka tiada lagi di dunia ini. Perkara sebegini perlu difikirkan kerajaan melalui agensi berkaitan supaya nasib karyawan seni tanah air terbela khususnya. 

Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) mencadangkan agar Akta Hak Cipta 1987 segera dipinda bagi melanjutkan jangka masa sedia ada sekurang-kurangnya 70 tahun. Langkah berkenaan boleh dilakukan kerajaan melalui MYIPO, di mana pindaan tersebut dapat melindungi sesebuah karya muzik khususnya P.Ramlee yang khabarnya akan memasuki genap 50 tahun menjelang 2023. 

Bagi menghuraikan beberapa persoalan yang bermain difikiran, wartawan Nadia Azam dari malaysiakini telah menulis artikel ini ; telah disiarkan di portal rasmi malaysiakini pada 27 Julai 2022 yang lalu. 

- Amy Ikram

Kini detik genting pinda akta demi lindungi karya P Ramlee, kata MACP
Oleh: Nadia Azam, malaysiakini

Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) mencadangkan Akta Hak Cipta 1987 segera dipinda bagi melanjutkan jangka masa sedia ada kepada sekurang-kurangnya 70 tahun. Kata MACP langkah berkenaan boleh dilakukan kerajaan menerusi MyIPO.

Dengan adanya pindaan tersebut kata MACP isu berhubung karya muzik Allahyarham P Ramlee dapat dilindungi dengan lebih lama atau ia akan memasuki domain awam. Apabila keadaan itu berlaku, kata badan berkenaan, karya seniman agung itu tidak lagi tertakluk kepada perlindungan hak cipta yang mewajibkan pembayaran royalti.

Dalam keadaan sekarang, perlindungan hak cipta ke atas karya muzik P Ramlee akan tamat pada tahun depan.Jurucakap MACP memberitahu Malaysiakini isu melanjutan tempoh perlindungan hak cipta tersebut tertakluk kepada pindaan Seksyen 17 Akta Hak Cipta 1987, serta kelulusan dasar kerajaan.

“Lagu-lagu Allahyarham P Ramlee masih lagi segar berkumandang di dalam dan luar negara. Ianya akan menjadi satu kerugian besar kepada negara, rakyat Malaysia serta waris-waris P Ramlee sendiri (jika tiada pindaan dibuat). “Pindaan perlu dibuat bagi menjaga kebajikan serta kesahihan perlindungan hak cipta karya P Ramlee.

“Jika tidak dilakukan, karya-karya tersebut tidak lagi tertakluk kepada lunas undang-undang dalam menjaga hak ekonomi serta sosial bagi pemilik karya P Ramlee yang ketika ini diwarisi kepada anak seniman itu, antaranya Sazali,” katanya.

Ada perbincangan berterusan

Sazali, 63, dan isterinya ialah penerima bantuan bulanan Lembaga Zakat Selangor sebanyak RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (RM500) namun jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kesihatan mereka. Untuk rekod, selepas P Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973, royalti daripada lagu-lagunya yang diuruskan MACP diperoleh isteri seniman serba boleh terbabit, Allahyarham Saloma.

Apabila Saloma meninggal dunia pada 25 April 1983 pula, royalti daripada MACP itu diberikan pula kepada Allahyarham Nasir P Ramlee. Dia kemudian membahagikan perolehan diterima kepada beberapa waris yang lain. Apabila Nasir meninggal dunia pada 23 November 2008, kontrak royalti itu masih diteruskan kepada waris lain termasuk Sazali hingga mencapai tempoh 50 tahun selepas kematian P Ramlee.

Bermula dari 1973 hingga tahun ini, kontrak royalti tersebut sudah berlangsung selama 49 tahun dan bakal tamat tahun depan. Menurut MACP, peranan yang dimainkan oleh badan itu dalam menangani isu karya-karya P Ramlee kini adalah amat genting.

Justeru, katanya, kerajaan diharap prihatin dengan karya-karya P Ramlee yang lebih sinonim dengan simbolik sebagai aset budaya Malaysia. Sehubungan itu, MACP memaklumkan, perbincangan berterusan dilakukan bagi menyatakan perlunya melanjutkan tempoh perlindungan hak cipta sedia ada - dari 50 tahun ke 70 tahun - seperti dipraktikkan United Kingdom dan Singapura.

“Sebagaimana yang dimaklumkan terdahulu, kami masih dalam peringkat penyelidikan dan dokumentasi untuk memberi butir-butir yang kukuh bagi mendapat kelulusan untuk diusulkan kepada kerajaan. “Buat masa sekarang, semua proses yang kami lakukan menunjukkan tindak balas positif daripada ahli MACP dan pihak berkepentingan,” katanya.

Tambah badan itu, kebajikan ahli sentiasa menjadi tujuan utama serta asas pembangunan badan tersebut. “Kami sentiasa menyokong penuh cadangan ahli kami yang ingin melanjutkan tempoh perlindungan hak cipta.

“Selepas mengambil kira cadangan serta pandangan ahli serta awam, MACP terus menyokong penuh bagi usul melanjutkan tempoh perlindungan hak cipta atas dasar kebaikan yang akan terus dinikmati oleh ahli pewaris karya tersebut serta sumbangan kepada industri kreatif secara tidak langsung,” katanya.

Catat Ulasan

0 Ulasan