Mendominasi 6 kali pencalonan menerusi album Belagu, Dayang Nurfaizah mengungguli carta teratas dalam pemilihan kategori bagi Anugerah Industri Muzik Ke-23 (AIM23). Penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu mula dikenali menerusi lagu Seandainya Masih Ada Cinta di mana lagu tersebut telah memangi Lagu Terbaik di AIM9 pada tahun 2001. Terbaharu, album 'Belagu' yang diterbitkan tahun 2021 pula tercalon di AIM23 bagi kategori Rakaman Lagu Terbaik (2 pencalonan), Kulit Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik di Dalam Lagu (2 pencalonan).
Belagu, yang mengangkat karya muzik klasik nusantara itu merupakan album solo ke-9 Dayang Nurfaizah. Diterbitkan dalam bentuk cakera padat (CD) selain digital, album yang mendapat sentuhan penerbit muzik tersohor Aubrey Suwito itu merupakan karya muzik klasik yang dilantunkan semula Dayang dengan gaya tersendiri. Menariknya, album tersebut akan menemui peminat muzik tanah air dalam bentuk piring hitam bermula 9 September 2022.
Ketika berucap pada sidang media, Rosmin Hashim yang juga Pengerusi Industri Rakaman Malaysia (RIM) menyifatkan AIM23 sebagai platform terbaik buat karyawan muzik dalam mengetengahkan karya muzik mereka semula setelah beberapa tahun menyepi akibat pandemik yang melanda sekaligus memberikan implikasi buat industri muzik sepenuhnya.
“Tahun ini menunjukkan industri muzik tempatan berada dalam keadaan baik selepas pandemik. Penambahan beberapa kategori turut menyumbang kepada peningkatan jumlah pencalonan.
“Kami juga mengumumkan pencalonan kategori Lagu India Tempatan Terbaik kerana kebanyakan lagu tidak menepati kriteria yang ditetapkan,” ujar Rosmin membuktikan penganjuran AIM adalah masih relevan.
Selain Dayang, penyanyi Yonnyboii juga dilihat berpotensi besar bagi kategori Rakaman Album Terbaik (Yonny Deluxe Version), Lagu R&B /Hip Hop Terbaik, (Tak Sangka & Orang Lain) dan Album Terbaik (Yonny Deluxe Version). Manakala Ernie Zakri juga mendapat pencalonan bagi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Sinar Mata Hati), Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu (Goodbye Hello bersama Syamel dan Berakhirlah Pencarianku bersama Hafiz Suip).
Bagi edisi kali ini, pihak penganjur menerima 650 pencalonan bagi karya yang diterbitkan dalam tempoh 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022 dan hanya 105 daripadanya disenarai pendek menerusi 21 kategori yang dipertandingkan.
Bakal berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 September 2022, 9.00 malam menerusi siaran langsung di Astro Ria, AIM23 ini melibatkan 113 juri antaranya Omar K, DJ Fuzz, Adi Priyo, Shah Slam, Datuk Syafinaz Selamat, Fauzi Marzuki dan Datuk Mokhzani Ismail selalui ketua juri.
0 Ulasan