GANDINGAN HEBAT DUA NEGARA, PERJALANAN PERTAMA MENAMPILKAN DATO' AHMAD TARMIMI SIREGAR, MUZAKKI RAMDHAN DAN RANDY PANGALILA

 ‘Papar Kisah ‘Road Trip’ Datuk & Cucu, Tampilkan Gandingan Pelakon Hebat Dua Negara’

Filem yang bertemakan kekeluargaan agak jarang diterbitkan, meskipun naskhah bergenre sedemikian mampu menarik minat penonton jika dihasilkan dengan sebuah jalan cerita yang menarik. Istimewanya, ia merupakan langkah pertama buat syarikat produksi D’Ayu Pictures untuk menerbitkan sebuah filem kekeluargaan berjudul Perjalanan Pertama. Lebih menarik, filem berkenaan juga merupakan usahasama antara syarikatnya bersama Mahakarya Pictures yang merupakan syarikat produksi Indonesia.

Penerbit Eksekutif, Dato’ Rosmarayu Mokhtar berkata, ia merupakan naskhah sulung terbitan syarikatnya yang mengangkat kisah kekeluargaan tentang hubungan antara datuk dan cucu. “Apabila meneliti naskhah dan jalan cerita filem Perjalan Pertama ini, saya melihat ia sesuatu yang cukup menarik untuk diketengahkan. “Ia sebuah filem ‘road trip’ membabitkan datuk dan cucunya dan sepanjang perjalanan mereka itu, banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi,” ujarnya.

Rosmarayu berkata, Perjalanan Pertama tidak sekadar sebuah kisah penggembaraan semata-mata kerana apa yang ingin disampaikan kepada penonton adalah membabitkan hubungan kekeluargaan. Sementara itu, menjelaskan lebih lanjut mengenai filem berkenaan, beliau menjelaskan ia menelan kos produksi sebanyak RM1.75 juta serta menjalani penggambaran di Bukit Tinggi, Indonesia sekitar awal tahun 2020. Ujarnya, sebagai penerbit eksekutif, pihaknya selaku pelabur turut terbabit sejak awal lagi seperti pra produksi, skrip, penggambaran sehinggalah filem tersebut siap sepenuhnya.

Perjalanan Pertama sudah ditayangkan di Indonesia sejak 14 Julai lalu dan sambutan yang diterima penonton di sana cukup menggalakkan. “Menerusi penelitian kami di platform media sosial pula, ramai penonton yang memberikan pujian dan review positif serta suka dengan jalan ceritanya,” jelasnya. Diarahkan oleh pengarah Arief Malinmudo, Perjalanan Pertama mengandingkan dua pelakon hebat dua negara iaitu Dato Ahmad Tamimi Sirergar dan Muzakki Ramdhan.

Selain itu, ia turut menampilkan beberapa barisan pelakon popular lain seperti Adinda Thomas, Randy Pangalila, Gilang Dirga, Komo Ricky dan Angelica Petra. Sementara itu, Arief selaku pengarah mengakui filem Perjalanan Pertama sememangnya cukup istimewa buat dirinya. “Sudah tentu ia merupakan satu penghormatan buat diri saya untuk bekerjasama dengan seorang pelakon hebat Malaysia seperti Ahmad Tarmimi. “Apa yang boleh saya katakan, filem ini memang wajar untuk ditonton kerana jalannya itu sendiri, selain sinematografinya yang cukup memukau,” ujarnya. Ujar Arief, dia berharap agar filem ini bukan sahaja mendapat sambutan di Indonesia, malah akan diterima penonton-penonton di Malaysia apabila ditayangkan nanti.

Selepas Indonesia, Perjalanan Pertama akan ditayangkan pula di pawagam seluruh Malaysia pada 18 Ogos ini. Untuk info, filem ini juga sudah ditayangkan di World Premier Moslem Fim Festival Australia dan Asian Premier Jogja Asian Film Festival pada tahun 2021.

 

Dibintangi oleh Dato' Ahmad Tarmimi Siregar, Muzakki Ramdhan, Randy Pangalila, Adinda Thomas, Gilang Dirga, Komo Ricky dan Angelica Petra, Perjalanan Pertama ini mengisahkan tentang hidup seorang datuk dengan cucunya. Tan, seorang pekerja kedai cenderamata di sebuah kampung serta tinggal bersama cucunya, Yahya.  Pada masa sama, Yahya yang semakin membesar sering bertanya kepada datuknya tentang identiti ibu bapanya.  Ternyata, semua persoalan akhirnya terjawab ketika mereka menghadapi masalah sewaktu dalam perjalanan untuk menghantar sebuah lukisan yang juga merupakan mas kahwin untuk satu pasangan yang akan bernikah. Sebuah perjalanan yang akan mengubah seluruh hidup Yahya dan Tan.

trailer


Catat Ulasan

0 Ulasan