TONTON PERKONGSIAN USHERA DAN GANESH BALA, PADA 29 OGOS 2022, JAM 9.00 MALAM

Sempena meraikan 65 tahun kemerdekaan Malaysia, FINAS dengan rasminya akan menayangkan 'Lensa Negaraku: Dunia Asmara ; Warisan Seni Berzaman'. Video dokumentari pendek berdurasi 13 minit itu  mendokumentasikan tentang kejayaan dua orang anak seni tempatan iaitu Ganesh Bala dan Ushera menerusi penerbitan manuskrip muzik Melayu bertajuk ‘The Malayan Songbook'. Buku yang menghimpunkan 20 manuskrip lagu-lagu Melayu lama ciptaan Tan Sri P. Ramlee, Ahmad Jaafar, Ahmad Wan Yet, Kamsani Saat, Yusof B dan Osman Ahmad itu merupakan kerja keras Ushera dan Ganesh Bala dalam menterjemahkan muzik dalam bentuk manuskrip bagi rujukan generasi seterusnya.

Diarahkan Amy Ikram, 'Dunia Asmara : Warisan Seni Berzaman' ini memaparkan suka duka Ushera dan Ganesh Bala dalam penerbitan buku 'The Malayan Songbook'. Pelbagai kisah, cerita dan pengalaman dikongsikan mereka menjadikan dokumentari ini sebagai video pendek biografi yang penting dan menarik, tentunya akan menyentuh hati penonton dan peminat muzik tanah air, khususnya mereka yang meminati genre melayu klasik dan muzik tradisi lama. 


Untuk makluman, Ushera merupakan penyanyi lagu-lagu melayu klasik manakala Ganesh Bala adalah komposer muda yang begitu kreatif dalam menterjemah muzik Melayu lama melalui lagu-lagu Melayu tradisi yang diberikan nafas baharu tanpa menjejaskan isi kandungan asal. Kesannya, 'Semalam di Malaya', merupakan album pertama Ushera  yang mendapat sentuhan Ganesh Bala sebagai komposer dan penggubah lagu. Album yang memuatkan 11 buah lagu melayu lama itu antara album klasik melayu yang diterbitkan dalam bentuk fizikal pada tahun 2016. 

Tonton perkongsian istimewa ini menerusi slot ‘Lensa Negaraku’ di saluran YouTube Finas Malaysia pada 29 Ogos 2022 (Isnin), jam 9.00 malam. 

Untuk menonton video penuh ini, sila klik di sini


OFFICIAL TEASER

Catat Ulasan

0 Ulasan